Oleh Syaza Wardina
18 Januari 2024, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan melancarkan Bank Idea Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada tengah hari tadi.

Pelancaran bank idea tersebut merupakan inisiatif Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khusus untuk mengumpulkan dan memperoleh input saranan dan cadangan daripada semua pemegang taruh meliputi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang demi memperkasakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam.

“Bersempena dengan gagasan Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi al-Falah menuju negara MADANI, kami mengalu-alukan cadangan dan idea daripada semua pemegang taruh dan semua pihak serta menggalakkan penyertaan masyarakat ke arah memperkukuh dan menambah baik pentadbiran Islam.

Pelancaran bank idea ini bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada semua pihak untuk menyuarakan cadangan, pandangan dan idea berkenaan dengan hal ehwal agama dan isu-isu yang berkaitan dengannya,” jelasnya.

Bank idea ini didatangkan dalam bentuk Google Form Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Semoga bank idea ini akan dapat menyuburkan budaya percambahan cadangan, saranan dan pemikiran demi memperkukuh urusan pentadbiran hal ehwal agama di Malaysia,” ujar beliau.

YB Senator Dr. Zulkifli Hassan beramah mesra dengan murid selepas merasmikan Majlis Penutup KL Gema al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2024.

Pelancaran bank idea tersebut dilaksanakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli ketika berucap merasmikan Majlis Penutup KL Gema al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2024.

Pada majlis tersebut, beliau menekankan inisiatif kerajaan khususnya usaha memperkasakan pendidikan Islam oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dalam hal ini, Pelan Transformasi al-Falah telah dihasilkan sebagai panduan pelaksanaan pemerkasaan hala tuju, perancangan, dan pengurusan hal ehwal Islam secara progresif dan komprehensif di peringkat persekutuan dan seterusnya merealisasikan agenda “Membangun Malaysia MADANI”.

Pelan Transformasi al-Falah yang diterjemahkan daripada penghayatan prinsip “hayya ‘ala al-falah” menekankan pembangunan umat Islam untuk bersama-sama menuju kejayaan berlandaskan al-Quran dan sunah.


Foto: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.