Oleh Syaza Wardina
18 Januari 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pencapaian penguasaan al-Quran bagi murid tahun enam di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2023 meningkat kepada 97.02 peratus, berbanding sebanyak 91.39 peratus pada tahun 2022 dan 92.68 peratus pada tahun 2021.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata, peratusan tersebut mengambil kira jumlah murid tahun enam dari sekolah kebangsaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu sebanyak 12 655 orang murid.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan berucap merasmikan Majlis Penutupan KL Gema al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran Perdana 2024, tengah hari tadi.

“Pencapaian khatam al-Quran murid tahun enam juga telah menunjukkan peningkatan; bermula pada tahun 2021, jumlah murid khatam ialah sebanyak 38.50 peratus, meningkat pada tahun 2022 sebanyak 41.59 peratus dan pada tahun 2023 sebanyak 43.54 peratus.

Kita jangkakan akan berlaku pertambahan lagi sebanyak 7.0 peratus apabila program ini selesai dilaksanakan, menjadikan keseluruhan murid khatam al-Quran pada tahun 2023 sebanyak 50.54 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan KL Gema al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran Perdana 2024 Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Menurut beliau, program pada hari ini telah membuktikan bahawa ketiga-tiga isu dan cabaran Pelan Transformasi al-Falah di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ditangani dengan sebaik-baiknya.

Isu dan cabaran tersebut ialah pemerkasaan pendidikan agama, peluasan peranan masjid sebagai pusat komuniti dan kecemerlangan ummah; dan peningkatan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan.

Tambah YB Senator Dr. Zulkifli, “Saya amat berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan sebagai syiar bagi menggalakkan murid khatam al-Quran dan mendekatkan diri dengan al-Quran.”

“Oleh yang demikian, agensi terlibat seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), bank dan sebagainya diharapkan dapat bersama-sama menggembleng kekuatan menjayakan program ini demi melahirkan anak-anak soleh yang A.B.C., iaitu ‘Anak yang Baik lagi Cerdik’ serta abid, beriman dan bertakwa, celik menghayati al-Quran dan cekal menekuni sunah,” jelasnya.

Program KL Gema al-Quran 2024 Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 16 Januari hingga 18 Januari 2023, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

KL Gema al-Quran merupakan program tahunan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) bagi memastikan murid sekolah rendah tahun enam di Kuala Lumpur menguasai bacaan al-Quran dan mengkhatamkan al-Quran.

Program ini juga mendidik warga sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur supaya menghayati budaya membaca al-Quran dan mengaplikasikan amalan nilai-nilai keinsanan dalam kehidupan.

Hal ini selari dengan Teras Dua dan Empat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha menerajui sistem pendidikan negara, iaitu memperkasakan karamah insaniah melalui pembentukan murid beradab, berakhlak dan berintegriti dan memberikan perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Program ini dilaksanakan secara serentak bersama-sama Program Khatam al-Quran secara hibrid yang melibatkan sebanyak 1500 orang murid dan 292 buah sekolah di bawah pentadbiran JPWPKL serta lima buah sekolah di bawah pentadbiran JAWI.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pendidikan JPWPKL, Tuan Haji Roslan Abu Hassan; Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; Tuan Haji Mohamed Nor Haji Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam; pegawai JAWI dan MAIWP; rakan strategik dan wakil NGO; guru serta murid sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sesi bergambar setelah selesai Majlis Penutupan KL Gema al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran Perdana 2024 Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Foto:Hanafi Mohd Yusof dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.