17 Januari 2024, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Hanya keldai yang jatuh ke lubang yang sama dua kali.” Ungkapan ini sering digunakan untuk mengingatkan kita agar tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Sebagaimana yang kita maklum, keldai dikenali sebagai haiwan yang bodoh dan mempunyai sifat yang degil. Oleh itu, pepatah ini menggambarkan kebodohan seseorang yang tidak mahu mengambil hikmah daripada melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Banyak orang akan mengulangi kesalahan yang sama, malah bukan hanya dua kali, tetapi berkali-kali.

Tiada manusia yang dapat mengelak daripada melakukan kesilapan, sama ada secara sengaja ataupun tidak. Lazimnya kesilapan ini sering disebabkan oleh kelekaan atau kecuaian manusia sendiri. Memang benar bahawa melakukan kesilapan lumrah bagi manusia kerana mereka bukanlah maksum. Kendati demikian, tidak wajar bagi seseorang yang beriman untuk berulang kali melakukan kesalahan yang sama. Seharusnya kita belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan, kerana kesalahan tersebut boleh dijadikan sebagai sebuah pelajaran yang berharga.

Nabi Muhammad SAW menasihati umatnya supaya belajar daripada kesilapan lalu dan berusaha untuk tidak melakukannya lagi. Baginda menekankan bahawa setiap orang perlu belajar daripada pengalaman dan melakukan perubahan positif dalam kehidupan untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam kesalahan yang sama. Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya untuk belajar dan berkembang secara spiritual dalam Islam. Maka itu, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya untuk mengelak daripada melakukan kesalahan yang pernah mereka lakukan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang mukmin tidak boleh jatuh ke satu lubang dua kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya supaya mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama.

 

Mengapakah Mengulangi Kesilapan yang Sama?

Kadang-kadang kesilapan boleh menyebabkan kesakitan dan penyesalan seumur hidup. Bagaimanakah kita boleh memastikan bahawa kita tidak melakukan kesilapan yang sama, walaupun kesilapan itu kecil dan tidak mempunyai kesan yang ketara? Kadangkala terdapat orang yang suka menuding jari sesuka hati kepada orang lain apabila dia melakukan kesilapan. Alasannya adalah kerana terpengaruh, terikut-ikut dan tiada sesiapa pun yang marah.

Mengapakah kita perlu menyalahkan orang lain apabila kita sendiri yang membuat kesilapan? Jika kita bertindak dengan baik, kita pasti tidak terjejas atau terpengaruh oleh kesilapan orang lain. Ya, manusia tidak sempurna. Walau bagaimanapun, mengapa kita selalu melakukan kesilapan yang sama berulang kali walaupun kita mengetahui kesan dan akibatnya? Menurut ajaran Islam, ada beberapa faktor yang dapat menjelaskan mengapa seseorang mungkin mengulangi kesilapan yang sama: 

  1. Kelemahan manusia

Manusia mempunyai sifat yang lemah dan mudah terpengaruh oleh keinginan dan dorongan hawa nafsu. Kegagalan ini boleh mendorong seseorang untuk melakukan kesilapan yang sama sekali lagi.

  1. Ketidaksempurnaan manusia

Islam menyatakan bahawa manusia mempunyai kelemahan dan tidak sempurna. Akibatnya, mereka cenderung untuk melakukan dosa dan kesalahan. Kelemahan ini ialah sifat manusia. 

  1. Pengaruh persekitaran

Persekitaran seseorang mungkin banyak mempengaruhi cara mereka bertindak. Seseorang mungkin membuat kesilapan yang sama jika persekitaran mereka terus mendorong ke arah perlakuan yang salah atau tidak menyokong perubahan. 

  1. Kurangnya pemahaman dan kesedaran

Seseorang itu mungkin tidak memahami atau tidak sepenuhnya menyedari akibat buruk tindakan mereka. Pengulangan kesalahan boleh berlaku kerana kurangnya kesedaran dan pemahaman. 

  1. Kurangnya ketakwaan kepada Allah SWT

Keputusan yang dibuat oleh seseorang boleh dipengaruhi oleh ketaatan mereka kepada Allah SWT. Kurangnya ketakwaan kepada Allah SWT dapat membuat seseorang itu kurang waspada terhadap dosa. 

  1. Ujian dan cubaan

Allah mempunyai keupayaan untuk menguji hamba-Nya dengan ujian dan cubaan. Pengulangan kesalahan boleh menjadi ujian bagi seseorang untuk melihat sejauh mana dia mampu belajar dan bertaubat. 

  1. Kebergantungan pada taubat

Sesetengah individu mungkin berpendapat bahawa taubat akan menghapuskan dosa mereka, dan hal ini membolehkan mereka terus melakukan kesalahan. Sikap dan pemahaman demikian adalah tidak wajar kerana boleh mengurangkan keseriusan untuk mengelak diri daripada melakukan kesalahan dan dosa. 

  1. Tiada usaha untuk berubah

Kesalahan boleh berulang jika tidak ada usaha yang sungguh-sungguh untuk berubah dan mengatasi kelemahan diri. Perubahan memerlukan kerja keras, tekad dan kesungguhan.

 9.    Pengaruh syaitan

Syaitan mempunyai peranan yang besar untuk mempengaruhi manusia melakukan dosa. Seseorang boleh terjerumus kembali ke dalam kesalahan yang sama jika mereka tidak waspada terhadap tipu daya syaitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dosa itu mengelilingi hati, tidak ada suatu pandangan melainkan syaitan akan berusaha untuk memanfaatkannya.” (al-Shahihah: 3660).

 

Cara Menghindari Diri daripada Mengulangi Kesalahan yang Sama

  1. Refleksi diri

Renungkan tindakan dan keputusan yang telah diambil sebelum kita mengulangi kesalahan yang sama. Apakah yang telah kita pelajari daripada peristiwa tersebut? Apakah yang boleh kita perbaiki?

Refleksi penting untuk mengelakkan diri kita daripada melakukan kesilapan yang sama. Proses tersebut memerlukan kita berfikir secara mendalam tentang apa-apa yang kita lakukan dan pilihan yang telah kita buat.

 2.    Tingkatkan keimanan dan ketakwaan

Semakin teguh keimanan dan ketakwaan seseorang, semakin besar kemungkinan mereka untuk menghindari godaan dan perbuatan dosa. Iman yang kuat dapat menjadi benteng yang melindungi seseorang daripada godaan yang dapat merugikan mereka secara moral dan spiritual. Ketakwaan kepada Allah SWT merupakan hasil daripada iman yang kuat yang dapat menjadi penghambat yang efektif terhadap perbuatan dosa. Rasa takut kepada Allah SWT mendorong seseorang untuk menjauhi perkara yang diharamkan.

  1. Perbaiki persekitaran

Hindari persekitaran yang bergelumang dengan dosa. Berkawan dan bergaul dengan orang yang menyokong prinsip dan nilai moral Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang mukmin adalah seperti cermin bagi mukmin lain; dia menyegarkan dan membersihkan.” Apabila seorang mukmin berada bersama-sama mukmin yang lain, mereka saling menguatkan antara satu dengan lain. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Iman yang kuat dapat menjadi benteng yang melindungi seseorang daripada godaan syaitan dan perbuatan dosa.

 4.    Mengambil ibrah daripada kesalahan

Dengan mengambil ibrah daripada kesalahan lalu, seseorang boleh memperbaik diri dan  belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik sebagai individu. Hal ini juga boleh membantu seseorang untuk membuat keputusan yang lebih teliti dan mengelakkan kesilapan yang sama pada masa hadapan. Membuat kesilapan merupakan perkara biasa dalam kehidupan, tetapi yang lebih penting ialah belajar daripada kesilapan itu dan berkembang menjadi individu yang lebih baik.

  1. Melakukan perubahan diri

Perubahan diri memerlukan kesungguhan dan tekad yang kuat. Perubahan mungkin sukar dicapai jika tiada tekad yang teguh dan keinginan yang tulus untuk berubah. Perubahan tidak berlaku dengan cepat. Untuk mencapai kejayaan, kesabaran dan ketekunan amat diperlukan.

  1. Bertaubat

Satu daripada prinsip utama Islam ialah konsep taubat dengan hati yang tulus kepada Allah SWT. Penghapusan dosa masa lalu dan pemulihan jiwa bergantung pada taubat yang bersungguh-sungguh. Menyesallah atas segala dosa yang telah dilakukan dan tetapkan matlamat untuk tidak melakukannya lagi. Mengubah tingkah laku merupakan satu lagi cara untuk bertaubat. Pohonlah keampunan kepada Allah SWT, kerana hanya Dia yang boleh mengampuni dosa dan menerima taubat hamba-Nya.

 

  Berusaha Menjadi Lebih Baik

Islam mengajar kita untuk belajar daripada kesilapan, bertaubat dan seterusnya berusaha untuk menjadi lebih baik. Jika seseorang itu terus melakukan perkara yang tidak baik, mereka boleh kehilangan hubungan dan kepercayaan mereka dengan Allah SWT. Oleh itu, adalah penting bagi seorang mukmin untuk sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dan mengelak daripada melakukan perkara yang tidak baik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.