Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menjadikan (sekalian makhluk). Dia menjadikan manusia daripada segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmu jualah yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah al-‘Alaq 96:1-5)
Sewaktu menyampaikan wahyu pertama, malaikat Jibril a.s. diperintahkan mengajar Nabi Muhammad SAW yang buta huruf untuk membaca dengan mengulangi tiga kali perkataan “bacalah kamu”. Hal ini memberikan mesej atau peringatan besar kepada umat Islam bahawa membaca merupakan perantara terpenting, menjayakan penyampaian wahyu Ilahi, dan pada hari ini merupakan amalan yang sangat penting membolehkan manusia mengenali ilmu, menerokai pengetahuan dan mendapat maklumat. Kesungguhan Jibril a.s. mengajar Rasulullah SAW membaca menunjukkan penekanan tinggi terhadap perintah membaca. Membaca sangat penting diamalkan pada setiap hari. Amalan membaca terbukti berupaya memperkaya minda insan, mengangkat seseorang insan bermartabat ilmuwan, serta mencanai insan memiliki ketinggian budi serta kesopanan bahasa.
Al-Quran merupakan kitab ilmu, asas bagi segala ilmu pengetahuan, merangkumi pelbagai disiplin, mencakupi pelbagai aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi. Ayat Al-Quran yang dibaca, difahami, dihayati lalu diamalkan akan membentuk akal yang sihat dan minda yang membangun, mengajak manusia berfikir (tafakur), mendalami maknanya (tadabbur), memahami (tafaqquh), mengambil peringatan (tazakkur) dan menggunakan akal (taakul).
Seruan membaca yang merupakan wahyu dan perintah pertama yang diturunkan, mengabsahkan betapa membaca merupakan kunci untuk membuka pintu khazanah ilmu dan gedung pengetahuan. Allah SWT akan mempersoalkan mereka yang hatinya terkunci kerana tidak mahu membaca dan mendalami kandungan al-Quran. Peri pentingnya keupayaan membaca dikuasai telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW. Selepas Perang Badar, Baginda membuat tawaran pembebasan tawanan musyrik, dengan syarat para tawanan perang itu berjaya mengajar anak-anak orang Islam kemahiran membaca.
Budaya ilmu yang dipupuk melalui pembacaan akan mempengaruhi cara hidup manusia membina dan membangunkan diri, keluarga, masyarakat, institusi dan negara. Membaca merupakan jambatan ilmu yang akan menghubungkan manusia agar dapat mengenali Pencipta-Nya, memahami fitrah diri, menyedari peranan dan tanggungjawabnya, mentafsir alam semesta dan dunia seisinya. Ketajaman akal dan minda dapat diasah melalui pembacaan kerana membaca melatih otak keupayaan berfikir, di samping memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Kemajuan teknologi pada hari ini telah memudahkan manusia untuk bukan sahaja membaca, malah untuk mendapatkan bahan bacaan dengan lebih mudah dan murah. Buku berbentuk fizikal telah digantikan dengan e-book atau buku elektronik yang boleh diperoleh dalam talian. Dalam lautan ilmu dan bahan bacaan yang begitu luas, manusia wajib bijak memilih, menyaring dan menapis bahan yang dibaca agar bahan yang dibaca memberikan manfaat dan tidak merosakkan fikiran atau memesongkan akidah pembaca.
Kajian menunjukkan bahawa minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap yang rendah. Penilaian yang dijalankan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada Mac 2023 menunjukkan bahawa Malaysia berada pada tangga ke-57 dalam amalan membaca. Laporan Bank Dunia 2019 mencatatkan bahawa 13 peratus pelajar pada peringkat sekolah rendah atas tidak memiliki kemahiran membaca. Kajian juga memperlihatkan minat membaca dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin menurun.
Laporan terkini yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan, meskipun 95 peratus penduduk Malaysia bertaraf celik huruf dan boleh membaca, namun rakyat Malaysia hanya membaca 20 buah buku setahun, iaitu meningkat sedikit daripada membaca 15 buah buku setahun pada tahun 2014.
Amalan membaca merupakan pintu untuk menerima hikmah dan kebijaksanaan daripada Allah SWT dan akan membawa kebaikan yang banyak bagi mereka yang telah menerimanya seperti maksud ayat 269 Surah al-Baqarah:
“Dia (Allah) memberikan hikmah (kebijaksanaan) atau ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka itu, sesungguhnya yang diberikan hikmah itu dia benar-benar telah mendapat kurnia (kebaikan) yang banyak.”
Umat Islam diberikan beberapa peringatan berikut:
Pertama: Meletakkan niat ikhlas mencari keredaan Ilahi mendekatkan diri dengan-Nya melalui amalan membaca sebagai ibadat yang mentaati wahyu Ilahi.
Kedua: Mewujudkan persekitaran yang boleh menyemai minat dan memupuk budaya membaca sejak usia kanak-kanak sebaik mereka boleh bertutur, dengan membacakan satu cerita setiap hari sebelum mereka tidur, memberikan hadiah berbentuk buku, bertanyakan soalan dan menjadikan tajuk bualan tentang bahan-bahan yang dibaca oleh anak-anak.
Ketiga: Mendidik dan memperbetulkan niat membaca dalam kalangan anak-anak untuk mendapatkan ilmu dan bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
Keempat: Memberikan dorongan, bimbingan dan galakan melalui perbagai acara dan pertandingan berteraskan buku.
Kelima: Melengkapi dan memberikan peruntukan kewangan yang munasabah untuk perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah, dibekali dengan bahan bacaan yang menarik serta semasa, dan tidak dibiarkan sebagai bangunan usang yang tidak bernyawa.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 Januari 2024, bertajuk “Budaya Membaca Memperkaya Minda”)