1 Januari 2024, 07:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pejam celik, tahun 2023 yang semestinya sarat dengan memori suka atau duka sudah pun melabuhkan tirai. Paling meninggalkan kesan dan mungkin sukar membenamkan ingatan seluruh penduduk alam adalah dengan melihat kedurjanaan rejim Zionis menzalimi saudara kita di bumi berdaulat Palestin. Namun begitu, sebagai umat Islam yang percaya kepada Allah yang Maha Esa, doa ialah tunjang kepada kekuatan semesta.

Seperti kata Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Profesor Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob, apa-apa pun yang berlaku, setiap daripada kita pasti mempunyai perancangan masa depan. Namun demikian, jangan sesekali disesali andai kata terdapat pelan yang membuahkan hasil dan ada juga yang sebaliknya. Itu sudah resam dunia.

Hal ini secara jelas membuktikan perancangan manusia itu lemah dan sentiasa terbatas. Dalam Surah al-Baqarah, ayat 216, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal hal tersebut amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal hal itu amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Justeru, Dr. Mohd Ashrof mengajak kita merenung sejenak ke dalam diri dan bermuhasabah dengan menghitung kembali segala amalan serta perbuatan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2023. “Tanya diri, adakah amalan kita sepanjang tahun 2023 merupakan amalan yang dilakukan dengan baik dan diredai ataupun kemungkaran serta kemaksiatan yang dimurkai oleh Allah SWT?” soalnya.

Ujar beliau lagi, manusia sering kali mengeluh tatkala berdepan dengan kesibukan urusan kerja atau dibanjiri dengan permasalahan. Apabila hal itu terjadi, lazimnya kelazatan dan kemanisan ibadat tidak lagi dirasai malah kekhusyukan dalam ibadat menghilang, batin menjadi sekeras kerikil dan kemungkinan urusan kebajikan ditolak tepi.

“Penyakit seperti ini tidak wajar dibiarkan kerana lebih merosakkan kehidupan seorang Muslim melebihi bahayanya COVID-19. Penyakit ini perlu diubati dengan segera dan dimulai rawatannya dengan bermuhasabah terhadap segala amal perbuatan sepanjang tahun 2023,” katanya.

 

Penilaian Diri

Dr. Mohd Ashrof menambah, sebagai mukmin, manusia perlu sentiasa merenung diri pada setiap masa, detik, jam, hari, bulan dan tahun bagi memastikan kerangka ikrar serta taat setia pada segala perintah Allah SWT tetap utuh.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Dzariyat, ayat 56, maksudnya:

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepada-Ku.

Selain itu, umat Islam juga perlu sentiasa bertanya pada diri sendiri tentang persoalan, adakah kehidupan seharian yang dilalui ini benar-benar mengikut saranan dan tauladan Rasulullah SAW ataupun menyimpang jauh daripada sunahnya? Adakah tindak-tanduk kita sepanjang tahun 2023 menuju kepada keredaan-Nya atau hanya mengundang kemurkaan dan bala? Adakah kita telah menunaikan hak-hak Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW yang telah diamanahkan?

Sehubungan dengan itu, ujar Dr. Mohd Ashrof, segera membuat perbandingan antara kebaikan dengan keburukan yang telah dilakukan. “Melalui neraca penilaian sendiri, laksanakanlah perubahan dengan memperbanyak istighfar, bertaubat dan menyesali segala dosa. Serentak dengan itu, berazamlah untuk memperbaik diri dengan menambah ibadat, menjaga dan menambah baik kualitinya,” ungkap beliau.

Menyambung hujah, Dr. Mohd Ashrof berkata, proses muhasabah diri dapat dilakukan dengan mengajukan persoalan kepada diri dan kemudiannya menjawab sendiri pertanyaan tersebut seikhlas hati sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Qiyamah menerusi ayat 14 yang bermaksud, “Bahkan manusia itu menjadi saksi ke atas dirinya sendiri.”

Perilaku introspeksi itu sebenarnya amat penting untuk diimplemenkan selagi hayat dikandung badan, sebelum diri menghadap Allah SWT pada hari perhitungan kelak.

“Jawapan yang tulus daripada lubuk hati kita terhadap persoalan-persoalan yang dibangkitkan akan menentukan siapakah kita dan di manakah kita?

Apabila kita mengetahui betapa besar nikmat dan kesan hasil daripada ketaatan untuk mencapai keredaan Allah SWT, kita akan semakin dekat dan cinta pada-Nya. Jika amalan yang dilakukan dirasakan tidak mencukupi akan diperbanyakk demi mencapai kelazatan ibadat kepada Allah yang Maha Perkasa,” ujar Dr. Mohd Ashrof memberikan peringatan.

Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada Sayidina Muaz r.a. untuk mengamalkan doa yang bermaksud, “Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadat yang baik kepada-Mu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Tujuan muhasabah adalah untuk memperbaiki hubungan kepada Allah SWT, sesama manusia dan dengan diri sendiri.

 

Azam Perbaiki Diri

Menurut Dr. Mohd Ashrof lagi, walau betapa hebat kedudukan dan panjang usia seseorang manusia, pasti akan berdiri di hadapan Allah SWT yang akan menghitung segala perbuatannya. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 49 yang bermaksud,

Dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, ‘Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya’ dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis).

Saranan dalam al-Quran juga banyak menyebut tentang muhasabah di hadapan Allah SWT agar setiap manusia mempersiapkan jawapan, selalu bertanya kepada diri sendiri selama hidup di dunia sebelum disoal pada akhirat nanti. Memetik petikan dalam Surah al-A‘raf, ayat 6 yang bermaksud, “Maka sesungguhnya Kami akan tanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan tanyakan (pula) rasul-rasul (Kami).”

Intisari ayat tersebut menunjukkan elemen kebertanggungjawaban ketika menemui Pencipta pada hari kiamat kelak, sama ada mereka ialah para rasul, orang yang beriman mahupun orang-orang kafir. Semuanya akan dipertanggungjawabkan dan akan dihisab.

Kata Dr. Mohd Ashrof lagi, muhasabah diri juga boleh dilakukan dengan bertanya kepada diri sendiri sebelum melakukan sesuatu perbuatan, adakah perilaku kita sesuai dengan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan selari dengan petunjuk daripada Rasulullah SAW? Seterusnya, adakah benar sesuatu yang kita kerjakan tidak menyimpang daripada landasan agama atau tersesat daripada ajaran-Nya? Sesungguhnya, dua persoalan itu boleh menyebabkan kita tersentak dan berfikir semula seandainya kita sudah tersasar jauh.

Ujar pensyarah itu lagi, Rasulullah SAW sendiri sentiasa mendidik para sahabat untuk sentiasa bermuhasabah diri. “Baginda selalu mengingatkan tentang beratnya hisab pada hari akhirat. Para sahabat mengetahui dan meyakini bahawa Allah sentiasa memerhatikan mereka dan tidak ada yang dapat menyelamatkan diri mereka (daripada dihitung) kecuali dengan introspeksi diri dan bersikap jujur,” katanya.

Menurut Dr. Mohd Ashrof, sesiapa yang sentiasa mencongak diri sendiri sebelum  diadili pada hari akhirat nanti, pengakhirannya akan menjadi lebih baik. “Sesiapa yang tidak berbuat demikian, tiada peluang baginya untuk melakukan perubahan di dunia. Mereka akan alami kekesalan yang berpanjangan dan penantian pada hari pembalasan menjadi amat berat baginya,” kata beliau.

Justeru, marilah kita bersama-sama merenung dengan menilai kembali segala amalan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023. Adakah amalan kita memadai dan mencukupi untuk kita persembahkan di hadapan Allah SWT kelak?

Sekali lagi, wajar bagi setiap Muslimin dan Muslimat untuk sentiasa bermuhasabah dan berazam untuk memperbaiki diri sendiri menjelang tahun baharu 2024. Mudah-mudahan segalanya dapat dimulakan dengan baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.