27 Disember 2023, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebahagian ibu bapa memanfaatkan cuti sekolah dengan menghantar anak-anak ke rumah datuk dan nenek mereka. Hal ini dapat menambahkan kemeriahan keluarga datuk dan nenek di kampung. Sebahagian ibu bapa pula lebih cenderung untuk menghantar anak-anak ke program yang telah disusun oleh pelbagai pihak seperti ahli jawatankuasa masjid atau surau, konsultan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Banyak program disusun dengan fokus yang berbeza-beza, misalnya fokus terhadap keagamaan seperti fardu ain serta bacaan dan hafalan al-Quran, fokus terhadap akademik seperti matematik dan bahasa, dan fokus terhadap jati diri seperti motivasi dan aktiviti lasak.

Terdapat juga ibu bapa yang lebih cenderung untuk anak-anak menolong mereka, sama ada mengurus kerja di rumah ataupun membantu mereka melakukan kerja yang boleh menjana pendapatan seperti berniaga dan berkebun. Setiap satu aktiviti tersebut mempunyai manfaat yang berbeza-beza yang baik untuk perkembangan pembelajaran anak-anak.

Namun begitu, terdapat satu aktiviti yang dapat dilakukan oleh anak-anak sama ada di rumah ataupun di mana-mana sahaja termasuk di rumah datuk dan nenek. Aktiviti tersebut ialah mengamalkan sunah Rasulullah SAW, iaitu mengambil peluang cuti sekolah tanpa keterikatan terhadap sebarang jadual untuk mengikuti cara hidup Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Mengikuti kehidupan Rasulullah SAW adalah antara tanda kecintaan kita kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali ‘Imran 3:31).

 

Jadual Kehidupan Rasulullah SAW

Secara umumnya, jadual kehidupan Rasulullah SAW dipisahkan berdasarkan jadual waktu solat, iaitu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Oleh itu, permulaan kehidupan seharian Baginda bermula pada waktu subuh.

 

1) Subuh

Setelah bangun pada waktu subuh, Rasulullah SAW akan membaca doa, bersugi, mandi dan berwuduk. Kemudian, Baginda akan menunaikan solat sunat fajar, iaitu antara sunah utama yang dilakukan oleh Baginda, dan Baginda sangat menggalakkan umat Islam untuk turut sama melakukannya. Solat tersebut dilakukan sebanyak dua rakaat. Rasulullah SAW membaca Surah al-Kafirun atau ayat 136 Surah al-Baqarah dalam rakaat pertama dan Surah al-Ikhlas atau ayat 64 Surah Ali ‘Imran dalam rakaat kedua. Walaupun ringkas, namun fadilatnya sangat besar, iaitu lebih disukai oleh Rasulullah SAW daripada dunia dan segala isinya.

Kemudian, Baginda akan menuju ke masjid sambil memandang ke langit lalu berdoa yang bermaksud, “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Ya Allah, kami memohon perlindungan daripada-Mu daripada terjatuh, tersesat, dizalimi, bersikap jahil atau dibodohkan.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Ketika melangkah masuk ke masjid, Rasulullah akan membaca doa yang bermaksud, “Dengan nama Allah dan sejahtera ke atas Rasulullah. Ya Allah, ampunilah dosaku dan bukakanlah pintu-pintu rahmat-Mu.” (Hadis riwayat Ibn Majah). Kemudian Baginda akan menunaikan solat subuh secara berjemaah.

 

2) Selepas subuh

Selain membaca doa al-Ma’thurat, Baginda turut memulakan pagi dengan tazkirah dan mau‘izah, iaitu nasihat kepada para sahabat Baginda. Dalam konteks keluarga, ahli keluarga yang mampu memberikan tazkirah boleh menyampaikan tazkirah secara bergilir-gilir dimulai dengan anak sulung atau ibu dan ayah sendiri. Aktiviti ini dapat menjadi latihan kepada ahli keluarga untuk berdakwah kepada masyarakat dan memupuk keyakinan diri untuk menyusun kata-kata.

Rasulullah SAW turut bertanya khabar sekalian sahabat untuk mengenal pasti jika terdapat sahabat yang sakit atau telah meninggal dunia. Situasi ini menunjukkan sifat cakna Rasulullah SAW terhadap para sahabat dan kenalan serta jiran tetangga. Setelah menunaikan solat duha, barulah Rasulullah SAW balik ke rumah dan melakukan pelbagai aktiviti yang sesuai seperti majlis ilmu. Aktiviti ini boleh dilakukan sama ada secara teka-teki, soalan spontan ataupun menceritakan apa-apa informasi yang penting. Aktiviti ini boleh dikendalikan oleh anak sulung dan membantu adik-adik dalam pelajaran mereka serta menambah pengetahuan umum yang perlu mereka ketahui. Rasulullah SAW tidak hanya mengendalikan majlis ilmu, malah terdapat juga majlis lain seperti majlis zikir dan doa. Gurau senda turut diselitkan sepanjang interaksi tersebut.

Pada waktu ini juga Rasulullah SAW akan berjalan ke pasar. Apabila bertemu dengan para sahabat, Baginda sentiasa senyum dan bermanis muka, memberi salam, sentiasa mendoakan, bersalam-salaman, menyampaikan nasihat dan tunjuk ajar serta mengutamakan seruan solat walaupun ketika sedang sibuk melayan orang lain. Selepas itu, barulah Rasulullah SAW balik ke rumah dan qailulah.

Amalan menyampaikan tazkirah ringkas boleh dilakukan secara bergilir-gilir dalam kalangan ahli keluarga.

3) Zohor

Apabila masuk waktu zohor, Rasulullah SAW akan bangun daripada qailulah, berwuduk, solat sunat qabliyah sebanyak empat rakaat, lalu menuju ke masjid untuk menunaikan solat zohor berjemaah. Baginda akan menunaikan solat pada awal waktu dan memanjangkan bacaan dalam solat kira-kira 30 ayat pada setiap rakaat pada dua rakaat pertama. Sebagai imam, Baginda akan terus memalingkan badannya menghadap makmum selepas selesai solat. Solat sunat ba‘diyah akan dilakukan oleh Rasulullah SAW di rumah. Selepas solat sunat, barulah Baginda akan ke masjid semula untuk bersama-sama para sahabat yang lain. Rasulullah SAW akan balik ke rumah untuk menunaikan solat sunat kerana kedudukan rumah Baginda dan masjid sangat dekat.

 

4) Asar

Rasulullah SAW tidak terus menunaikan solat asar selepas azan dilaungkan. Sebaliknya Baginda akan menunggu sebanyak mungkin sahabat berkumpul. Pada masa yang sama, Baginda akan mengerjakan solat sunat qabliyah sebanyak empat rakaat. Dalam solat asar, Baginda akan meringkaskan bacaan selepas Surah al-Fatihah kira-kira 15 ayat bagi setiap rakaat pada dua rakaat pertama. Sebagaimana solat zohor, Baginda akan berpaling menghadap makmum selepas solat. Jika ada apa-apa yang ingin disampaikan, Baginda akan sampaikan pada ketika itu.

Selepas solat asar, Baginda akan menziarahi isteri-isterinya dan bermesra dengan mereka. Dalam konteks hubungan kekeluargaan pada hari ini, aktiviti minum petang bersama ahli keluarga sangat baik dilakukan.

 

5) Maghrib

Rasulullah SAW akan mengimami solat maghrib pada awal waktu. Rasulullah SAW hanya membaca surah atau ayat-ayat yang pendek ketika solat maghrib. Selepas solat, Baginda memberikan peluang kepada para sahabat untuk pulang ke rumah dan makan malam. Rasulullah SAW turut melakukan solat sunat ba‘diyah di rumah dan disusuli dengan makan malam. Jika berpuasa, Baginda akan makan malam sebelum solat maghrib.

Antara cara Rasulullah SAW makan termasuklah makan di atas lantai dengan berlapikkan sufrah, membasuh tangan, membaca bismillah, menggunakan tangan kanan, mengambil makanan yang paling dekat terlebih dahulu, tidak memilih makanan dan memakan apa-apa sahaja yang dihidangkan, menjilat jari selepas habis makan, membaca doa selepas makan dan membasuh mulut. Doa selepas makan yang dibacakan oleh Baginda bermaksud, “Segala puji bagi Allah yang memberikan kecukupan dan menghilangkan dahaga, bukanlah nikmat yang tidak mencukupi dan tidak disyukuri.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Ibu bapa hendaklah melazimkan anak-anak untuk melakukan sunah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

6) Isyak

Rasulullah SAW tidak bersegera menunaikan solat isyak di masjid, sebaliknya Baginda akan menunggu para sahabat berkumpul terlebih dahulu. Kemudian, barulah Baginda menunaikan solat isyak secara berjemaah. Solat isyak dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan ringkas kerana meraikan para sahabat yang mempunyai urusan lain. Selepas solat, Baginda akan memberikan sedikit tazkirah ringkas jika ada sesuatu isu yang ingin diperkatakan. Solat sunat ba‘diyah sebanyak dua rakaat dilakukan di rumah. Selepas solat sunat, Rasulullah SAW akan berbual seketika dengan isteri Baginda sebelum tidur.

Namun begitu, kadangkala Rasulullah SAW tidak terus tidur, sebaliknya keluar semula untuk beberapa tujuan, antaranya termasuklah mengurus beberapa isu berbangkit dan singgah ke rumah para sahabat untuk mendengar bacaan al-Quran mereka.

Sebelum tidur, Baginda akan menggantikan pakaiannya dengan pakaian tidur, bersugi, berkongsi cerita, membaca beberapa doa dan zikir serta membaca beberapa surah daripada al-Quran. Kemudian, Baginda akan tidur di atas rusuk kanan sambil meletakkan tangan kanannya di bawah pipi.

 

7) Pertengahan malam

Apabila berlalu separuh malam, Rasulullah SAW akan terjaga dan duduk seketika serta menyapu mukanya untuk menghilangkan mengantuk. Kemudian Baginda akan bersugi. Selepas itu Baginda mendongak ke langit untuk melihat dan menghayati keagungan Allah sambil membaca 10 ayat terakhir Surah Ali ‘Imran. Kemudian Baginda berwuduk, bermunajat dengan zikir seperti tasbih, tahmid dan takbir serta berqiamullail. Baginda memulakan qiamullail dengan solat dua rakaat yang ringkas. Kemudian Baginda akan menunaikan solat dengan bersungguh-sungguh dan memanjangkan solatnya.

Berbaki satu perenam malam yang terakhir, barulah Baginda SAW mengejutkan ahli keluarganya bangun untuk solat witir bersama-sama dengannya. Baginda solat witir sebanyak tiga rakaat dan membaca Surah al-‘Ala pada rakaat pertama, Surah al-Kafirun pada rakaat kedua dan Surah al-Ikhlas pada rakaat ketiga.

Demikianlah secara ringkas perjalanan kehidupan Rasulullah SAW yang boleh diikuti oleh anak-anak ketika musim cuti sekolah. Pada waktu persekolahan, jadual seharian terikat dengan jadual persekolahan. Oleh itu, waktu cuti merupakan waktu terbaik untuk menyelami kehidupan Rasulullah SAW dan cuba mengikut sekadar mampu di samping menyesuaikannya dengan jadual harian yang perlu dilakukan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.