23 Disember 2023, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semestinya amarah ibu bapa dalam kelompok B40 yang berimpian untuk menempatkan anak mereka di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) meledak sebaik-baik membaca pendedahan Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, baru-baru ini. Sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau secara telus menghebahkan tentang tindakan segelintir keluarga yang sanggup menipu pendapatan semata-mata mahu dikategorikan dalam golongan berpendapatan rendah atau B40.

Sikap tersebut memberikan kesan terhadap pelajar miskin lain kerana hak mereka untuk memasuki sekolah berkenaan telah diambil.

“Usahlah menipu pendapatan hanya untuk dikategorikan B40 supaya anak diterima masuk ke MRSM. Kasihan kepada anak-anak yang belajar dalam keadaan tiada keberkatan akibat mengambil hak orang miskin yang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kenyataan yang mengejutkan seantero Malaysia itu antara contoh terbesar yang perlu diambil iktibar oleh seluruh umat Islam kerana melibatkan “kecurangan” agama. Tidak hanya kisah tersebut, barangkali pengalaman hak diambil oleh individu lain pernah dialami oleh sebahagian daripada kita.

Hak untuk mendapat tempat di mana-mana institusi pengajian yang sudah termaktub untuk golongan tertentu tidak boleh diambil begitu sahaja oleh siapa-siapa yang tidak layak.

Sedang kita melayari bahtera kehidupan yang fana ini, sesetengah manusia dilihat semakin angkuh. Hukum Allah yang Maha Esa dengan beraninya ditolak tepi. Dosa bukan lagi menjadi satu perkiraan.

Meski matlamat tidak menghalalkan cara sering dilaungkan bagi mengingatkan orang yang lara dalam lautan dosa, usaha itu umpama mencurah air ke daun keladi. Sesungguhnya, dalam perspektif Islam, mengambil pemilikan orang lain adalah perbuatan yang dikategorikan sebagai al-ghasb, iaitu merampas hak orang lain dengan cara tidak dibenarkan.

Hal ini bersesuaian dengan maksud ayat 29 daripada Surah al-Nisa’:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya, Allah sentiasa mengasihani kamu.

Allah SWT turut berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu makan harta antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian daripada harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.”

Mengapakah ada manusia yang tergamak merampas hak orang lain? Jawapannya cukup mudah. Pertama, demi kepentingan diri sendiri atau kelompoknya. Kedua, mencapai misi dengan jalan mudah dan seterusnya mengaut keuntungan meski terpaksa hidup atas kesengsaraan insan yang dianiaya. Lebih mendukacitakan lagi, perilaku mazmumah itu ada kalanya dilakukan secara terang-terangan, namun dengan menggunakan taktik paling licik dan tercela. Bukankah dengan berbuat demikian merupakan satu perbuatan zalim dan bentuk kejahatan dahsyat?

Berdasarkan hadis riwayat Muslim menjelaskan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa-siapa pun yang mengambil hak orang Muslim dengan sumpahnya, Allah menentukan neraka baginya, lalu mengharamkan syurga baginya.” Ada lelaki yang bertanya kepada Nabi SAW: “Walaupun hal tersebut merupakan hal yang sangat remeh, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Walaupun itu sebatang kayu siwak daripada pohon arak.”

Dalam hadis riwayat al-Tirmidzi, sabda Baginda lagi, maksudnya: “Siapa-siapa merampas milik orang, ia bukan daripada golongan kami.”

Jabatan Mufti Sarawak (JMS) dalam laman webnya turut mengupas tentang isu mengambil hak orang lain dengan memetik kenyataan dalam Tafsir al-Munir yang dinukilkan oleh Syeikh Profesor Dr. Wahbah al-Zuhaili. Menurut kupasan tersebut, Islam agama yang agung ini begitu menekankan soal halal dan haram dari segi pemilikan demi meraih keredaan-Nya.

Rasulullah SAW melarang sesiapa pun mengambil barang yang bukan milik mereka walau nilainya tidak seberapa. Pernyataan itu sesuai dengan hadis riwayat Abu Dawud, Abdullah bin Saib bin Yazid mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah salah seorang daripada kamu mengambil barang saudaranya sama ada untuk bergurau senda atau benar-benar (mahu mengambilnya).” Berkata Sulaiman: “Sama ada bergurau dan bersungguh-sungguh.” Baginda bersabda: “Sesiapa yang mengambil tongkat saudaranya, maka pulangkan ia.”

Barangkali perilaku merampas hak orang lain demi memuaskan hati dan menunaikan cita-cita yang terpendam dapat direalisasikan di alam nyata. Namun demikian, ingatlah, kita mungkin sudah menang di dunia, tetapi tidak di akhirat.

Hak sesama manusia perlu diselesaikan segera di muka bumi. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap daripada kita tidak tahu, bilakah ajal kita akan tiba? Seandainya penyelesaian tidak dapat dilaksanakan, mahkamah keadilan Allah menanti si pendosa.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.