22 Disember 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Supaya kamu duduk tetap di atas belakangnya, kemudian kamu mengingati nikmat Tuhanmu apabila kamu telah duduk tetap di atasnya dan kamu (bersyukur dengan) mengucapkan, “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.”

(Surah al-Zukhruf 43:13)

Memandu secara berhemah bermaksud mengendalikan kenderaan dengan tatacara yang tertib dan selamat, dengan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, di samping mengelakkan diri dan pengguna jalan raya lain daripada musibah kemalangan.

Islam bukan sahaja menganjurkan umatnya untuk mengendalikan kenderaan secara berhemah, malah turut menganjurkan agar mereka memiliki kenderaan yang baik untuk kegunaan urusan harian, begitu juga untuk melakukan ibadat, selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Antara tanda kebahagiaan seseorang termasuklah (memiliki) rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Jalan raya merupakan kemudahan awam yang digunakan setiap hari oleh pelbagai pihak, merangkumi lori, bas, van, kereta, motosikal, basikal dan pejalan kaki. Pelbagai kemalangan yang menyebabkan kemusnahan harta dan mengorbankan nyawa berlaku di jalan raya.

Untuk menggelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, pengguna jalan raya haruslah memandu dengan berhemah dan sentiasa mementingkan langkah-langkah keselamatan.

Saban tahun, kemalangan jalan raya semakin meningkat. Rekod Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa sepanjang tahun 2022, sebanyak 545 630 kes dilaporkan berlaku di seluruh negara; pada purata berlaku satu kematian setiap 90 minit. Di Perak, sebanyak 37 900 kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku antara Januari hingga November 2023; pada purata 117 kemalangan setiap hari, menyebabkan 447 kematian penunggang motosikal dan 189 kematian pemandu atau penumpang pelbagai kenderaan lain.

Antara punca berlaku kemalangan jalan raya termasuklah sikap terburu-buru dan ingin cepat sampai ke destinasi, sikap mementingkan diri sendiri, gagal mengawal emosi, memandu dalam keadaan mabuk, mengantuk atau kurang sihat, tiada tumpuan ketika memandu kerana menggunakan telefon, cuai dan leka, melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, menyalahgunakan lorong kecemasan, tidak menjarakkan kenderaan dengan betul, tidak memasang tali pinggang keselamatan atau topi keledar, dan keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik.

Lebih tidak bertanggungjawab apabila pengguna jalan raya melakukan perbuatan berbahaya, seperti kegiatan lumba haram, membuli pengguna jalan raya yang lain, melakukan aksi ngeri, dan sifat mahu bermegah mempamerkan kehebatan kenderaan yang dimiliki. Perbuatan yang membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain sangat ditegah oleh agama.

Pelbagai perkara buruk boleh berlaku sekiranya umat Islam tidak mengamalkan pemanduan yang berhemah. Banyak pihak akan mengalami kesengsaraan dan penderitaan apabila berlaku kerugian harta, kecacatan anggota, apatah lagi kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya. Kehilangan nyawa orang tersayang akan menyebabkan kesengsaraan hidup banyak insan seperti anak kehilangan ayah atau ibu tempat bergantung, ibu bapa kehilangan anak yang dikasihi, isteri kehilangan suami, begitu juga suami kehilangan isteri.

Syariat Islam amat mementingkan nilai nyawa manusia. Satu daripada maqasid syariah menekankan pentingnya memelihara nyawa. Nilai tinggi yang diletakkan pada nyawa terbukti apabila Islam menetapkan beberapa hukum dalam fiqah jenayah seperti bayaran denda (diat) dan lain-lain yang bertujuan agar nyawa dilindungi, dijamin dan dipelihara.

Oleh itu, amalan mematuhi undang-undang jalan raya serta memandu secara berhemah merupakan usaha dan ikhtiar yang dituntut sebagai langkah melindungi nyawa, di samping melindungi diri dan pengguna jalan raya daripada dilanda musibah. Umat Islam yang istiqamah dan menggunakan jalan raya secara berhemah sebenarnya telah melakukan amalan soleh dan berjaya memenuhi maksud “bertawakal”.

Patuhilah peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Umat Islam wajib mengamalkan sifat sabar, bertimbang rasa dan bertolak ansur terhadap pengguna jalan raya yang lain. Hindari sifat terburu-buru sehingga mengabaikan keselamatan dan hak pengguna jalan raya. Umat Islam dianjurkan agar mengamalkan sifat lemah lembut dan bertenang ketika berada di jalan raya, selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang Allah SWT menyukainya, iaitu lemah lembut dan bertenang.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Demi memastikan pemanduan berhemah diamalkan, beberapa perkara seharusnya diberikan perhatian.

  • Pertama: Sebelum memandu, periksa dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, dan telah diselenggarakan dengan baik berpandukan jadual yang ditetapkan.
  • Kedua: Mulakan pemanduan atau perjalanan dengan membaca doa seperti doa yang terkandung dalam ayat 13 dan 14 Surah al-Zukhruf, iaitu:

  • Ketiga: Digalakkan menunaikan solat sunat musafir dua rakaat sebelum memulakan perjalanan, agar perjalanan diberkati, dipermudah dan dilindungi oleh Allah SWT.
  • Keempat: Ketika memandu, lakukan kegiatan bermanfaat yang boleh mendekatkan diri kepada Ilahi seperti mendengar bacaan al-Quran, mengulang hafalan al-Quran, berzikir, beristighfar dan berselawat.
  • Kelima: Memastikan diri mendapat tidur dan rehat yang secukupnya sebelum memandu terutama untuk perjalanan yang jauh.
  • Keenam: Mematuhi segala undang-undang dan peraturan jalan raya. Peka dan memberikan tumpuan terhadap kawasan sekeliling seperti memperlahan kenderaan ketika melalui kawasan sekolah, hospital, kawasan lintasan pejalan kaki dan kawasan perumahan.

Memastikan keselamatan di jalan raya merupakan tanggungjawab bersama. Menjadi kelaziman bagi ummah membawa keluarga dan anak-anak bersiar-siar di tempat peranginan terutama semasa musim cuti. Lazimnya, jalan raya akan lebih sesak pada waktu cuti sekolah dan cuti perayaan. Untuk itu, memandulah dengan cermat dan berhati-hati.

Ingatlah pesanan orang-orang tua, “biar lambat asalkan selamat”. Amalkan sikap saling menghormati terhadap pengguna jalan raya, utamakan sifat sabar, ketepikan emosi agar sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan bijaksana dan berhemah. Sentiasalah mengingati bahawa musibah dan kehilangan nyawa boleh dihindari dengan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta menjaga adab, akhlak dan kesopanan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Jadikan kami antara hamba-Mu yang mengamalkan sifat sabar, bertimbang rasa dan bertolak ansur ketika berada di jalan raya. Kurniai kami dan ahli keluarga kami keselamatan dan perlindungan daripada musibah kemalangan, bencana alam dan perkara yang boleh mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 22 Disember 2023, bertajuk “Memandu Secara Berhemah: Kesempurnaan Ciri Mukmin”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.