20 Disember 2023, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Melaka mencatatkan kutipan zakat sebanyak lebih daripada RM115.5 juta setakat 15 Disember lepas, iaitu peningkatan sebanyak 12.02 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas, berjumlah RM103.1 juta.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah itu melibatkan kutipan zakat harta, iaitu sebanyak RM109.8 juta dan zakat fitrah (RM5.75 juta).

Menurut Rahmad, zakat pendapatan menunjukkan jumlah kutipan tertinggi, iaitu sebanyak RM66.8 juta diikuti zakat perniagaan (RM22.5 juta) dan zakat wang simpanan (RM18.2 juta).

“Kutipan zakat terendah ialah zakat pertanian, iaitu sebanyak RM49,199 selain zakat ternakan (RM53,543),” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh agensi-agensi korporat yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, di Dewan Seri Utama, Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Haji Md. Rawi; dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.

Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bergambar bersama-sama tetamu dan wakil 15 agensi korporat selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Dewan Seri Utama, Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 15 agensi melunaskan pembayaran zakat perniagaan masing-masing yang berjumlah RM6,162,435.44.

Antara pelunas zakat perniagaan agensi korporat termasuklah Kumpulan UTeM Holdings, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Fazil Group, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd., CIMB Islamik Bank Berhad, CelcomDigi Berhad, Pembangunan Pertanian Melaka Sdn. Bhd., Affin Islamic Bank Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Bank Simpanan Nasional, Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd., Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dan Melaka Bekal Sdn. Bhd.

Rahmad berkata, bilangan pembayar zakat pula adalah sebanyak 48,685 orang, menurun 4.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama, iaitu sebanyak 50,875 orang pada tahun lepas.

“Kerajaan negeri juga berharap agensi-agensi korporat lain akan turut melunaskan zakat perniagaan kepada Zakat Melaka demi memenuhi tuntutan lapan golongan asnaf zakat di negeri ini,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.