18 Disember 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Akhlak dan adab merupakan dua konsep yang berkaitan rapat dengan tingkah laku seseorang dalam konteks moral. Definisi akhlak merujuk budi pekerti, moral dan perilaku yang baik. Hal ini mencakupi nilai etika dan prinsip moral yang membimbing seseorang ketika berinteraksi dengan orang lain dan menjalani kehidupan seharian.

Definisi adab pula merujuk tatacara atau tingkah laku yang sesuai dengan keadaan dan tempat. Hal ini meliputi tatacara semasa bercakap, makan, berpakaian, menghormati orang lain dan sebagainya. Kedua-duanya menunjukkan nilai murni yang baik dalam diri seseorang untuk menjadi insan yang mulia. Definisi ilmu pula ialah pengetahuan tentang perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.

Secara umumnya, adab, akhlak dan ilmu merupakan perspektif yang berbeza, namun mengikat antara satu dengan lain. Abu Zakariya al-Anbari rahimahullah berkata: “Ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar, dan adab tanpa ilmu seperti jasad tanpa roh.” Kalam beliau itu menunjukkan bahawa ilmu dan adab amat berkaitan rapat. Selain itu, kepentingan adab sebelum menuntut ilmu telah disebutkan oleh para ulama, iaitu, “Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu dan dengan mempelajari adab, maka engkau mudah memahami ilmu.”

Seseorang pelajar hendaklah sentiasa menjaga adab bersama-sama gurunya supaya ilmu yang diperoleh akan mendapat keberkatan.

Para ulama lebih mendahulukan adab daripada ilmu kerana ilmu merupakan sesuatu yang mulia dan besar nilainya. Sebelum menuntut ilmu, seseorang itu perlulah mempunyai adab supaya setiap ilmu yang dipelajari atau dituntut dapat diterima dengan baik, positif dan bukan kerana paksaan. Jika ilmu boleh diibaratkan pada manusia, maka ilmu ialah lelaki sementara adab ialah wanita. Ilmu ialah bapa dan adab pula ibunya. Setelah seseorang itu menuntut ilmu, maka dia hendaklah tetap menjaga adab bersama-sama gurunya dengan menjadikan ilmu dan adab itu selari serta tidak mengabaikan kedua-duanya.

Adab dan akhlak amat dititikberatkan dalam kehidupan seseorang, bahkan walaupun untuk menuntut ilmu. Ilmu tanpa adab merupakan satu perkara yang sia-sia. Hal ini dapat dilihat melalui hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Hadis lain berkenaan adab dan akhlak adalah daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak aku diutus melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad).

Berdasarkan kedua-dua hadis tersebut, jelas bahawa Rasulullah SAW turut mementingkan adab dalam apa-apa jua keadaan, termasuklah menuntut ilmu. Bahkan Rasulullah SAW juga merupakan contoh terbaik yang memiliki keagungan akhlak yang mulia. Hal tersebut telah ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam 68:4).

Di samping itu, Surah al-Kahfi ayat 60 sehingga 82 telah menceritakan kisah Nabi Musa dipertemukan dengan Nabi Khidir dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Dalam kisah tersebut, diringkaskan bahawa Nabi Musa ingin menuntut ilmu dengan Nabi Khidir dan dipersetujui oleh Nabi Khidir dengan syarat bahawa Nabi Musa tidak boleh bertanya tentang tindakan Nabi Khidir sehingga beliau menjelaskannya sendiri. Meskipun berasa hairan, Nabi Musa menyetujui syarat itu. Sepanjang perjalanan, Nabi Khidir melakukan tiga tindakan yang pelik, iaitu melubangi perahu nelayan, membunuh seorang kanak-kanak, dan membaiki tembok tanpa ganjaran.

Nabi Musa ingin mengetahui sebab Nabi Khidir melakukan perkara tersebut, tetapi Nabi Khidir sering mengingatkan agar tidak bertanya sehingga dijelaskan nanti. Sebelum mereka berpisah. Nabi Khidir menjelaskan bahawa tindakannya atas dasar ilham daripada Allah SWT dan memiliki hikmah yang tertentu.

Dalam kejadian pertama, lubang pada perahu nelayan itu bertujuan untuk menyelamatkan perahu daripada raja zalim yang menyita perahu rakyat. Dalam kejadian kedua, pembunuhan anak kecil tersebut adalah untuk mencegah kesedihan dan kesulitan kedua-dua orang tuanya kerana anak tersebut akan menjadi derhaka dan kafir. Kejadian terakhir pula, iaitu membaiki tembok rumah adalah untuk melindungi harta warisan dua orang anak yatim piatu daripada orang-orang jahat yang ingin merampasnya. Kemudian, Nabi Khidir menegaskan bahawa ilmu yang dimilikinya berasal daripada rahmat Allah SWT dan banyak perkara yang tidak diketahui manusia kerana pemikiran manusia terbatas dan hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Daripada kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir tersebut dapat dipelajari bahawa sebagai manusia, kita haruslah selalu merendah hati dan tidak sombong dengan ilmu yang dimiliki kerana pasti ada orang lain yang lebih berilmu daripada kita. Kita juga haruslah selalu belajar daripada orang yang lebih berilmu dan bersikap hormat serta sabar.

Selain daripada kisah para nabi yang terdapat dalam al-Quran, para ulama juga telah mengajarkan umat Islam untuk menuntut ilmu dengan penuh adab. Hal ini dikatakan demikian kerana para ulama amat menjaga adab apabila menuntut ilmu bersama-sama guru mereka. Contohnya Imam Syafii, walaupun beliau telah digelar sebagai ulama mazhab yang tersohor dan memiliki ilmu yang hebat, beliau tetap merendah diri dan memiliki adab yang tinggi, terutamanya dalam hal menghormati guru yang pernah mengajar beliau walaupun ilmu tersebut sedikit. Imam Syafii juga menjadi teladan yang baik kepada masyarakat Islam untuk terus menjaga adab dalam menuntut ilmu kerana kesungguhan menuntut ilmu dan juga adab terhadap para guru akan menyebabkan ilmu yang diperoleh itu berkat.

Selain itu, Imam Muslim juga merupakan ulama hadis yang tersohor selepas gurunya, Imam al-Bukhari. Beliau amat menyantuni gurunya dengan adab yang tinggi dan beliau sendiri memuliakan gurunya. Kisah daripada riwayat Ahmad Ibn Hamdun al-Qashar mengatakan bahawa Imam Muslim pernah mendatangi Imam al-Bukhari untuk bertanya tentang hadis mu‘allal, beliau langsung mencium kening gurunya sebagai tanda hormat dan kasih terhadap gurunya itu.

Adab dan akhlak menjadikan sesuatu ilmu itu lebih dipandang mulia oleh Allah SWT.

Begitulah adab dan akhlak para ulama terhadap guru mereka ketika menuntut ilmu. Mereka telah menunjukkan adab dan ilmu itu perlu digandingkan bersama dan tidak boleh dipisahkan supaya manusia tidak sombong dan bangga dengan ilmu yang dimiliki kerana semakin tinggi ilmu manusia itu, maka semakin mereka berasa hebat, walhal ilmu itu hanya sekadar ilmu dan bukan dengan keberkatan.

Kesimpulannya, adab dan akhlak merupakan landasan seseorang untuk memiliki ilmu yang lebih berkat dan mendatangkan manfaat untuk diri sendiri serta orang lain. Oleh itu, adab dan akhlak menjadikan sesuatu ilmu itu lebih dipandang mulia oleh Allah SWT berbanding dengan ilmu yang dipelajari tanpa adab dan akhlak. Sebagai manusia yang masih berusaha menuntut ilmu, kita hendaklah menjaga adab dan akhlak supaya ilmu yang dituntut tidak menjadi sia-sia dan memperoleh pahala ketika menuntutnya. Akhir sekali, kita haruslah mengambil iktibar daripada kisah para anbia dan ulama yang menjaga adab dan akhlak ketika menuntut ilmu bersama-sama guru mereka supaya kita dapat berazam untuk terus menjaga adab dan akhlak ketika menuntut ilmu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.