15 Disember 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada seorang antara kamu, (kalau tidak) maka (pada saat itu) dia akan merayu dengan berkata, ‘Wahai Tuhanku, sekiranya  Engkau berkenan menangguhkan kematianku sedikit waktu lagi, maka aku akan bersedekah dan aku akan menjadi orang yang soleh!’”

(Surah al-Munafiqun 63:10)

Sedekah merupakan ibadat sunat yang sangat disukai oleh Allah SWT; berupa perbuatan memberi kepada golongan yang memerlukan kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pemberian sedekah hendaklah diutamakan kepada sanak saudara, fakir miskin, anak yatim, begitu jua golongan fi sabilillah, dengan mendahului kalangan ahli keluarga yang terdekat.

Manusia dikurniakan rezeki secara berbeza, sebagai rahmat dan ujian daripada Allah SWT. Ada yang dikurniakan kemewahan dan keselesaan, ada pula yang hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Oleh sebab itu, terdapat insan yang berada dalam kesusahan yang selayaknya diberikan bantuan. Umat Islam yang bersedia menghulur bantuan kepada insan yang memerlukan merupakan umat Islam yang telah menyambut seruan Ilahi, meletakkan dirinya sebagai insan terpuji – berjiwa insani, sanggup berkongsi sebahagian harta yang dimiliki demi kesejahteraan bersama.

Bersedekah wajar diberikan menurut keperluan penerimanya; sama ada berbentuk wang ringgit, makanan, pakaian, perumahan dan pengangkutan, termasuk ubat-ubatan, peralatan perubatan, rawatan perubatan, juga keperluan alatan kerja atau pembelajaran, serta tajaan pengajian.

Allah SWT mengurniakan ganjaran amat besar kepada hamba-Nya yang bersedekah. Sedekah tidak terikat dengan masa, tempat mahupun jumlah yang dibelanjakan. Umat Islam boleh melakukannya pada bila-bila masa, walau di mana jua berada, dan meski sekecil mana pun jumlahnya, asalkan sedekah dilakukan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, dan bukannya mahu menunjuk-nunjuk dengan perasaan riak dan bangga untuk mendapat pujian manusia.

Allah SWT mengurniakan ganjaran amat besar kepada hamba-Nya yang bersedekah.

Firman Allah SWT ayat 10 Surah al-Munafiqun mengisyaratkan bahawa amalan bersedekah ialah peluang yang mesti direbut selagi hayat dikandungi badan. Menurut ahli tafsir Imam al-Tabari, Allah SWT memaparkan keluhan berbentuk penyesalan oleh mereka yang ketika berada di dunia, tidak melakukan amalan bersedekah sehinggakan mereka merayu agar ditangguhkan saat kematian untuk berkesempatan melakukan amalan sedekah.

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa kelebihan yang banyak sedang menanti di akhirat buat mereka yang suka bersedekah, dan kesempatan bersedekah itu disediakan ketika kita masih berada di dunia. Antara kelebihan amalan bersedekah termasuklah:

Pertama: Sedekah tidak akan sesekali mengurangkan harta sedia ada bahkan harta akan sentiasa bertambah berkat. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidak berkurang harta dengan sebab sedekah dan tidaklah seseorang yang memaafkan kecuali Allah tambahkan baginya kemuliaan.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Kedua: Sedekah berupaya menghapuskan murka Allah kepada pelaku dosa dan kesilapan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan, puasa itu ibarat perisai dan sedekah pula memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Ketiga: Sedekah menjadikan seseorang itu mendapat pahala yang berterusan sekalipun telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang mendoakan baginya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Keempat: Sedekah berupaya menyelamatkan umat Islam daripada bala bencana, mendapat kelapangan jiwa, menyucikan harta, penawar kepada penyakit hati, mencapai hakikat kebaikan dan akan sering didoakan oleh para malaikat.

Atas rahmat Allah SWT, Islam yang amat luas tidak menyempitkan sedekah dalam bentuk wang ringgit dan harta benda sahaja. Sebaliknya, sedekah merangkumi pelbagai amal kebaikan lain, antaranya menyampaikan ilmu pengetahuan, memberikan dorongan dan bimbingan, memberikan masa dan tenaga melakukan amal tanpa memikirkan upah, menghalalkan hutang, menjaga dan merawat orang sakit dan pelbagai lagi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Tiap-tiap perkara yang makruf itu menjadi sedekah. (Antaranya) hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu, biarlah dengan muka yang manis (senyuman) dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Zahirkan kesyukuran atas nikmat kurniaan Ilahi dengan bersifat pemurah, sentiasa menggunakan harta untuk menolong orang yang daif, uzur, fakir miskin dan anak yatim. Manfaatkan harta kurniaan Ilahi dengan membantu orang yang memerlukan rawatan perubatan dan anak yang memerlukan pembiayaan pendidikan.

Umat Islam wajib membetulkan pandangan terhadap harta dengan menjadikannya sebagai alat untuk meraih kebahagiaan dunia dan kejayaan akhirat. Harta tidak boleh dijadikan bahan untuk dibangga-banggakan, untuk bermewah-mewah sehingga berlaku pembaziran. Harta tidak sepatutnya menjadikan manusia bersifat sombong, bongkak, riak, tamak dan bakhil.

Mimbar menyenaraikan dua kesimpulan:

Pertama: Jadikan amalan bersedekah sebagai budaya hidup. Semaikan budaya bersedekah, sekalipun dalam jumlah yang kecil, dalam jiwa anak-anak ketika masih usia kecil, agar mereka dapat melazimkan amalan bersedekah.

Semaikan budaya bersedekah dalam jiwa anak-anak ketika mereka masih kecil.

Kedua: Allah menjanjikan kepada hamba-Nya yang membelanjakan harta sama ada zakat, wakaf, infak dan sedekah akan digantikan dengan nikmat yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Firman-Nya dalam Surah Saba ayat 39:

Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya dalam kalangan hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Dan apa-apa sahaja yang kamu belanjakan, maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki”.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bukakan pintu hati kami cenderung untuk sentiasa melakukan amalan sedekah dan bimbing hati kami agar ikhlas melakukannya demi mengharapkan reda, keampunan dan rahmat-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah 15 Disember 2024, “Ganjaran Bersedekah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.