13 Disember 2023, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pepatah Inggeris menyatakan, “What you give, you get back” yang bermaksud seseorang manusia, apabila membuat sesuatu perkara sama ada baik atau buruk terhadap orang lain, akan dibalas setimpal dengan perlakuannya. Hal ini berkait rapat dengan pernyataan, “jika kita mengasihi orang lain, maka kita juga akan dikasihi”.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:

Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 5997).

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 59, mafhumnya, kita diperintahkan untuk mentaati Allah dan rasul-Nya dengan mengamalkan apa-apa yang diperintahkan serta meninggalkan apa-apa yang dilarang. Maka itu, perlu ke atas kita sebagai Muslim untuk memupuk sikap mengasihi dalam diri sejajar dengan hadis nabi Muhammad bagi memastikan kehidupan kita sentiasa dikasihi oleh masyarakat di sekeliling kita.

Hidup berkasih bermaksud kehidupan manusia yang berkasih sayang antara satu dengan lain dengan menunjukkan sikap hormat-menghormati serta saling menyayangi tanpa mengira usia, pangkat ataupun harta kekayaan. Sesungguhnya, hidup dalam keadaan berkasih mampu memberikan impak yang positif dalam kalangan masyarakat. Hidup berkasih bukan hanya perlu diterapkan dalam diri masyarakat Muslim malah sikap ini juga turut dituntut kepada semua masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama bagi memastikan wujud kehidupan yang harmoni serta bebas daripada pertelingkahan dan perbalahan yang boleh membawa kepada keruntuhan sesebuah negara.

 

Mengasihi Ahli Keluarga

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, no.3895).

Kasih sayang merupakan pelengkap kesejahteraan keluarga.

Keluarga merupakan orang yang paling dekat dengan kita dan sentiasa bersama-sama kita dalam tempoh yang lama. Pada asasnya, sebuah institusi keluarga terdiri daripada ibu dan ayah serta anak-anak yang dibesarkan oleh kedua-dua ibu bapa dengan penuh kasih sayang.

Menurut kata pepatah, meluntur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini menggalakkan agar ibu bapa mula mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana pada peringkat usia kanak-kanak, proses kognitif dalam minda mereka sedang aktif berkembang yang seterusnya membantu dalam proses penerimaan berkaitan apa-apa yang diajari kepada mereka.

Justeru itu, ibu bapa perlu mendidik anak dengan nilai-nilai murni seperti nilai mengasihi sejak kecil lagi. Sesungguhnya, anak menjalani proses pembelajaran dengan cara pemerhatian dan anak akan mula mencontohi tingkah laku ibu bapa mereka. Maka itu, ibu bapa hendaklah menjadi contoh dan teladan kepada anak dengan menunjukkan sifat yang baik seperti sifat mengasihi sesama insan.

Sebagai contoh, bapa sebagai suami yang mengasihi isterinya menunjukkan tingkah laku seperti merawat dan membantu isterinya ketika dalam keadaan tidak sihat. Apabila anak-anak melihat perbuatan ini, mereka akan mula merasakan bahawa penting untuk mengasihi seseorang yang berada dalam kepayahan atau kesakitan dengan membantu mengurangkan beban mereka.

 

Kasih Sesama Insan

Sesungguhnya terdapat pelbagai cara untuk kita menzahirkan rasa kasih terhadap masyarakat di sekeliling kita seperti memberikan bantuan ketika dalam kesukaran. Sebagai contoh, membantu warga emas melintasi jalan raya dan memberikan bantuan kewangan kepada orang yang berkeperluan serta masyarakat yang ditimpa musibah dan bencana.

Selain itu, kita juga boleh memberikan hadiah kepada insan sekeliling agar dapat mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan sesama insan, seiring dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Hendaknya kalian saling memberikan hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 594).

 

Mengasihi Alam Sekitar

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud, “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

Alam sekitar merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah untuk hamba-Nya, seperti tanah subur yang dimanfaatkan untuk bercucuk tanam. Alam sekitar juga mampu menampung keperluan kehidupan manusia dengan membekalkan pelbagai sumber kehidupan seperti makanan, minuman dan sumber tenaga.

Untuk menunjukkan rasa kasih terhadap alam sekitar, pelbagai tindakan boleh dilakukan seperti menggalakkan dan mengajak masyarakat untuk memelihara alam sekitar melalui kempen, tidak membuang sampah di merata-rata tempat sehingga boleh mencemarkan kawasan persekitaran, tidak membakar sampah di kawasan terbuka, menyertai aktiviti sukarelawan membersihkan kawasan persekitaran, serta mengamalkan konsep kitar semula yang membantu dalam pengurangan pengambilan sumber-sumber bahan mentah semula jadi sekali gus dapat mengurangkan risiko pencemaran.

Aktiviti pembersihan kawasan persekitaran secara gotong-royong dapat memupuk perasaan kasih terhadap alam sekitar.

Kita digalakkan untuk mengasihi semua benda hidup yang wujud di bumi bukan sekadar manusia malah tumbuhan dan haiwan. Tumbuhan banyak memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia, antaranya termasuklah menghasilkan oksigen, sumber makanan, bahkan sebahagian daripada tumbuhan boleh dimanfaatkan oleh manusia bagi tujuan pembinaan.

Dalam hal ini, manusia boleh mengasihi tumbuhan dengan tidak memusnahkannya tanpa tujuan. Sesungguhnya, semakin berlalu masa semakin meningkat aktiviti penebangan pokok bagi tujuan pembinaan. Jika perkara ini berterusan, hal ini akan memberikan kesan yang buruk terhadap manusia. Oleh itu, manusia bertanggungjawab untuk memelihara hutan simpan agar pokok yang banyak memberikan manfaat ini tidak pupus disebabkan oleh tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab.

 

Ihsan terhadap Haiwan

Mengasihi haiwan juga merupakan perkara yang penting dan digalakkan dalam Islam. Sebagaimana perintah Rasulullah SAW supaya memperelok sembelihan sebagai tanda ihsan kepada binatang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika kamu menyembelih, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1955).

Hadis ini menjejaskan kepada kita berkaitan tindakan yang boleh dilakukan bagi menunjukkan rasa kasih terhadap haiwan sehinggakan dalam proses penyembelihan, dinyatakan cara-cara yang diajar oleh Rasulullah bagi mengurangkan kesakitan terhadap haiwan yang disembelih.

Begitu indah dan luas kasih sayang yang disemai dalam diri seseorang Muslim. Muslim yang mengasihi diri, keluarga, masyarakat dan makhluk yang paling pasti akan dikasihi oleh yang lainnya dan seterusnya mencapai ketenangan jiwa serta mengecap kebahagiaan dalam kehidupan. Yang paling penting, perasaan kasih sayang yang terindah ialah kasih yang disandarkan kepada Allah SWT yang Maha Penyayang.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.