8 Disember 2023, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

(Surah al-Mukminun 23:1-2)

Dari sudut bahasa, solat bermakna doa, manakala dari sudut istilah syarak, solat bermaksud beberapa perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbiratulihram, diakhiri dengan salam, serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Solat lima waktu sehari semalam, merupakan ibadat khusus dan teristimewa buat umat Islam. Berbeza dengan ibadat lain, perintah melaksanakan solat disyariatkan secara langsung ketika Nabi Muhammad SAW dijemput menghadap Allah SWT dalam peristiwa Israk Mikraj.

Solat lima waktu sehari semalam merupakan ibadat utama, juga antara rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim. Solat digambarkan sebagai tiang agama yang menjadi bukti serta kayu ukur utama ketaatan seseorang hamba. Jika ibadat solat berjaya dilaksanakan dengan sempurna, maka akan bertambah baiklah perilaku dan keseluruhan hidup seseorang insan.

Kewajipan bersolat difardukan oleh Allah SWT berpandukan ayat 103 Surah al-Nisa’:

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang yang beriman.”

Firman Allah SWT melalui ayat 1 dan 2 Surah al-Mukminun mengisyaratkan bahawa solat yang dilakukan dengan khusyuk serta penuh penghayatan merupakan kunci untuk meraih kejayaan hidup. Solat ialah saat yang paling berharga jika dibandingkan dengan keseluruhan masa yang dilalui oleh seseorang hamba Allah. Solat mempengaruhi corak kehidupan, menjadi benteng dan pelindung yang berupaya mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar, serta membuatkan jiwa cenderung untuk menggandakan amal kebaikan.

Amat beruntung bagi orang yang menjaga kewajipan solat. Solat membuahkan ciri-ciri murni pada perilaku sehingga kesannya dapat dilihat melalui pertuturan yang berhemah, gaya fikir yang matang, sifat sabar, gemar melakukan amal bakti, mendukung kebenaran, mesra dalam pergaulan, bijak mengurus waktu dan pelbagai sifat murni.

Lebih penting daripada itu, solat turut mempengaruhi kesihatan mental seseorang, memberikan ketenangan, kedamaian jiwa serta mengurangkan tekanan perasaan, sekali gus bermanfaat kepada kesihatan fizikal. Malaysia mencatatkan peningkatan masalah kesihatan mental. Rekod Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan jumlah orang yang mendapatkan rawatan atau sokongan sosial meningkat lima kali pada tahun 2022 berbanding dengan tahun 2020. Oleh hal yang demikian, demi melepaskan diri daripada masalah tekanan dan kesihatan mental, ummah diseru meningkatkan kefahaman dan penghayatan solat, serta bersungguh-sungguh melakukannya kerana solat mampu menjadi terapi kesihatan mental dan kesihatan fizikal.

Amat malang bagi sesiapa yang dengan sengaja meninggalkan solat atau memandang ringan untuk melakukan solat. Mereka bukan sahaja mengalami kerugian berganda kerana tidak merebut serta memperoleh kebaikan dan manfaat yang telah dijanjikan, tetapi turut melakukan dosa kerana mengingkari perintah Ilahi. Semoga kita sentiasa memanfaatkan usia kurniaan Ilahi dengan merebut ganjaran yang dianugerahkan apabila kita menyempurnakan solat, serta dijauhkan daripada golongan mereka yang mendapat azab kerana meninggalkan solat.

Firman Allah SWT dalam ayat 42 dan 43 Surah al-Muddaththir yang bermaksud:

(Ahli syurga bertanya kepada ahli neraka) Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Mereka (ahli neraka) menjawab: ‘Kami (ketika di dunia) tidak termasuk dalam golongan yang mendirikan solat.’

Solat berupaya meluruskan perjalanan hidup. Ummah yang masih hanyut dalam perbuatan maksiat dan mungkar, menandakan masih gagal melakukan solatnya secara sempurna. Mereka perlu menyemaikan azam baharu – niat dan tekad yang bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan, serta berusaha memperbaiki kualiti solat agar mencapai tahap sempurna.

Kunci kejayaan bermula dengan amalan solat pada awal waktu. Istiqamah melazimkan solat pada awal waktu, menunjukkan orang yang berjaya mendisiplinkan dirinya dengan pengurusan waktu yang betul dan tepat. Apatah lagi jika solat didirikan secara berjemaah sama ada dengan ahli keluarga di rumah, lebih-lebih lagi amalan berjemaah di masjid atau surau. Allah SWT berjanji akan melimpahkan rahmat dan hidayah, seterusnya menjanjikan kejayaan dunia serta akhirat kepada mereka yang mengutamakan hak Allah dalam urusan hidupnya.

Nabi Muhammad SAW menganjurkan umatnya agar mendirikan solat secara berjemaah pada setiap waktu dengan menjanjikan 27 ganjaran lebih besar berbanding dengan solat secara bersendirian, terutama solat jemaah di masjid atau surau pada waktu isyak dan subuh seperti sabda Baginda yang bermaksud, “Sekiranya mereka mengetahui apa (yang diganjarkan) pada solat isyak dan subuh, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya, walaupun dalam keadaan merangkak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Solat secara berjemaah amat dituntut dalam Islam.

Demi memastikan ibadat solat dilaksanakan dengan sempurna dan khusyuk, terdapat empat perkara yang perlu dititikberatkan:

  • Pertama: Anggaplah solat sebagai peluang terbaik untuk menghadap Allah SWT. Usah terburu-buru melaksanakannya. Hadirkan sepenuh jiwa dan perasaan, serta berikan tumpuan pada bacaan sambil membayangkan kita sedang bertutur di hadapan Allah SWT yang melihat kita.
  • Kedua: Andai kata kita diberikan kesempatan bertemu seorang raja atau pemimpin tertinggi, maka sudah tentu kesempatan tersebut akan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Demikian juga solat merupakan kesempatan bertemu Ilahi, ruang untuk ummah memohon keampunan dan pertolongan, merintih penyesalan, mengadu kelemahan, meminta kekuatan dan panduan untuk menghadapi ujian hidup.
  • Ketiga: Anggaplah tiada panggilan yang lebih utama daripada panggilan Ilahi pada saat azan berkumandang. Tinggalkan semua urusan kerja mahupun urusan peribadi, dan utamakan urusan menyahut seruan Ilahi dengan bergegas hadir ke rumah-rumah Allah, bersolat secara berjemaah di masjid atau surau.
  • Keempat: Ketika bersolat, kita sebenarnya menghadirkan diri di hadapan Allah SWT. Oleh itu, tunjukkan sifat-sifat memuliakan Allah SWT dengan membersihkan diri, berpakaian kemas dan indah, memakai haruman, hadir awal ke masjid, iaitu rumah Allah, bersolat sunat tahiyatul masjid, bersolat sunat rawatib, serta bersolat sunat yang dianjurkan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jadikanlah kami dan seluruh ahli keluarga kami dalam kalangan hamba-Mu yang istiqamah melaksanakan ibadat solat dengan sempurna lagi khusyuk. Bukakan pintu hati kami agar terdorong mengutamakan solat sebaik-baik terdengar seruan azan dan melakukan solat secara berjemaah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 8 Disember 2023, bertajuk “Kepentingan Solat”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.