1 Disember 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT ayat 37 Surah Hud Maksudnya: “Dan binalah bahtera itu dengan pengawasan dan panduan melalui wahyu Kami, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku tentang orang yang zalim itu. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan (dalam ribut dan banjir besar).”

(Surah Hud 11:37)

Allah SWT telah menetapkan syariat Islam sebagai asas kejayaan dan jalan kebahagiaan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan menjadi pemangkin utama dalam usaha membangunkan ummah dan memajukan negara. Namun begitu, ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan mesti bertunjangkan tauhid kepada Allah yang Maha Esa, agar manusia tidak tergelincir akidah atau terpesong imannya.

Pelbagai fakta disahihkan dan pelbagai kebenaran ditemui melalui penyelidikan sains dan teknologi. Kesahihan fakta dan penemuan kebenaran melalui sains dan teknologi itu hendaklah meningkatkan iman kita, dan juga mengukuhkan keyakinan kita akan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Bidang teknologi kejuruteraan ialah cabang ilmu yang bertujuan untuk memberikan manfaat kepada manusia sejagat. Pada hakikatnya, teknologi kejuruteraan membantu manusia memenuhi tugas khalifah untuk melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah di muka bumi ini. Pemikir Islam, Ibn Khaldun meletakkan teknologi sebagai ciri penting peradaban manusia. Imam al-Tabari menukilkan dalam karyanya bahawa andas, penyepit, batu asah dan tukul diturunkan bersama-sama perutusan Nabi Adam a.s. ke bumi sebagai asas dan permulaan peralatan teknologi.

Umat Islam seharusnya mencontohi kegigihan para cendekiawan Islam menerokai ilmu sehingga berjaya mencipta pelbagai teknologi. Al-Khwarizmi, Jabir Ibn Hayyan, al-Battani, Abbas Ibn Firnas dan Ismail al-Jazari merupakan antara tokoh yang memberikan sumbangan besar dalam bidang teknologi kejuruteraan, astronomi, fizik dan aeroangkasa. Umat Islam pada hari ini wajib menyambung usaha yang telah dirintis oleh ilmuwan terdahulu untuk menghasilkan teknologi terbaharu yang lebih menepati keperluan semasa.

Hendaklah diambil iktibar kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran yang memaparkan tentang teknologi kejuruteraan dan pencapaian hebat umat terdahulu seperti kaum Tsamud dan Ad yang begitu canggih dan hebat menebuk gunung-gunung yang besar untuk dijadikan istana dan menara, namun apabila mereka menafikan keesaan Allah SWT, melanggar perintah-Nya dan tidak bersyukur, maka segala usaha dan kemajuan mereka diranapkan oleh Allah SWT. Hal tersebut sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 42 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu lihatlah bagaimana kesudahan kaum terdahulu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka ialah orang musyrik (mempersekutukan Allah).’”

Insaflah bahawa walau sehebat mana pun teknologi serta keupayaan manusia, kehebatan manusia tidak akan sesekali dapat mengatasi ketinggian ilmu Allah SWT. Oleh itu, jadilah ummah yang tidak bersifat riak dan takbur, tetapi mengamalkan sifat seorang hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat dan kurniaan Allah SWT.

Walau sehebat mana pun teknologi serta keupayaan manusia, tetap tidak dapat mengatasi ketinggian ilmu Allah SWT.

Tidak dapat dinafikan bahawa kesan dan pengaruh perkembangan teknologi dan ledakan kemajuan kejuruteraan pada hari ini telah mengubah corak hidup manusia. Dengan akal kurniaan Ilahi, manusia berjaya mereka cipta pelbagai peralatan, membina dan membangunkan pelbagai prasarana, bangunan, masjid, hospital, lebuh raya, jambatan, pelabuhan, kapal, pesawat, dan pelbagai lagi.

Ambillah pengajaran daripada ketaatan Nabi Nuh a.s. sewaktu menjunjung perintah Allah SWT untuk membina sebuah bahtera. Baginda membina bahtera tersebut dengan azam, tekun dan teliti. Reka bentuk bahtera diolah dengan teknologi pembinaan berpandukan akal dan petunjuk Ilahi sebagaimana yang terkandung dalam ayat 37 Surah Hud. Lalu terbinalah sebuah bahtera yang memiliki daya tahan untuk mengharungi banjir besar. Dengan penentuan Allah SWT, orang-orang yang beriman, haiwan dan binatang ternakan dapat diselamatkan.

Dengan akal kurniaan Ilahi, manusia berjaya mereka cipta pelbagai peralatan, membina dan membangunkan pelbagai prasarana untuk kemudahan manusia lain.

Bidang teknologi, teknikal dan kejuruteraan berperanan penting untuk menjayakan usaha membangun dan memajukan negara. Tenaga kerja teknikal seperti jurutera, jurubina, juruukur bahan dan tanah, pakar kaji bumi dan juruteknik, masing-masing berperanan kritikal menjayakan kerja-kerja binaan dan pembangunan. Mereka merupakan tenaga mahir dan tenaga profesional yang telah menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah dan menyejahterakan kehidupan ummah. Oleh itu, sangat besar jasanya kepada negara dan rakyat. Semoga mereka tergolong dalam kalangan manusia yang dilimpahi rahmat Allah SWT selaras dengan sabda Rasulullah SAW daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lain.”

Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada seluruh warga kerja di Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebagai agensi teknikal di bawah Kementerian Kerja Raya yang telah mencurahkan tenaga dan sumbangan kepada negara. Mudah-mudahan warga kerja di jabatan dan agensi tersebut sentiasa istiqamah menumpukan sepenuh hati dan kesungguhan terhadap pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

Oleh itu, umat Islam diperingatkan tentang empat perkara yang berikut:

Pertama: Bidang sains, teknologi dan kejuruteraan berperanan penting dalam kehidupan manusia. Menguasai bidang pengajian tersebut merupakan fardu kifayah yang wajib dipenuhi. Umat Islam yang berjaya ialah umat yang memiliki kepakaran menguasai bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Kedua: Ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan kurniaan Ilahi hendaklah digunakan dan dimanfaatkan untuk membantu memudahkan kehidupan dan meningkatkan kualiti kehidupan ummah.

Ketiga: Ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan jangan sama sekali disalahgunakan untuk memusnahkan manusia dan merosakkan alam serta mengancam keselamatan dan kehidupan manusia.

Keempat: Segala kemajuan teknologi dan kemudahan yang dimiliki mestilah berada dalam ruang untuk umat Islam menggapai keredaan Allah SWT selaras dengan firman-Nya yang terkandung dalam Surah Ali ‘Imran ayat 191 yang bermaksud, “(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata), ‘Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab api neraka.’”

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Anugerahkan kepada warga kerja dalam bidang sains, teknikal dan kejuruteraan, kesungguhan, kecekalan dan ketabahan untuk melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dengan jujur, ikhlas dan telus, demi memastikan kerja-kerja pembinaan di negara ini dilakukan dengan sempurna demi keselamatan para pengguna.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat bertajuk, “Pembangunan Lestari, Nikmatnya Disyukuri”, 1 Disember 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.