30 November 2023, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyebaran sesuatu maklumat yang benar tentang sesuatu isu kadangkala boleh menimbulkan implikasi yang tidak baik jika penyebaran atau penyampaiannya dilakukan dengan cara yang salah. Hal tersebut boleh menimbulkan perasaan panik dan kegusaran pihak tertentu serta boleh membawa kepada fitnah.

Contohnya, perbuatan menghebahkan soalan peperiksaan bukan pada masanya merupakan tindakan yang salah. Walaupun maklumat tentang soalan itu tidak salah, tetapi perbuatan membocorkan soalan peperiksaan itu amat tidak beretika dan menyalahi undang-undang. Hal tersebut boleh membawa implikasi yang tidak baik kepada masyarakat dan merugikan banyak pihak. Banyak kos yang terpaksa ditanggung untuk menggubal soalan yang baharu dan banyak masa yang terganggu kerana perlu menukar tarikh peperiksaan.

Jelas bahawa fitnah mempunyai makna yang luas dan tidak semestinya bersifat tuduhan palsu atau fakta yang salah, tetapi juga apabila perkara tersebut membawa implikasi yang tidak baik kepada agama, bangsa dan masyarakat secara amnya. Dalam al-Quran, fitnah membawa erti ujian, syirik, kufur, perkara dosa, kekeliruan, perkelahian, perpecahan dan peperangan. Itulah kesimpulan fitnah yang diulang sebanyak 35 kali dalam al-Quran. Berdasarkan penjelasan al-Quran ini, fitnah tidak semestinya maklumat atau tuduhan yang salah, tetapi juga termasuklah maklumat yang betul tetapi diungkapkan atau dilakukan dalam konteks yang tidak betul atau kurang tepat.

Hal ini juga mempunyai sandaran daripada hadis Rasulullah SAW. Baginda pernah menegur Muaz bin Jabal dengan keras kerana membaca Surah al-Baqarah ketika menjadi imam solat isyak. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda yang bermaksud, “Adakah kamu membawa fitnah wahai Muaz?” Ada riwayat yang menyebutkan bahawa Baginda mengulangnya sebanyak tiga kali yang menunjukkan bahawa hal ini merupakan perkara yang serius. Pada asasnya, membaca al-Quran bukanlah suatu kesalahan, tetapi bacaan dalam solat fardu sepatutnya tidak terlalu panjang, terutamanya apabila makmum terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Rasulullah SAW menyifatkan tindakan Muaz tersebut sebagai fitnah yang bermaksud  bahawa fitnah itu melihat kepada implikasi terhadap sesuatu perkara. Sekiranya hal tersebut membawa kegusaran, masalah dan kegelisahan sehingga mencetuskan konflik, maka fitnah tersebut perlu dielakkan.

Berhati-hatilah ketika menyebarkan sesuatu maklumat supaya tidak menjadi fitnah.

Terdapat empat konteks yang boleh menyebabkan sesuatu maklumat yang betul dan benar itu menjadi fitnah.

Pertama: Maklumat yang disampaikan yang tidak tepat pada waktunya. Sebagai contoh, tindakan seseorang yang membocorkan keputusan pertandingan sebelum waktunya yang sebenar. Walaupun maklumat yang disampaikan itu betul, tetapi jika disampaikan bukan pada masanya, hal tersebut dapat menimbulkan masalah kepada orang lain.

Kedua: Maklumat yang disebarkan kepada orang yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, perbuatan menghebahkan masalah atau konflik dalaman sesebuah organisasi kepada masyarakat umum. Biarpun maklumat itu betul, tetapi terdapat perkara yang masyarakat umum tidak perlu mengetahuinya kerana hal tersebut bersifat rahsia organisasi. Begitu juga menghebahkan kelemahan suami atau ibu bapa kepada orang luar. Walaupun perkara tersebut betul, tetapi tidak wajar didedahkan orang yang tidak sepatutnya.

Ketiga: Maklumat yang diungkapkan oleh orang yang bukan ahlinya. Fitnah boleh timbul apabila penuturnya tidak berkelayakan untuk memperkatakan sesuatu yang bukan dalam bidangnya. Sebagai contoh, seseorang yang bukan dalam bidang agama, tetapi memperkatakan tentang hukum-hakam sesuatu perkara.

Keempat: Menyampaikan sesuatu maklumat dengan cara yang tidak sesuai. Fitnah boleh timbul apabila diungkapkan dengan cara yang salah dan tidak berakhlak. Sebagai contoh, menyampaikan ucapan dengan cara mengherdik atau memaki hamun pada  bukan orang yang sepatutnya. Apatah lagi jika dilakukan tanpa soal siasat. Maklumat itu betul tetapi cara penyampaiannya salah dan tidak wajar.

Keempat-empat konteks yang disebutkan tersebut bukan bererti maklumat tersebut salah, tetapi cara penyampaiannya boleh membawa implikasi yang tidak baik kepada masyarakat. Sungguhpun betul, tetapi kebijaksanaan pengguna yang seharusnya berfikir secara matang untuk menilai kesesuaian menyebarkannya.

Oleh itu, Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa pada akhir zaman banyak berlaku kekeliruan yang Baginda sifatkan dengan “tahun-tahun yang penuh dengan penipuan”. Maklumat yang betul tertukar dengan yang salah kerana parameter yang digunakan oleh masyarakat pada akhir zaman telah berubah. Mereka lebih gemar membaca maklumat yang “wow” berbanding dengan maklumat yang penting dan betul.

Kesungguhan dan kecenderungan masyarakat berkongsi maklumat yang mengujakan bukan sekadar melibatkan maklumat yang palsu, malahan melibatkan maklumat yang betul, tetapi secara tidak sedar membawa implikasi yang negatif. Baginda menyifatkan keadaan ini dengan ruwaibidhah, iaitu seseorang yang mempunyai pengetahuan yang tersangat sedikit, tetapi suka berbicara tentang urusan umum.

Oleh itu, sebelum memetik butang “hantar”, eloklah berfikir dahulu kerana dikhuatiri membawa kesan yang tidak baik. Jadilah orang yang mendamaikan, bukan yang menyebarkan fitnah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.