23 November 2023, 13:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkahwinan merupakan antara jalan kebahagiaan yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat manusia kerana melalui perkahwinan manusia dapat memenuhi keperluan fitrah kehidupan yang mahukan hidup secara berpasangan. Selain dikira sebagai ibadat, melalui perkahwinan juga Allah SWT telah mengangkat martabat manusia berbeza daripada makhluk-Nya yang lain. Oleh sebab itu, perkahwinan bukan hanya memberikan kenikmatan hidup berpasangan, bahkan perkara yang paling penting adalah mendapat keberkatan serta menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Oleh hal yang demikian, antara faktor berlakunya masalah rumah tangga termasuklah kesilapan memilih pasangan. Pada kebiasaannya, perkara yang diutamakan ketika memilih pasangan adalah melihat pada aspek kecantikan rupa dan memiliki harta, walhal kedua-dua aspek ini hanyalah kelebihan yang bersifat sementara dan tidak kekal selama-lamanya. Oleh sebab itu, Baginda Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan keutamaan dalam hal memilih pasangan hidup adalah atas dasar agamanya kerana agama jua yang akan kekal abadi. Dengan adanya ilmu agama, secara tidak langsung dapat membentuk akidah, syariat dan akhlak yang sempurna seterusnya dapat membentuk ciri pasangan suami isteri yang soleh dan solehah di samping membina keluarga rahmah.

Konflik rumah tangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan) sepatutnya tidak wujud dalam sesebuah perkahwinan, apatah lagi jika berakhir dengan perceraian. Setiap pasangan suami isteri seharusnya perlu menghayati dan menguasai sepenuhnya konsep perkahwinan menurut syarak yang sebenar dan tidak hanya mempertaruhkan cinta semata-mata tanpa ilmu agama sebagai asas dalam perkahwinan. Tidak dinafikan bahawa melalui cinta akan terbitnya kasih dan sayang antara pasangan. Akan tetapi, dengan adanya cinta sahaja tidak mencukupi untuk mempertahankan hubungan perkahwinan kerana hal tersebut bersifat sementara.

Sesebuah perkahwinan bukan dibina atas dasar cinta semata-mata.

Oleh hal yang demikian, setiap ibu bapa sepatutnya memberikan didikan agama yang selayaknya kepada anak-anak sebelum mereka menuju alam perkahwinan. Seseorang wali dalam perkahwinan terutamanya perlu memastikan agar anak-anak yang ingin mendirikan rumah tangga telah bersedia dari aspek ilmu agama sekurang-kurangnya menguasai ilmu fardu ain. Hal ini demikian kerana penguasaan ilmu fardu ain merupakan tuntutan kewajipan bagi setiap individu Muslim. Oleh sebab itu, tidak sepatutnya cinta menjadi keutamaan dalam perkahwinan kerana cinta juga tidak akan kekal, sebaliknya agama harus dijadikan asas dalam percintaan demi meraih kebahagiaan di samping mendapat keberkatan dalam perkahwinan.

Dalam pada itu, setiap pasangan suami isteri juga perlu memahami dan memenuhi tuntutan hak masing-masing seperti hak suami kepada isteri, hak isteri kepada suami, dan hak ibu bapa kepada anak-anak. Apabila pasangan suami isteri telah memahami dan memenuhi tuntutan hak masing-masing, tentu mereka akan dapat menghindari diri daripada melakukan perkara mungkar dalam perkahwinan kerana perkahwinan bukanlah menjadikan suami sebagai diktator dan isteri pula sebagai hamba abdi. Sebaliknya, perkahwinan ialah perjanjian persefahaman dan suami isteri berperanan saling melengkapi antara satu dengan lain. Tiadalah yang lebih membahagiakan jiwa pasangan suami isteri melainkan mendapat keberkatan dalam perkahwinan.

Oleh itu, memang tidak dinafikan bermulanya sesebuah perkahwinan adalah dengan perasaan cinta antara kedua-dua pasangan suami isteri. Oleh sebab itu, jadikanlah agama sebagai asas dan panduan dalam hubungan percintaan yang terjalin kerana dengan izin Allah SWT jua fitrah cinta tercipta dan dengan izin-Nya jua perkahwinan berlangsung. Hindarilah sikap kita yang suka mengikut gaya hidup perkahwinan Barat yang jelas bertentangan dengan syarak, sedangkan gaya hidup perkahwinan Islam jelas lebih indah dan bahagia berlandaskan syarak. Jadikanlah kehidupan perkahwinan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh kehidupan perkahwinan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang.

Carilah pasangan hidup yang beragama dan berakhlak mulia agar perkahwinan yang dibina mendapat keberkatan daripada-Nya.

Kesimpulannya, sememangnya fitrah kehidupan manusia memerlukan pasangan dalam hidup sebagai pelengkap kitaran hidup manusia. Carilah pasangan hidup yang beragama dan berakhlak mulia sebagaimana yang telah dianjurkan dalam Islam agar mendapat keberkatan dalam perkahwinan. Pada waktu yang sama, janganlah pula mengikuti langkah mereka yang mencari pasangan sejenis sebagai pasangan hidup kerana perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan syarak, malah dilaknat oleh Allah SWT. Jadikanlah perkahwinan yang terbina sebagai sebuah ikatan yang diredai dan mendapat keberkatan. Semoga rumah tangga pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dan juga yang telah mendirikan rumah tangga tergolong dalam golongan yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya termasuklah Dia menciptakan pasangan-pasangan untuk kamu daripada jenis kamu sendiri agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum 30:21).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.