18 November 2023, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adakah anda bersetuju dengan pernyataan bahawa berdakwah merupakan tugas golongan agamawan, ustaz dan penceramah sahaja? Terdapat satu hadis yang terkenal daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Pada hakikatnya, tugas setiap individu Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita, bukanlah hanya tertakluk kepada menunaikan perkara yang wajib sahaja. Akan tetapi, antara tujuan Allah SWT menjadikan kita di muka bumi ini termasuklah untuk menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan. Jika kita mengetahui sesuatu hal yang bermanfaat, maka perlulah disebarkan kepada orang lain.

Oleh itu, tugas dakwah ini tidak terhad kepada golongan agamawan semata-mata, malah setiap manusia wajib berdakwah tanpa mengambil kira status pekerjaan mahupun status sosial. Walau apa-apa pun pekerjaan kita, kita boleh menjadi duta dakwah dan tidak boleh lari daripada kewajipan tersebut asalkan kita masih merasai nikmat taklif dan merasakan apa-apa yang ingin disampaikan itu dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang lain.

Setiap umat Islam merupakan sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah SWT untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Berdakwah pula ialah aktiviti menyeru, memanggil dan mengajak golongan tertentu supaya beriman dan taat kepada Allah SWT sesuai dengan akidah, syariat, dan akhlak Islam. Kegiatan dakwah ini diisi dengan ajakan untuk melakukan kebaikan secara berterusan dan mengajak mereka melakukan perkara yang makruf dan mencegah perbuatan mungkar sehinggalah mereka keluar daripada kegelapan jahiliah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan basirah (ilmu dan yakin). Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (daripada segala iktikad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku daripada golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf 12:108).

Dakwah bukan peranan agamawan sahaja

Tugas berdakwah tidak semestinya dipertanggungjawabkan kepada pendakwah dan golongan agamawan sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab dan peranan setiap orang Muslim di seluruh dunia. Golongan agamawan ini mungkin dikhususkan untuk menyampaikan hukum atau ajaran yang lebih mendalam berkaitan dengan agama Islam kerana mereka memiliki ilmu yang lebih luas dan mendalam dalam masalah agama Islam. Dengan hal demikian, akan wujud sikap saling bekerjasama dalam hal menyeru kepada agama Allah SWT antara masyarakat dengan para ulama.

Tugas berdakwah tidak semestinya dipertanggungjawabkan kepada pendakwah dan golongan agamawan sahaja.

Oleh itu, umat Islam perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dakwah sesama Muslim dan tanggungjawab ini perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing. Apabila dikatakan tanggungjawab, pasti hal tersebut akan disoal di akhirat nanti oleh Allah SWT.  Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Kamu (umat Islam) ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah hal itu lebih baik bagi mereka. Antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka orang yang fasik.”

Jangan sempitkan konsep dakwah

Secara umumnya, terdapat tiga kaedah dakwah yang boleh digunakan sesuai dengan kemampuan setiap manusia, iaitu disampaikan melalui ucapan, amalan dan tulisan. Mengajak orang lain untuk mengerjakan solat dan mendekati masjid, mengerjakan kebajikan, menegur kawan-kawan daripada melakukan perbuatan yang tidak baik, mengajak orang lain mendalami ilmu pengetahuan dan lain-lain perbuatan yang menjurus kepada kebaikan semuanya merupakan dakwah. Konsep dakwah sangat luas dan kita tidak mahu konsep tersebut disempitkan.

Sesiapa yang mengajak kepada perkara kebaikan, maka orang tersebut dikira telah berdakwah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran 3:104). Nabi Muhammad SAW pula bersabda yang bermaksud, “Barang siapa antara kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lisannya, dan jika tidak mampu ubahlah dengan hatinya dan ini merupakan selemah-lemah iman.”

Perkara yang paling mencabar ketika menjalankan tugas dakwah adalah untuk mencegah orang daripada melakukan kejahatan berbanding dengan menyeru mereka melakukan kebaikan. Sesiapa sahaja mampu untuk mengajak orang lain untuk melakukan kebaikan, namun cabaran sebenar adalah apabila berdepan dengan individu yang sedang berusaha untuk mencegah perbuatan mungkar dan maksiat. Mereka yang mengetahui bahawa mereka sedang melakukan kesalahan yang dilarang oleh agama, namun tetap mahu meneruskan perbuatan tersebut atas sebab hawa nafsu, godaan syaitan dan pengaruh keadaan sekeliling.

Tiada kuasa eksklusif dalam urusan dakwah

Tidak ada golongan yang mempunyai kuasa eksklusif dalam urusan dakwah islamiah, malah sesiapa sahaja yang menyeru ke arah kebaikan merupakan pendakwah dalam Islam. Setiap usaha untuk mengajak manusia melakukan kebaikan atau menjauhkan mereka daripada melakukan kejahatan merupakan satu daripada langkah untuk menyeru manusia ke jalan Allah SWT. Oleh itu, dalam berdakwah tidak ada apa-apa yang perlu disukarkan kerana semuanya boleh dimudahkan, asalkan kita mahu melakukannya.

Maka itu, bersegeralah melakukan dakwah agar kita semua akan memperoleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang menunjuk satu jalan ke arah kebaikan, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang melakukan (kebaikan) itu.”  (Hadis riwayat Muslim).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.