17 November 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Integriti merujuk pengamalan nilai murni ketika memikul amanah atau melaksanakan tugas. Kamus Dewan Perdana mentakrif integriti sebagai kejujuran dan kebolehpercayaan untuk melakukan tindakan, membuat keputusan dan sebagainya yang menjadi lambang jati diri sekali gus membentuk peribadi ummah. Integriti amat mempengaruhi tindakan dan kelakuan seseorang apabila diamanahkan dengan sesuatu tanggungjawab sama ada menduduki kerusi tertinggi mahupun sebagai petugas biasa. Integriti membentuk peribadi yang berprinsip, pembela kebenaran, beramanah, tekun dan teliti, berlapang dada dan dihiasi dengan pelbagai ciri murni yang meluruskan perjalanan hidup.

Demi membentuk sebuah negara yang maju dan ke hadapan, integriti semestinya diamalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya mereka yang diberikan amanah mengurus hal masyarakat. Demi kemakmuran dan kestabilan negara, budaya integriti wajib diserap dan diamalkan dalam pelbagai sektor pekerjaan dan perkhidmatan baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Budaya integriti memerlukan para petugas yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab menunaikan amanah secara telus, tegas dan berani mengurus kehidupan masyarakat berlandaskan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan tanpa gentar dan pilih kasih.

Negara akan terjerumus dalam pelbagai krisis yang boleh menggugat kestabilan dan kesejahteraan masyarakat serta mencemarkan maruah negara akibat sikap yang tidak mengamalkan integriti atau mengambil mudah terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Perlakuan keji seperti pecah amanah, rasuah, ketirisan khazanah negara, pencemaran dan bencana alam berlaku disebabkan sikap dan perangai mereka yang mengabaikan amanah, tidak berintegriti, tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri. Umat Islam pada setiap masa wajib mengamalkan integriti, bersikap jujur dan ikhlas, takwa kepada Ilahi serta menginsafi akan adanya pengadilan Rabbuljalil pada hari kebangkitan.

Pelbagai manfaat akan diperoleh jika integriti menjadi keutamaan umat Islam. Sebagai contoh, peniaga yang jujur akan mempermudah urusan jual beli, petugas yang menjaga baik sempadan negara dapat menjamin berlakunya keamanan, jurubina yang teliti membolehkan pengguna menduduki bangunan yang selamat, petugas media yang jujur membolehkan orang ramai memperoleh maklumat yang benar, serta penguasa yang tegas membendung gejala tidak sihat akan dapat mengurangkan jenayah.

Peniaga yang jujur akan memudahkan urusan jual beli dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Usaha memulihkan dan mengembalikan kemakmuran negara memerlukan perubahan pemikiran dan etika anggota masyarakat. Kegagalan mengamalkan integriti telah dan akan mengakibatkan pentadbiran negara dilanda musibah. Negara akan terus mengalami kerugian besar apabila hilangnya nilai integriti dan hilangnya sumber tenaga yang berdaya saing, atau disebabkan tenaga kerja yang tiada kemahiran dan tiada ketelitian semasa melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Amanah merupakan satu daripada sifat yang ada pada para nabi dan rasul. Tugas menyampaikan dakwah tauhid, memberikan nasihat serta membimbing umat ke jalan yang benar merupakan tugas besar, tetapi disempurnakan dengan teliti dan kesungguhan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah SWT dalam ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (Kami) kepada langit, bumi dan gunung-ganang (untuk menanggungnya), tetapi semuanya enggan untuk menanggung amanah itu dan mereka khuatir tidak akan dapat menyempurnakannya dan hanya manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman lagi sangat jahil.”

Berpandukan ayat tersebut, semua makhluk di dunia mengakui tidak mampu memikul amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT, namun dengan kemuliaan penciptaan manusia, amanah tersebut dapat dipikul berbekalkan anugerah ilmu, akal fikiran dan hati nurani. Mereka yang bersedia memikul amanah di bahunya akan dipersoalkan oleh Allah SWT sama ada amanah tersebut dilunaskan dengan baik ataupun sebaliknya.

Demi membangunkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan membina tadbir urus yang beramanah, semua pihak yang telah diamanahkan dengan pelbagai jawatan, tugas dan tanggungjawab wajib memiliki dan mengamalkan budaya kerja yang bersih, jujur, tulus dan ikhlas. Di samping itu, sikap kesungguhan dan ketelitian wajar menjadi amalan seiring dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang kamu yang apabila melakukan pekerjaan dia melakukan dengan teliti.”

(Hadis riwayat al-Tabarani)

Orang yang telah diamanahkan dengan pelbagai jawatan, tugas dan tanggungjawab wajib memiliki dan mengamalkan budaya kerja yang bersih, jujur, tulus dan ikhlas.

Peristiwa Nabi Yusuf a.s. mengemudi urusan pentadbiran negara dengan telus, jujur dan bijaksana ketika negara dilanda krisis kemarau wajib diteladani dan diambil iktibar. Kerja dan usaha yang memberikan tumpuan kepada matlamat memulihara negara dan menjamin kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan, tanpa dicemari oleh perbuatan yang merugikan negara, seperti perbalahan yang tidak berkesudahan atau permusuhan yang berterusan. Nabi Yusuf a.s. ketika diamanahkan tanggungjawab untuk memastikan kemaslahatan masyarakat diutamakan dan pentadbiran negara diurus dengan baik, baginda tidak sama sekali menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi atau mengaut keuntungan dan habuan.

Pemilihan pemimpin yang berkelayakan merupakan titik penting dalam syariat Islam. Mereka yang dipilih wajib bersifat adil, amanah, tegas dan bijaksana untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan memastikan negara dilindungi daripada unsur-unsur yang boleh membawa keruntuhan seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Apabila sesuatu perkara diamanahkan kepada orang yang tidak memiliki kelayakan, maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, disenaraikan beberapa peringatan yang berikut:

Pertama: Pembudayaan, pengamalan dan penghayatan nilai integriti sejajar dengan nilai akhlak Islam dan wajib diamalkan dalam kehidupan harian.

Kedua: Amanah merupakan tanggungjawab berat yang akan disoal oleh Allah SWT,  maka laksanakan dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas.

Ketiga: Berusahalah menjadi insan yang mengamalkan nilai-nilai baik (sifat mahmudah)  agar dapat meningkatkan nilai diri, berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara demi menuju ke arah yang lebih diberkati dan diredai oleh Allah SWT.

Keempat: Nilai integriti hendaklah disemai dalam jiwa anak-anak semenjak usia kecil agar nilai murni itu dapat dijiwai dan diamalkan oleh mereka dalam urusan kehidupan. Ibu bapa hendaklah menjadikan diri mereka sebaik-baik contoh kepada anak-anak.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbing kami untuk senantiasa berlaku jujur dan ikhlas, tekun dan teliti ketika melaksanakan tugas yang diamanahkan. Engkau limpahkan rahmat kepada hamba-Mu yang tabah dan ikhlas menyempurnakan tugas demi agama, bangsa dan negara dan terimalah tugasan yang mereka sempurnakan sebagai amal kebaikan yang Engkau redai.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat “Integriti sebagai Jati Diri ummah”, 17 November 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.