3 November 2023, 21:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hampir seramai 500 jemaah haji telah membayar lebih daripada kadar bayaran minima yang perlu dibayar termasuk ada antaranya membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 bagi musim haji yang lepas.

Menurut Tabung Haji (TH), sebanyak 67 orang daripada kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji secara total dan membayar penuh, manakala 396 jemaah haji telah membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang telah ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah kepada jemaah haji tersebut kerana memilih untuk membayar penuh atau lebih daripada yang ditetapkan selaras dengan konsep istita‘ah yang dituntut oleh syariat.

“Kesedaran dan kefahaman akan konsep kemampuan tunai haji yang ingin kita terapkan kepada semua umat Islam negara agar Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh TH boleh disampaikan kepada mereka yang layak dalam kadar jumlah yang munasabah dan ihsan,” katanya ketika berucap dalam satu majlis meraikan sebahagian jemaah haji musim 1443H dan 1444H yang telah menolak Bantuan Kewangan Haji dalam usaha mendapatkan haji mabrur dan juga selari dengan syarat istita‘ah bagi rukun Islam kelima, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar semasa berucap dalam majlis meraikan sebahagian jemaah haji musim 1443H dan 1444H yang telah menolak Bantuan Kewangan Haji.

Beliau juga berterima kasih kepada TH yang banyak mengadakan pelbagai program pendidikan serta pendedahan berkaitan dengan istita‘ah di media massa untuk makluman umum, dan usaha ini perlu diteruskan agar lebih banyak bakal jemaah haji diberikan kesedaran akan konsep istita‘ah.

Tambah beliau, konsep istita‘ah perlu difahami oleh setiap umat Islam agar mereka yang belum tergolong dalam kategori istita‘ah masih belum wajib menunaikan haji sehingga mengundang masalah terutamanya kemampuan kewangan.

“Pelaksanaan ibadat haji tidak dapat dicapai jika tidak mempunyai persediaan dan penghayatan dari segi kemampuan atau istita‘ah,” katanya.

Sementara itu, menurut TH, pada musim haji 1443H/2022M yang lalu, sebanyak 44 orang jemaah telah membuat bayaran penuh kos haji dan peningkatan bilangan jemaah yang membayar penuh pada tahun ini jelas menunjukkan peningkatan kesedaran umum dan para jemaah tentang kepentingan istita‘ah dalam ibadat haji.

Kos haji bagi seorang jemaah muassasah pada musim 1444H ialah RM30,850 dan TH telah memberikan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang berjumlah RM265 juta dan sejak 2001, sebanyak RM2.5 bilion telah dibelanjakan untuk menanggung Bantuan Kewangan Haji.

Pendekatan Bantuan Kewangan Haji bersasar ini dapat mengurangkan beban kewangan TH agar dapat mengimbangi keperluan menjaga kebajikan 31 600 jemaah setiap tahun dan juga agihan keuntungan bagi hampir sembilan juta pendeposit.

Selain itu, peningkatan Bantuan Kewangan Haji pada setiap tahun juga akan memberikan kesan terhadap kelestarian kewangan TH yang juga bertanggungjawab untuk memberikan agihan keuntungan yang stabil dan mampan kepada para pendeposit pada setiap tahun.

Walau bagaimanapun, TH tetap meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada yang sangat memerlukannya dan sentiasa prihatin akan kebajikan para jemaah haji kerana bantuan ini diyakini lebih adil dan bersifat ihsan serta memenuhi konsep istita‘ah haji.

Berdasarkan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37 tahun 2020/1442H, Bantuan Kewangan Haji tidak wajib diterima jemaah, namun tidak salah juga untuk menerimanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.