3 November 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Institusi raja berperlembagaan diperkenalkan di negara kita ketika Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat pada 31 Ogos 1957. Kuasa mutlak pemerintahan beraja dan kedaulatan raja diberikan wajah baharu, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni, dengan diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara berkonsepkan doktrin raja berperlembagaan, iaitu demokrasi berparlimen. Institusi raja berperlembagaan kini berusia 66 tahun. Walaupun usianya masih muda, institusi raja berperlembagaan telah memperlihatkan sifat matang, membuktikan hikmah, arif menggunakan budi bicara, bijaksana menitahkan kata putus, berupaya dan bertenaga menangani pelbagai persoalan dan masalah negara.

Raja berperlembagaan bukan sekadar pelengkap berbentuk hiasan untuk memenuhi adat negara beraja, iaitu rakyat bersultan; tetapi terbukti mempunyai roh dan peranan sebagai penimbang tara terakhir ketika negara menghadapi krisis, persengketaan, ancaman dan

Sesiapan yang terpilih menjadi raja mempunyai kedudukan yang mulia di samping tanggungjawab yang besar terhadap rakyatnya.

keadaan ketidaktentuan yang perlu mengharungi perairan yang belum dipetakan seperti bencana, malapetaka, darurat, peristiwa perselisihan kaum 13 Mei, wabak penyakit dan persengketaan politik. Takhta pemerintahan telah berperanan sebagai pengimbang, menitahkan kata nasihat yang membantu merungkaikan kekusutan, dan menzahirkan arah panduan yang membantu mengatasi kebuntuan. Melalui hikmah raja pemerintah, suhu konflik dapat diturunkan, keresahan rakyat dapat ditenangkan, dan jentera kerajaan dapat kembali berfungsi seperti biasa.

Kuasa dan pemerintahan ialah kurniaan Ilahi kepada sesiapa yang Allah SWT kehendaki. Dengan anugerah Ilahi, insan yang terpilih menjadi raja mempunyai kedudukan mulia, tetapi turut dikembari dengan tanggungjawab yang besar.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki! Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah juga yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahajalah terdapat segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran 3:26).

Sesungguhnya Islam tidak dapat dipisahkan daripada Raja Melayu. Termaktub dalam Perkara 3(i) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam ialah agama Persekutuan dan Perkara 3(ii) Perlembagaan Persekutuan menetapkan raja sebagai ketua agama Islam negeri.

Islam menyuntik dimensi baharu kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan pertimbangan peribadi seorang manusia kepada pemerintahan berpaksikan hukum, kerana raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan raja bahawa kuasa pemerintahan ialah amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan, dan krisis akan berlaku apabila raja memerintah dengan nafsu.

Islam menegaskan dua konsep, iaitu adil dan muafakat, dan apabila raja bersifat adil, memerintah secara bermuafakat serta menyayangi rakyat, tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut. Sewajarnya raja pemerintah menghayati sifat agung Allah SWT, sifat-sifat Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Pengampun.

Raja berperlembagaan ialah penimbang tara yang bebas lagi berkecuali dari segi perundangan dan institusi  kehakiman.

Sebagai pemerintah dan amirulmukminin, raja bertanggungjawab menyempurnakan tugas fardu kifayah kepada watan dan ummah, untuk memulihara dan meningkatkan syiar Islam, memastikan berlakunya keadilan, menentukan kerajaan dipertanggungjawabkan kepada ulama dan umara yang amanah, jujur, bersih rasuah serta tidak menyalahgunakan kuasa; juga memantau agar khazanah negeri diurus secara telus demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat jelata.

Berdasarkan hal tersebut, beberapa rumusan yang dapat dibuat adalah seperti yang berikut:

Pertama: Kedaulatan yang mutlak hanyalah milik Allah SWT. Kuasa dan jawatan kurniaan Ilahi merupakan ujian yang penyandangnya akan diperiksa di Padang Mahsyar sama ada telah memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir urus negara dengan adil lagi saksama berlandaskan hukum, bersendikan adat, serta memimpin ummah ke jalan yang lurus (siratulmustakim).

Kedua: Kesultanan Melayu yang telah lama berakar subur di bumi ini merupakan lambang keagungan tamadun bangsa, simbol kedaulatan tanah air warisan bangsa, berperanan sebagai benteng dan pelindung agama Islam dan adat Melayu, dan memberikan wajah serta identiti kepada negara bangsa.

Ketiga: Pemerintahan bernaungkan raja termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara. Sepuluh peratus, iaitu 19 daripada 183 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan raja.

Keempat: Raja berperlembagaan berperanan sebagai tonggak kestabilan, pancur keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan yang memberikan naungan yang adil dan saksama kepada rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa, serta bermastautin di serata negeri dan pelbagai wilayah.

Kelima: Raja berperlembagaan ialah penimbang tara yang bebas lagi berkecuali kepada cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang agar diperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang mengutamakan amalan pengasingan kuasa.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 3 November 2023, “Peranan dan Tanggungjawab Raja Pemerintah” Jabatan Agama Islam Perak)

Sumber gambar: Facebook Majlis Raja-Raja Melayu

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.