31 Oktober 2023, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia sememangnya tidak dapat hidup sendiri tanpa ada hubungan dengan manusia lain. Manusia merupakan makhluk yang suka bersosial dan berinteraksi. Sudah tentu selain menjaga hubungan dengan Allah SWT, manusia juga perlu menjaga hubungan sesama manusia dan juga alam sekitar. Seorang Muslim yang baik dari segi mental dan fizikal sangat dituntut untuk bergaul dengan masyarakat, dan perkara penting dalam pergaulan ialah akhlak kerana akhlak yang mulia itu ialah cerminan kesempurnaan iman seseorang Muslim.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi merapatkan ukhuwah antara manusia dan mengukuhkan perhubungan antara satu dengan yang lain. Setiap anggota masyarakat hendaklah saling menasihati, peka terhadap kehidupan sosial, mengamalkan sikap prihatin terhadap sesama manusia dan membantu orang yang dalam kesusahan. Dalam ibadat korban contohnya, uamt Islam dapat menanamkan sifat kesederhanaan dan turut  merasai perasaan golongan fakir dan miskin yang serba kekurangan. Di samping itu, suasana tolong-menolong ketika ibadat korban dijalankan secara tidak langsung aka mnegeratkan hubungan silaturahim antara satu dengan yang lain.

Hubungan yang baik sesama anggota masyarakat perlu dipupuk dan dijaga demi keharmonian negara.

Secara lebih khusus, hubungan yang baik sesama manusia ini termasuklah hubungan dengan ibu bapa, sanak saudara, guru, jiran tetangga dan dan seluruh anggota masyarakat. Mereka merupakan orang yang rapat dan sentiasa berinteraksi dengan kita. Seharusnya silaturahim antara mereka perlu dijaga bagi mewujudkan persekitaran yag harmoni dan sejahtera.

  1. Berbuat baik kepada ibu bapa

Tidak ada seorang pun di dunia ini yang kasih sayangnya setulus ibu dan bapa. Betapa besar cinta yang mereka berikan kepada anak-anak sehingga tidak dapat diukur dan dihitung. Sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas anugerah cinta-Nya yang diberikan melalui kasih sayang dan cinta daripada kedua-dua ibu bapa, kita sebagai hamba-Nya hendaklah melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan berbakti kepada mereka.

Hormati dan taatilah mereka selama perintah mereka tidak bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang. Jangan menyakiti hati mereka baik dengan sikap, ucapan mahupun perilaku. Kita juga hendaklah membantu mereka menurut kemampuan terutamanya merawat kedua-duanya ketika usianya telah lanjut, dan mendoakan mereka agar senantiasa memperoleh keampunan serta rahmat daripada Allah SWT. Hubungan yang baik dengan kedua-dua ibu bapa akan menjamin keberkatan dalam hidup anak-anak. Sentiasalah menziarahi ibu bapa dan bertanya khabar mereka sama ada ketika susah mahupun senang.

  1. Hormat pada guru

Ibu bapa tidak mempunyai kesempatan yang banyak untuk menguasai semua bidang pengetahuan yang ada. Oleh sebab itu, anak-anak dihantar ke sekolah untuk memperoleh pelajaran dan pendidikan yang sesuai. Guru sebagai pendidik sekali gus pengganti ibu bapa ketika berada di sekolah.

Oleh itu, jasa dan pengorbanan guru tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Hormatilah guru dan sentiasalah berbuat baik kepada mereka supaya ilmu yang diperoleh akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Anak-anak perlu dididik supaya berbuat baik dan menghormati orang yang lebih tua.
  1. Berbuat baik terhadap ahli keluarga terdekat

Hubungan dalam institusi kekeluargaan harus dijaga dengan baik agar menjadi lebih harmoni. Sikap toleransi perlu dipupuk dalam keluarga untuk mengelakkan perbalahan dan perpecahan dengan sanak saudara. Yang lebih tua perlu dihormati dan yang lebih muda perlu disayangi. Peliharalah silaturahim dengan cara mencintai saudara mara dan keluarga terdekat, membantu mereka jika memerlukan bantuan, menjenguk mereka jika sakit, menolong mereka ketika mengalami kesulitan, dan tolong-menolong dalam hal kebaikan.

  1. Berbuat baik terhadap jiran tetangga

Jiran merupakan orang yang paling dekat tinggal dengan kita dan sering berinteraksi dengan kita. Jika sedang mengalami kesulitan ataupun memerlukan  bantuan, jiranlah yang diharapkan segera memberikan bantuan. Oleh itu,  hubungan baik dengan jiran tetangga harus dijaga dan dipupuk agar kesejahteraan jiran tetangga itu wujud.

Jauhilah segala perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran tetangga seperti membuat bising pada waktu malam, meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya tanpa izin, mematahkan pohon jiran atau membiarkan haiwan ternakan membuang najis di halaman jiran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.’ Lalu Nabi bersabda: ‘Dia akan masuk ke dalam neraka.’” (Hadis riwayat Ahmad, no. 9675).

  1. Menghormati tetamu

Amalan menziarahi antara satu dengan yang lain dapat mengeratkan tali persaudaraan. Menerima tetamu serta menghormatinya merupakan ciri khas keperibadian yang seharusnya dimiliki  oleh seorang Muslim. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaknya dia memuliakan  tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Islam banyak mengajar kita mendidik budi pekerti mulia serta menjadi Muslim dan mukmim sejati. Oleh itu, banyak maksud tersirat yang dapat kita ambil daripada konsep hubungan baik sesama Islam ini. Hubungan baik yang dipupuk banyak kesan positif yang diberikan dan dapat mengelakkan permusuhan dan bermasam muka  serta perang dingin dengan sanak saudara, jiran tetangga dan sebagainya.

Maka itu, orang Islam semestinya bijak dalam meneliti dan memahami peranan  seorang hamba Allah di atas muka bumi ini. Kita seharusnya berbuat baik terhadap semua manusia tanpa memilih bangsa dan agama. Sebelum itu, hubungan kita  dengan Allah haruslah dijaga dengan baik dahulu berbuat baik terhadap orang  sekeliling kerana Allah SWT merupakan Pencipta yang Maha Esa dan seharusnya kita lebih prihatin tentang hubungan kita dengan Allah SWT agar tidak terputus rahmat daripada-Nya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.