27 Oktober 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT, ayat 77 Surah al-Qasas:

Maksudnya: “Dan carilah pahala dan kebahagiaan hari akhirat dengan harta kekayaan yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi jangan kamu lupakan bahagian kamu (keperluan dan bekalanmu) di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah). Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas 28: 77)

Ekonomi yang kukuh dan stabil serta bertenaga untuk terus berkembang amat mempengaruhi keselesaan dan taraf hidup umat Islam. Pelbagai manfaat dan kebaikan diperoleh sekiranya usaha membangunkan ekonomi diutamakan. Melalui ekonomi yang berkembang maju, umat Islam berpeluang menerokai pelbagai bidang yang akan memberikan pulangan kebaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Selaras dengan maqasid syariah, Islam mengutamakan penjagaan harta untuk diurus bagi tujuan membangunkan ekonomi. Satu daripada pendekatan pembangunan ekonomi Islam ialah prinsip tolong-menolong. Syarak menuntut dilakukan amalan bantu-membantu dalam perkara kebajikan dan tidak membantu dalam perkara kejahatan.

Sebaik-baik memimpin bumi Madinah, Rasulullah SAW mengutamakan dan berusaha untuk membangunkan ekonomi umat Islam. Baginda membina pasar wakaf di Madinah untuk membolehkan umat Islam menjalankan perniagaan, di samping berjaya menyekat dan memecahkan penguasaan atau monopoli orang Yahudi. Kelebihan Rasulullah SAW dan para sahabat berbanding dengan peniaga Yahudi ialah mereka saling bantu-membantu dan mendukung perniagaan kaum Muslimin, malah berniaga dengan jujur dan adil tanpa melakukan penipuan dan penindasan. Kepakaran ahli perniagaan dalam kalangan para sahabat seperti Sayidina Uthman bin Affan dan Sayidina Abdul Rahman bin Auf dimanfaatkan. Kesannya, ekonomi umat Islam meningkat maju.

Ekonomi yang kukuh dan stabil akan mempengaruhi keselesaan dan taraf hidup umat Islam.

Ayat 77 Surah al-Qasas tersebut menunjukkan bahawa harta yang dikurniakan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar mendapat keberkatan dan memperoleh kebahagiaan di akhirat. Ahli tafsir al-Razi menjelaskan bahawa harta seharusnya digunakan pada jalan infak bagi memenuhi bahagian fakir miskin agar mereka mampu meneruskan kehidupan. Umat Islam wajar mengutamakan semangat dan amalan tolong-menolong untuk membangunkan ekonomi. Umat Islam sepatutnya menjadi umat yang hebat ekonominya, berupaya mengurangkan kebergantungan pada barangan yang dihasilkan oleh orang lain, sebaliknya terus berikhtiar untuk menghasilkan produk dan ciptaan sendiri.

Islam menganjurkan amalan berinfak untuk membantu meningkatkan ekonomi umatnya. Di negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) merupakan badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus hal ehwal zakat dan wakaf. Zakat merupakan satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam selaras dengan ayat 43 Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat.” Melalui amalan zakat serta agihannya, keperluan asnaf dapat dipenuhi yang dapat mengurangkan jurang antara golongan kaya dengan miskin. Amalan berzakat mencetuskan sifat prihatin dengan menghidupkan sifat ihsan dan ingin menolong golongan yang memerlukan.

Harta yang diperoleh perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Bermula Januari hingga September 2023, sebanyak 112 juta ringgit dana zakat di bawah seliaan MAIPk telah diagihkan kepada golongan asnaf melalui pelbagai skim bantuan zakat. MAIPk turut mewujudkan program pembangunan ekonomi dan pembangunan insan di bawah skim latihan keusahawanan asnaf, bantuan modal perniagaan serta skim latihan kemahiran bagi membangunkan taraf kehidupan asnaf, sekali gus meningkatkan tahap kemahiran mereka.

Antara bimbingan yang dilaksanakan termasuklah kursus tanaman cendawan tiram, kaedah mengurut, asas perbidanan, pembuatan roti dan ternakan ayam. Pada hakikatnya, didapati sebahagian golongan asnaf memiliki bakat dan potensi dalam bidang perniagaan. Mereka diberikan peluang menerima bantuan dan kelengkapan berniaga di bawah Skim Modal Perniagaan yang membolehkan mereka meneroka dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Pada masa yang sama, anak-anak asnaf ditawarkan pelbagai program latihan yang dapat mengembang dan mempertingkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang pekerjaan. Antara latihan kemahiran yang diberikan pembiayaan termasuklah kursus pendawaian elektrik, industri kenderaan, dandanan rambut, pembaikan kenderaan, memandu kenderaan, pembaikan penyaman udara dan pemasangan sistem solar.

Wakaf merupakan satu daripada syariat Islam yang bermaksud menahan harta daripada pemilikan individu dan diurus manfaatnya untuk pihak tertentu. Syariat wakaf terbukti berjaya membantu meningkatkan ekonomi umat Islam. Dana wakaf sama ada tunai atau harta diurus oleh Waqaf Ar-Ridzuan untuk memberikan pulangan yang dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan ekonomi umat Islam.

MAIPk selaku pemegang amanah tunggal bagi wakaf di negeri Perak melantik pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti penjanaan ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perniagaan melalui kaedah sewaan dan pajakan tanah. Hasil yang diterima disalurkan semula kepada penerima manfaat. Bermula tahun 2017 hingga kini, sebanyak 16 juta ringgit telah diagihkan kepada 3798 penerima manfaat, iaitu masjid, surau, tapak perkuburan Islam dan institusi pendidikan di negeri Perak.

Umat Islam diseru agar menyokong usaha menjayakan program wakaf tunai dengan berwakaf menerusi pelbagai kaedah yang disediakan termasuk melalui sistem potongan gaji bulanan atau pembayaran secara dalam talian. Maklumat tentang kaedah berwakaf boleh diperoleh melalui laman sesawang wakafperak.gov.my atau merujuk pejabat Baitulmal. Semoga melalui sumbangan wakaf dan kutipan zakat, pelbagai projek yang mempunyai nilai keupayaan pulangan ekonomi yang tinggi berjaya diperkasakan untuk manfaat umat Islam.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bukakan pintu hati kami untuk terus istiqamah melakukan amalan berzakat dan berwakaf pada jalan-Mu ya Allah, demi kebaikan dan kemaslahatan umat Muslimin. Dengan harta yang kami infak, Engkau permudah segala urusan kami, lapangkan jiwa kami, berkati rezeki kami dan mudahkan perjalanan kami menuju syurga-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.