24 Oktober 2023, 21:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia yang sedang diuji akan sentiasa dibayangi rasa keluh kesah, putus harapan, malah mungkin berkeinginan untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri jika berasa tidak lagi mampu untuk menghadapinya. Hal ini demikian kerana manusia secara fitrahnya akan mengalami kemelut yang dahsyat apabila berhadapan dengan ujian yang besar dalam hidup.

Antara punca isu kesihatan mental termasuklah kehilangan pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan kurang akses terhadap perkhidmatan bantuan. Dunia pendidikan yang melibatkan guru, murid dan keluarga tidak terkecuali menghadapi masalah tersebut. Sebuah kajian yang diterbitkan menerusi jurnal The Lancelot mendapati 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia menerima kesan apabila seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19 yang melanda dunia suatu ketika dahulu.

Fakta yang dinyatakan tersebut menunjukkan betapa seriusnya masalah kesihatan mental yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia terutama dalam tempoh negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang lalu. Hal ini sepatutnya tidak dilihat hanya sebagai nombor yang membimbangkan, tetapi harus menjadi ruang muhasabah dengan melihat solusi mahupun pendekatan pencegahan yang perlu diambil.

Bagaimanakah perlakuan ini boleh terjadi? Hal ini berlaku apabila ekosistem kesihatan mula terganggu dan tidak stabil. Situasi ini boleh mengakibatkan kecelaruan pada minda dan kesihatan sehingga memungkinkan perlakuan di luar batasan waras dan fikir manusia normal berlaku. Hal ini jika dibiarkan boleh menyebabkan masalah kemurungan dan tekanan sehingga individu tersebut hilang pertimbangan dan akhirnya membunuh diri.

 

Hukum membunuh diri

Allah SWT melarang hamba-Nya membunuh diri kerana diri kita milik Allah. Oleh itu, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Dalam Islam, membunuh diri merupakan dosa besar yang dilarang oleh syarak. Membunuh diri disebabkan berputus asa dengan kehidupan hukumnya haram. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa nabi pernah dihadapkan dengan jenazah seorang lelaki yang membunuh dirinya sendiri menggunakan sebatan anak panah. Baginda tidak mendirikan (solat jenazah) ke atasnya.” (Hadis riwayat Muslim, no. 978).

Perbuatan membunuh diri merupakan dosa besar dan dilarang oleh agama.

          Perkara menamatkan nyawa sendiri merupakan isu besar yang membabitkan kepercayaan dan iktikad terhadap apa-apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Walaupun tahap kemampuan akal manusia tidak dapat menjangkau perkara di sebalik ketentuan Allah SWT, tetapi percayalah bahawa Allah menjadikan setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya. Hal ini demikian kerana segala masalah dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini merupakan ujian dan cabaran yang perlu dihadapi dengan penuh sabar dan tawakal. Keyakinan yang teguh kepada Allah SWT mampu menenangkan gelojak jiwa manusia yang sudah putus harapan. Selaku hamba, kita wajib  meyakini bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan wajib diredai dengan sepenuh hati.

 

Agama sebagai solusi

Apa-apapun masalah yang timbul, kita tidak boleh lari daripada merujuk kepada agama sebagai jalan penyelesaiannya. Walaupun kaedah perubatan dan psikososial menjadi pilihan, namun aspek kerohanian sebagai kekuatan jati diri perlu menjadi antara pertimbangan utama.

Perkara utama yang perlu ada pada diri seseorang mukmin ialah sifat sabar. Namun begitu, tidaklah semudah itu untuk memujuk hati agar kekal tenang apabila fikiran sudah dirasuk dengan bisikan untuk putus harapan, lantas memilih untuk mengakhiri catatan hidup dengan nota sengsara yang tidak direstui oleh Allah SWT.

Oleh itu, mengadulah kelemahan diri kepada Allah SWT kerana hal tersebut akan dapat meredakan keresahan di jiwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “(Iaitu)  orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra‘d 13:28).

Apabila kita mengakui perhambaan kepada Allah, kita telah merendahkan diri kepada satu kuasa agung yang Maha Hebat. Hal tersebut akan memberikan kekuatan dalaman kerana kita bersandar kepada Yang Maha Berkuasa. Malah, hal tersebut akan menguatkan jiwa kehambaan yang sering lalai dan alpa sehingga sedar bahawa hidup di dunia ini ditentukan oleh Yang Maha Pencipta.

 

Peranan pendidikan kesihatan dan kaunseling

Bagi tujuan sokongan sosial, Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan secara kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM)-Mercy Malaysia dengan talian helpline agensi kerajaan lain seperti Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Talian KSK-Care (Keluarga, Sosial dan Komuniti) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dimanfaatkan. Di sekolah, Unit Bimbingan dan Kaunseling melalui kaunselor menjadi tulang belakang yang menggerakkan aktiviti psikososial untuk merawat kecelaruan emosi yang dihadapi oleh warga sekolah.

 

Masyarakat cakna dan prihatin

Masyarakat juga seharusnya lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga atau orang sekeliling untuk mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri. Hal ini termasuk mengambil serius tentang masalah yang dialami, meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka dan tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka. Selain itu, tunjukkan rasa empati dan elakkan sikap menghakimi, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat bagi mengekalkan hubungan dengan individu terbabit serta memberikan galakan sosial seperti membantu urusan seharian.

Kembalilah kepada Allah SWT dengan bermuhasabah dan bertaubat apabila diuji dengan sesuatu musibah yang dahsyat.

Jika kita telusuri hadis Rasulullah SAW, terdapat banyak galakan agar kita bersikap prihatin dan peduli sosial. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak beriman seorang antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya apa-apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Bahkan Rasulullah menganjurkan sikap prihatin dalam hidup berjiran dengan sabda Baginda yang bermaksud, “Tidak termasuk orang beriman, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Hadis riwayat al-Tabarani).

Sebagai rumusan, setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri. Dalam usaha mendepani situasi masalah kesihatan mental ini, pendekatan pencegahan bersesuaian perlu bagi mengelakkan hal tersebut menjadi wabak membarah dalam masyarakat. Kita tidak mahu fenomena tekanan perasaan sehingga mengambil jalan mudah untuk membunuh diri dilakukan oleh mereka yang tertekan dengan keadaan semasa. Pokok pangkalnya, setiap kita berperanan penting atas apa-apa juga kapasiti. Peduli sosial kini harus menjadi amalan setiap ahli masyarakat supaya rakyat Malaysia kekal cergas fizikal dan cerdas emosi serta mampu berfikir dengan waras dipandu oleh pegangan agama yang tinggi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya ….” (Surah al-Mulk 67:2). Semog Allah SWT mengurniakan jalan keluar bagi setiap cabaran dan kesusahan orang-orang yang beriman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.