Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak belakangan ini, begitu banyak penganjuran konsert sama ada undangan artis luar negara mahupun artis tempatan yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat terutamanya golongan generasi muda Islam. Tidak menjadi kesalahan perundangan negara mahupun kesalahan beragama berkaitan dengan penganjuran konsert tersebut. Namun begitu, isu yang timbul apabila kebanyakan konsert yang dianjurkan mempamerkan unsur-unsur yang jelas bertentangan dengan batasan agama sehinggakan terdapatnya konsert yang mempamerkan adegan golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) secara jelas dan terbuka semasa konsert berlangsung dan jelas bertentangan dengan perundangan negara dan juga etika beragama.
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, hedonisme ialah suatu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan kebebasan atau mengoptimum keseronokan dalam hidup. Perkataan tersebut berasal daripada bahasa Yunani, iaitu hedonismos yang bermaksud “kemeriahan”. Golongan yang berfahaman hedonisme ini menjadikan falsafah kehidupan mereka untuk bebas berseronok sebagai matlamat utama dalam hidup. Fahaman ini semakin menggusarkan semua pihak apabila semakin meresap dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda Islam, bahkan segelintir mereka telah menjadikan kebebasan berhibur sebagai amalan kebiasaan hidup.
Persoalannya, adakah Islam memberikan kebebasan kepada umatnya untuk mendapatkan hiburan secara bebas dan tanpa batasan agama demi matlamat kepuasan diri? Islam tidak melarang umatnya mencari hiburan, bahkan satu daripada fitrah kehidupan manusia yang suka akan sesuatu perkara yang menggembirakan hati. Namun begitu, di sebalik kebebasan berhibur hendaklah tidak melanggar batas agama yang telah ditetapkan oleh syarak.
Berikut adalah antara garis panduan yang telah ditetapkan Islam dalam hal berhibur:
Pertama, hiburan yang jelas tidak bercanggah dan tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunah. Hikmah adanya al-Quran dan sunah adalah menjadi panduan hidup yang berlandaskan syarak kepada seluruh umat Islam agar sentiasa melakukan amal kebaikan dan terhindar serta terpelihara daripada melakukan perkara mungkar. Al-Quran dan sunah menguji keimanan individu sama ada patuh akan segala perintah yang terkandung dalam kitab al-Quran ataupun mengabaikannya demi kecintaan pada dunia. Oleh sebab itu, setiap individu sepatutnya menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan utama dalam melakukan apa-apa jua perkara agar terhindar daripada perkara batil dan mungkar.
Kedua, Islam melarang umatnya sama ada menyertai secara langsung mahupun secara tidak langsung apatah lagi meraikan hiburan yang berbentuk menyerupai perlakuan, pegangan mahupun ibadat yang jelas menunjukkan keagamaan lain. Islam menegah umatnya melakukan perkara tersebut kerana setiap perlakuan, pegangan mahupun ibadat agama lain terangkum dalam perkara yang boleh merosakkan akhlak dan bersangkut-paut dengan syariat seterusnya iktikad akidah Islam. Demikian jelas Islam memberikan kebebasan dalam berhibur dan keseronokan tetapi tidak pada perkara yang boleh merosakkan tiga perkara yang berkaitan, iaitu akhlak, syariat dan akidah.
Ketiga, Islam turut melarang dan menegah umatnya mencari keseronokan berhibur yang mengandungi unsur menghina, menjatuhkan maruah mahupun membuka aib seseorang sama ada secara terbuka ataupun tertutup. Buktinya jelas apabila tujuan asal media sosial sebagai satu daripada medium mendapatkan hiburan telah bertukar menjadi medium hiburan ekstrim serta penyebaran fitnah sehingga wujudnya unsur menghina, menjatuhkan maruah mahupun membuka aib seseorang demi kepuasan pengguna media sosial tersebut. Jelas Islam menegaskan bahawa setiap individu bertanggungjawab menjaga aib individu lain apatah lagi menegah perbuatan yang jelas menjatuhkan maruah mahupun membuka aib seseorang.
Keempat, Islam melarang hiburan yang tidak mendatangkan faedah, malah boleh melalaikan dalam melaksanakan ibadat kerana terkandung perbuatan sia-sia dan tidak membawa manfaat. Hal ini demikian kerana tujuan kehidupan ini selain memenuhi keperluan fitrah kemanusiaan, juga adalah sebagai pembuktian pengabdian dan beribadat kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, kebebasan dan keseronokan tanpa batasan dalam hiburan mampu mengakibatkan kecenderungan terhadap kecintaan dunia semata-mata yang penuh dengan tipu daya dan pendustaan yang menyesatkan manusia daripada hakikat kebenaran syarak.
Oleh itu, amalan hedonisme jelas bertentangan dengan syarak kerana tanpa disedari mampu mempengaruhi pemikiran seseorang menjadi hamba dunia. Tambahan pula, mengiyakan kebebasan dalam kehidupan dan menafikan hakikat kebenaran beragama yang telah memberikan garis panduan jelas dalam mengoptimum keseronokan berhibur berserta batasan yang perlu dipatuhi. Lebih parah lagi, pengikut fahaman ini telah mempersendakan agama apabila mereka berasakan bahawa dunia sepenuhnya milik mereka dan mereka berhak melakukan apa-apa sahaja yang mereka inginkan tanpa sebarang batasan yang boleh menghalang keinginannya.
Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa Islam tidak melarang ataupun menegah mahupun menyekat umatnya mencari keseronokan apatah lagi memenuhi fitrah manusia dalam berhibur. Akan tetapi, hal tersebut perlu sentiasa bersandarkan pada hakikat kebenaran syarak dengan memenuhi garis panduan dan mematuhi batasan yang telah ditetapkan berlandaskan al-Quran dan sunah. Sesungguhnya tidaklah berat bagi seseorang untuk memenuhi dan mematuhi batasan syarak melainkan dirinya sendiri enggan menerima dan menidakkan hakikat kebenaran syarak dalam kehidupan sehariannya.
Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang berusaha menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan atau mengeluarkan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun 23:1-3).