13 Oktober 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT menciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dengan limpahan rahmat dan kasih sayang. Maha Suci Allah yang menjadikan setiap amalan atau kebaikan yang dilakukan oleh hamba-Nya, walaupun seberat zarah, akan dijamin akan dilimpahi dengan ganjaran pahala. Umat Islam yang bijak akan memanfaatkan usia, masa dan tenaga untuk beramal soleh, mengingatkan hati dan menghampirkan diri dengan Allah SWT tanpa terikat dengan waktu, tempat atau suasana. Umat Islam yang berusaha mengingati dan menghampiri Allah merupakan umat yang terpuji.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT melalui ayat 191 Surah Ali ‘Imran yang bermaksud, “(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): ‘Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab api neraka.’”

Perkembangan teknologi yang semakin canggih telah menghasilkan pelbagai ciptaan sama ada berbentuk fizikal ataupun perisian yang membolehkan umat Islam lebih mudah melakukan ibadat. Al-Quran digital, tasbih digital, pembayaran zakat dan sumbangan wakaf dan sedekah dalam talian serta pelbagai kaedah ibadat lagi merupakan contoh bahawa peluang beribadat boleh dilakukan dengan lebih mudah, bahkan menjadi daya penarik kepada umat Islam untuk memperelok dan meningkatkan amal ibadat.

Umat Islam kadangkala berasakan bahawa mereka memiliki masa yang terhad untuk melakukan ibadat. Namun begitu, mereka perlu sedar bahawa terdapat amal ibadat yang boleh dilakukan serentak atau seiring ketika sedang melakukan kerja lain seperti ketika memandu, berada dalam kenderaan atau semasa bermusafir, memasak, menjahit, berkebun, dan beriadah. Begitu juga semasa menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan atau menunggu hidangan makanan. Antara amalan ibadat yang boleh dilakukan secara serentak atau seiring termasuklah;

Pertama: Mendengar, membaca atau menghafal al-Quran

Al-Quran ialah kitab yang mengandungi pelbagai panduan hidup. Barang siapa yang mendengar, membaca dan menghafal ayat al-Quran akan diberikan ganjaran kebaikan berlipat ganda. Hal ini berpandukan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud r.a:

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan; satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan alif, lam, mim itu satu huruf. Bahkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Kini, membaca al-Quran boleh dilakukan melalui al-Quran Pintar (atau smart Quran), iaitu aplikasi mudah alih al-Quran yang mendapat kelulusan Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri yang disediakan terjemahan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta suara bacaan daripada imam yang masyhur.

Kecanggihan teknologi masa ini membolehkan kita membaca al-Quran walau di mana sahaja berada.

Kedua: Berzikir

Berzikir merupakan ibadat yang paling utama setelah ibadat fardu. Umat Islam dianjurkan untuk sentiasa berzikir berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, bahawa ucapan  سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ  (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung) ialah kalimah yang ringan dan mudah diucapkan oleh lidah, tetapi berat timbangannya di sisi Allah SWT.”

Ketiga: Beristighfar

Allah SWT menyukai hamba-Nya yang beristighfar memohon keampunan; mereka akan diganjari kebaikan, dimurahkan rezeki serta dilapangkan jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapi.

Keempat: Membaca Surah al-Ikhlas

Surah al-Ikhlas ialah surah yang pendek, mudah dihafal dan mudah diingati. Nabi Muhammad SAW mengibaratkan surah ini seumpama satu pertiga al-Quran; surah yang apabila dibaca, akan memperkukuh keyakinan tauhid kepada Allah SWT.

Kelima: Berselawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW

Selawat yang dibacakan kepada Nabi Muhammad SAW akan sampai kepada Baginda sendiri sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Dan berselawatlah ke atasku, sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Lazimkan amalan berzikir apabila ada waktu terluang kerana pahalanya sangat besar.

Keenam: Bersedekah

Bersedekah tidak diukur melalui banyak atau sedikit nilai yang diberikan kerana Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa bersedekah walaupun sedikit seperti sebiji kurma, mampu menjauhkan diri manusia daripada api neraka. Mereka yang sering bersedekah, diberikan khabar gembira bahawa mereka akan dipanggil masuk ke syurga melalui pintu sedekah. Pelbagai kaedah telah diperkenalkan untuk memudahkan amalan bersedekah melalui kaedah dalam talian, antaranya termasuklah Sistem Wakaf Perak Ar-Ridzuan, Program Mumtaz dan Dana Pembangunan Maahad Tahfiz.

Ketujuh: Berdoa

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama Muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya untuknya: “Dan bagimu kebaikan yang sama.” (Hadis sahih Muslim)

Antara doa yang boleh dilakukan termasuklah mendoakan keampunan dan rahmat untuk ibu bapa dan guru-guru, doa kebaikan ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.

Islam ialah agama yang sempurna. Tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap hamba setimpal dengan kemampuan dan keupayaannya. Setiap perintah dan suruhan-Nya hanyalah untuk kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu mudah”. Manusia dinilai oleh Allah daripada pelbagai sudut untuk dikurniakan ganjaran rahmat-Nya. Rahmat Allah SWT sangatlah luas, hatta amalan sebesar zarah pun mempunyai nilai yang tinggi di sisi-Nya. Oleh sebab itu, umat Islam wajib mengambil peluang melakukan amalan baik, dengan hati yang bersih dan niat yang jujur, mengabdikan diri semata-mata dan sepenuhnya untuk mendapat keredaan Allah SWT. Amat rugi sekiranya amalan mudah yang memberikan limpahan pahala dibiarkan begitu sahaja.

Oleh itu, umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan berselawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbing kami untuk sentiasa melakukan amalan soleh agar usia dan tenaga kami dimanfaatkan pada perkara yang mendatangkan kebaikan. Terimalah amalan dan ibadat yang kami laksanakan agar dengannya kami berjaya meraih reda, rahmat dan syurga-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, “Amalan Mudah Pahala Melimpah”, 13 Oktober 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.