6 Oktober 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad) membinasakan dirimu kerana bersedih hati terhadap kesan perbuatan buruk mereka, sekiranya mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran.”

(Surah al-Kahfi 18:6)

Tubuh manusia terdiri daripada dua unsur, iaitu fizikal dan mental. Mental merujuk bahagian dalaman manusia, berkaitan dengan jiwa, emosi, perasaan dan fikiran yang amat mempengaruhi corak kehidupan, bentuk kelakuan serta gaya fikir. Mental yang sihat merupakan teras kehidupan sejahtera yang membolehkan seseorang berfikir dengan waras, berbicara secara berhemah, melakukan pekerjaan dengan baik, serta mampu menyumbang bakti kepada bangsa dan negara, seterusnya mengecap nikmat kebahagiaan.

Kesihatan mental amat penting diberikan perhatian. Lazimnya seseorang yang sihat mentalnya akan sentiasa menunjukkan sifat positif seperti mudah bergaul, beramah mesra, berkeyakinan tinggi, bijak mengurus dan berupaya mengendalikan sesuatu masalah secara bijaksana. Sebaliknya gangguan mental menyebabkan seseorang berasa resah, murung, celaru, gugup, cemas, takut, tertekan dan sebagainya yang mengakibatkan berlakunya perubahan sikap seperti berdiam diri, enggan bergaul, mudah marah, hilang tumpuan serta hilang kewarasan. Jika tidak dibendung atau tidak dirawat, gangguan mental boleh membawa kepada tindakan yang lebih buruk sehingga melakukan perbuatan yang mencederakan ahli keluarga, orang sekeliling, malah menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

Antara punca yang mendorong berlakunya gangguan mental termasuklah kesempitan dan bebanan hidup, mengalami pengalaman buruk, terdedah kepada suasana dan persekitaran hidup yang tidak bersih dan tidak sihat, terpinggir daripada sokongan keluarga, pengambilan minuman keras serta ketagihan dadah, tabiat makan yang buruk dan kurang melibatkan diri dalam kegiatan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Malaysia mencatatkan peningkatan masalah kesihatan mental. Orang yang mendapatkan rawatan atau sokongan menerusi talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial meningkat lima kali dalam tahun 2022 berbanding dengan tahun 2020. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati bahawa satu pertiga rakyat Malaysia berumur 13 tahun dan ke atas, berhadapan masalah mental. Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan bahawa sebanyak 424 ribu orang kanak-kanak berusia antara lima hingga sembilan tahun mengalami masalah gangguan mental.

Tekanan dan bebanan hidup seseorang boleh dikurangkan jika masyarakat mengamalkan sifat ihsan dan bersedia membantu antara satu sama lain.

Islam mengiktiraf bahawa kehidupan manusia akan melalui saat-saat getir dan ujian yang boleh menggoncang keyakinan dan ketabahan diri. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menitipkan amalan yang boleh mengelakkan diri daripada mengalami gangguan mental seperti doa yang diamalkan Baginda:

Maksudnya: “Ya Allah kami berlindung dengan-Mu daripada kemurungan dan kesedihan, dan kami berlindung dengan-Mu daripada sifat lemah dan malas, dan kami berlindung dengan-Mu daripada rasa takut dan kedekut, dan kami berlindung dengan-Mu daripada belitan hutang dan gangguan (jahat) manusia.”

Ayat 6 Surah al-Kahfi tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengalami kesedihan. Berpandukan ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan agar kewarasan akal tidak dihanyutkan dengan kesedihan. Sifat tabah, reda dan sabar Nabi Ya’akub a.s. mengawal kesedihan ketika menghadapi ujian menerima khabar duka berkenaan Nabi Yusuf a.s. hendaklah dijadikan pengajaran. Baginda memusatkan pergantungan pada Allah SWT dengan mengungkapkan:

Maksudnya: “Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah jualah yang dipohonkan pertolongan tentang apa-apa yang kamu ceritakan itu.”

(Surah Yusuf 12:18)

Selain amalan rohani, hendaklah juga diikhtiarkan rawatan di hospital atau pusat rawatan untuk para pesakit. Kaedah rawatan dan penyembuhan masalah mental yang lebih berkesan perlu dipertingkatkan dengan menambah jumlah tenaga pakar pesakit mental serta memperbaik prasarana rawatan. Ketika ini, negara hanya memiliki 600 orang pakar pesakit mental berbanding 3000 tenaga pakar yang diperlukan. Hakikat ini perlu diberikan perhatian terutama oleh pihak berkuasa, agar dapat memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menyarankan setiap negara mempunyai tenaga pakar pesakit mental dengan nisbah seorang pakar bagi setiap 10 000 orang pesakit.

Para pesakit mental juga perlu dibantu melalui kaedah rawatan kaunseling di hospital atau pusat rawatan yang disediakan.

Tekanan dan bebanan hidup seseorang boleh dikurangkan jika masyarakat mengamalkan sifat ihsan yang bersedia membantu meringankan beban orang lain. Sebagai contoh, isteri yang baru melahirkan anak memerlukan tempoh masa untuk kembali sihat secara mental, emosi dan fizikal. Pada ketika itu, para suami dan ahli keluarga sepatutnya tampil mempermudah segala urusan, terutama keperluan ibu dan bayi. Tekanan di tempat kerja tidak akan menjadi bebanan jika pasangan suami dan isteri saling membantu meringankan urusan rumah tangga.

Anak-anak tidak boleh dipaksa atau ditekan untuk melakukan perkara di luar kemampuan dan minat mereka; sebaliknya mereka hendaklah diberikan bimbingan untuk memilih apa-apa sahaja bidang yang mereka mahu ceburi berasaskan bakat, keupayaan dan minat mereka, asalkan memberikan manfaat.

Oleh itu, beberapa perkara yang berikut disimpulkan sebagai peringatan:

Pertama: Memastikan diri memiliki mental yang sihat melalui pengawalan dan pengurusan emosi yang betul. Lakukan kegiatan berfaedah seperti beriadah, bergotong-royong, menghubungkan silaturahim dan elakkan daripada berdendam, berhasad dengki, memendam masalah, sebaliknya apa-apa juga masalah dikongsi bersama-sama ahli keluarga, rakan dan teman serta orang-orang yang dipercayai.

Kedua: Memperbanyak amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah SWT seperti membaca al-Quran, berzikir, bermunajat, berpuasa, bersedekah dan berdoa memohon bantuan Yang Maha Esa. Dengan mengingati Allah SWT, hati akan dipenuhi ketenangan dan pasrah kepada segala ketentuan-Nya.

Ketiga: Menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami gangguan emosi dengan mendapatkan khidmat pakar pesakit mental, pakar kaunseling atau setidak-tidaknya memberikan nasihat dan membantu menenangkan hati mereka.

Keempat: Mengamalkan budaya hidup yang dapat membantu membangunkan minda dan tubuh yang sihat melalui bahan makanan yang seimbang, tidur dan waktu rehat yang cukup serta beriadah.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai kami kesihatan yang baik secara fizikal mahupun mental. Bimbing kami untuk terus sabar dan tabah menempuhi segala ujian dan dugaan hidup; mudahkan urusan kami, ringankan tanggungan kami dan lapangkan jiwa kami agar kami hidup dalam kebahagian.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, serta jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah, serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 6 Oktober 2023, “Mental Sihat Hidup Sejahtera”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.