29 September 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT, ayat 164 Surah Ali ‘Imran:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang yang beriman setelah Dia mengutus seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) kepada mereka dan membersihkan (jiwa) mereka (daripada iktikad yang sesat) serta mengajarkan al-kitab (al-Quran) dan al-hikmah (pengetahuan mendalam tentang hukum-hukum syariat) kepada mereka. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Muhammad) itu, mereka berada dalam kesesatan yang nyata.”

Sebuah negara Islam berjaya dibentuk di Madinah al-Munawarah berasaskan perlembagaan bertulis Piagam Madinah, berpandukan bimbingan wahyu al-Quran, serta hadis  Nabi  Muhammad SAW,  dan  amalan  syura. Rakyatnya  yang  berteduh  di  bawah  payung keadilan, yang takut kepada Allah, dan insaf akan adanya penghidupan akhirat selepas kematian, telah berjaya membangunkan masyarakat yang amanah dan ikhlas, berakhlak mulia dan beriman, serta berpengetahuan dan berkemahiran.

Tamadun Islam turut dibangunkan melalui kebijaksanaan Rasulullah SAW yang menekankan pembangunan insan. Ayat 164 Surah Ali ‘Imran menunjukkan bahawa Rasulullah SAW membina peribadi para sahabat dengan menanamkan akidah yang sahih dan mengajarkan ilmu tafsiran al-Quran sehingga lahir generasi yang mempunyai kekuatan mental, fizikal dan rohani sebagai persiapan memikul tanggungjawab mengembangkan Islam selepas ketiadaan Baginda. Ayat tersebut turut menunjukkan bahawa tauhid berperanan penting mempengaruhi usaha pembangunan insan. Baginda berusaha membebaskan akal dan jiwa manusia daripada belenggu syirik dan dosa yang menghalang kemajuan akal dan kepintarannya.

Umat Islam wajib tampil dengan cita-cita ingin membina kemajuan baharu dan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan.

Tamadun Islam lantas berjaya dibangunkan dan berkembang luas merentasi dunia. Syiar Islam tersebar luas kerana didukung oleh masyarakat yang menghargai ilmu dan berjaya melahirkan ilmuwan yang menguasai bidang politik, hubungan antarabangsa, undang-undang, ekonomi, perdagangan, perubatan, sains, teknologi dan ketenteraan.

Maulidur Rasul mestilah disambut dengan penghayatan. Umat Islam harus bijak mentafsir sirah Rasulullah SAW dan mengamalkannya dalam kehidupan. Umat Islam wajib tampil dengan cita-cita ingin membina kemajuan baharu, mencipta sejarah baharu, dan bertekad melakukan perubahan diri untuk menjadi insan yang lebih berkualiti dengan menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran diri, dan seterusnya menguasai pelbagai bidang yang diperlukan. Umat Islam yang berjaya mengambil iktibar sirah Rasulullah SAW ialah umat yang bersedia meninggalkan tabiat usang dan buruk, serta beralih kepada amalan dan kegiatan yang menumpukan usaha untuk kemajuan diri, agama, bangsa dan negara.

Peradaban yang unggul bermula daripada proses berfikir dan bertaakul. Akal yang dikurniakan oleh Ilahi mestilah digunakan dalam kerangka tauhid yang mengesakan Allah SWT. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menganjurkan umat Islam berfikir dan mengkaji yang bertujuan untuk memanfaatkan akal. Terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang menyeru manusia supaya memerhatikan burung yang terbang bebas di udara, ratu semut yang mengetuai kumpulannya, lebah yang menghasilkan madu, serta matahari dan bulan yang masing-masing pada orbitnya. Kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran bertujuan untuk melatih akal manusia supaya berfikir, merintis kajian, melakukan uji kaji dan mengusahakan penemuan baharu untuk memenuhi keperluan hidup. Ketekunan para sahabat Rasulullah SAW mempelajari, menghayati dan seterusnya menerokai kandungan al-Quran juga menjadi asbab utama berlakunya kemajuan tamadun.

Rasulullah SAW sangat meraikan pendapat dan pandangan para sahabat. Baginda sering kali bertanyakan soalan kepada para sahabat untuk melatih para sahabat berfikir. Dalam peperangan Badar, al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat yang lebih strategik yang membolehkan orang Islam menguasai bekalan air. Baginda bersetuju dengan saranan tersebut. Dalam urusan pemerintahan, pernah seorang sahabat mencadangkan agar Baginda menggunakan cap mohor apabila mengutus surat kepada raja dan penguasa. Baginda bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan ditempa cincin perak yang diukir padanya cap mohor.

Akal yang dikurniakan oleh Ilahi mestilah digunakan dalam kerangka tauhid yang mengesakan Allah SWT.

Rasulullah SAW turut memperakukan kemahiran pendebungaan melalui amalan berasaskan sains tabii ketika Baginda menegur kaedah pendebungaan tamar yang dilakukan oleh penduduk Madinah. Kesannya, buah tamar pada musim tersebut kurang menjadi. Apabila dilaporkan keadaan tersebut, Baginda bersabda yang bermaksud, “Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.” Hal ini menjadi bukti bahawa Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya membina kemajuan berdasarkan ilmu sains, teknologi moden serta apa-apa jua ilmu yang mampu mempertingkatkan tatacara hidup ummah.

Oleh itu, ketika diberikan tanggungjawab melaksanakan fardu kifayah, kita dituntut melakukan kajian dan penyelidikan agar penemuan baharu yang bersifat lebih segar dapat dihasilkan, dan urusan kerja dapat ditingkatkan kecekapannya.

Tidak ada insan yang selayaknya lebih diimani dan diteladani melebihi kekasih Ilahi, iaitu Nabi Muhammad SAW, penghulu sekalian nabi. Beriman dan meneladani pimpinan Rasulullah SAW merupakan suatu sunah. Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul, disenaraikan sifat mithali Rasulullah SAW, iaitu peribadi terunggul yang diiktiraf oleh Allah SWT sebagai uswatun hasanah atau teladan yang baik. Teladan tersebt sewajibnya dijadikan rujukan dan amalan dalam kalangan pemimpin semasa:

Pertama: Menonjolkan akhlak dan adab yang baik dalam segenap sudut kehidupan baik dari segi percakapan ataupun perbuatan. Baginda berbicara dengan penuh beradab, bersopan santun dan berhikmah; tidak mencerca, tidak mengumpat, malah jauh sekali daripada memfitnah atau menghina orang lain, termasuk terhadap orang yang memusuhi Baginda atau mengamalkan agama yang berbeza.

Kedua: Mengamalkan politik yang inklusif, iaitu politik yang merangkumi serta memberikan tempat dan layanan secara adil kepada masyarakat berbilang kaum. Baginda menegaskan pentingnya semua insan diperlakukan dengan adil, tanpa mengira latar belakang kaum atau taraf sosial. Prinsip yang menjadi asas dalam masyarakat inklusif berjaya menggabungkan masyarakat pelbagai kaum hidup dalam keadaan aman, damai, dan harmoni. Hasilnya, Baginda diterima sebagai ketua negara oleh masyarakat pelbagai kaum, dan menjayakan konsep kepelbagaian dan kesatuan dalam peradaban Islam.

Ketiga: Sifat amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa, iaitu tidak merompak atau mengaut khazanah negara untuk kekayaan diri, keluarga dan kroni.

Keempat: Melaksanakan  pemerintahan  bersandarkan  undang-undang  yang dilaksanakan secara adil dan saksama, tanpa gentar, pilih kasih dan melindungi mana-mana pihak yang bersalah meskipun ahli keluarga atau sahabat.

Kelima: Menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada orang yang layak dan berupaya melaksanakan tugas dengan bersifat amanah, jujur, ikhlas dan telus.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya  Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai kami pemimpin yang menghayati dan mengamalkan sifat uswatun hasanah Rasulullah SAW, pemimpin yang senantiasa mengutamakan rakyat jelata, berupaya mendamaikan dan mengharmonikan kehidupan rakyat pelbagai kaum, serta senantiasa mengamalkan keadilan dalam pemerintahan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan  fakir  dan  miskin daripada  kekufuran dan  kefakiran  yang berpanjangan.

Ya  Dza al-Jalal  wa al-Ikram!  Jadikanlah  kami  antara  hamba-Mu  yang  memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang  amanah  dan  ikhlas,  serta  tegas  lagi berani  menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, “Rasulullah SAW: Mengungguli Peradaban Ummah”, 29 September 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.