28 September 2023, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rasulullah SAW menjadi contoh teladan dalam segenap aspek. Baginda merupakan seorang mahaguru yang membimbing umat ke arah kebaikan dan mencegah daripada sebarang keburukan. Didikan Baginda adalah atas dasar kasih sayang yang terbit daripada hati yang ikhlas. Teguran Baginda bukan disebabkan benci dan ingin memalukan mana-mana individu. Sehubungan dengan itu, cara didikan Rasululah SAW kepada para sahabat menjadi rujukan dalam dunia pendidikan.

Kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah SAW menjadi panduan kepada semua pendidik untuk membentuk jati diri murid dan pelajar. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi kamu semua pada diri Rasulullah itu contoh teladan bagi sesiapa yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat dan banyak mengingati Allah.”

Para rasul berperanan membimbing umat dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan. Walaupun manusia mempunyai akal untuk berfikir, namun tanpa bimbingan seorang rasul, manusia akan terjatuh ke lembah kesesatan. Hal ini demikian kerana akal mempunyai batasan had, iaitu bukan semua perkara mampu difikirkan oleh akal terutamanya dalam perkara ghaib. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sebagaimana Kami telah utus pada kamu semua seorang rasul dalam kalangan kamu yang membacakan ke atas kamu ayat-ayat kami, membersihkan kamu semua dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada kalian semua, serta mengajarkan kamu apa-apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah 2:151).

Keperibadian Rasulullah SAW sebagai seorang pendidik sangat terserlah dari segi fizikal, penampilan dan perwatakan Baginda. Keterampilan seorang pendidik yang unggul dapat dilihat pada batang tubuh Baginda sendiri. Baginda berwatakan menarik dan sentiasa kemas sebagaimana yang diterangkan oleh al-Barra’ bin ‘Azib yang bermaksud, “Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling kacak rupa paras dan paling baik budi pekerti. Baginda tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun manusia mempunyai akal untuk berfikir, namun tanpa bimbingan seorang rasul, manusia akan terjatuh ke lembah kesesatan.

Akhlak seorang pendidik terserlah pada diri Rasulullah SAW yang menjaga imej penampilan seperti menipiskan misai, memotong kuku dan suka berwangi-wangian.  Oleh itu, segenap lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, remaja dan orang tua suka mendampingi Rasulullah SAW. Baginda menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa memilih kasih dan memandang status ekonomi mereka.

Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa seorang Badwi yang mencelah ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lelaki Badwi itu meminta Baginda berdoa kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan kerana sudah lama berlaku kemarau dan banyak tumbuh-tumbuhan telah musnah dan terdapat binatang yang mati. Kesannya, orang ramai terutamanya kanak-kanak menjadi kelaparan dan kebuluran. Apabila mendengar Badwi tersebut mengeluh, Baginda lantas mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah SWT agar diturunkan hujan. Baginda melayan permintaan Badwi tersebut walaupun bukan dalam kalangan sahabat yang besar dan juga golongan bangsawan.

Sehubungan dengan itu, kemenjadian para sahabat merupakan hasil didikan Rasulullah SAW. Sebelum itu, terdapat sahabat yang berakhlak dengan sifat jahiliah, tetapi bertukar menjadi insan mulia berkat bimbingan dan asuhan daripada Baginda SAW. Rasulullah SAW menggunakan pelbagai kaedah untuk mendidik para sahabat Baginda, termasuklah dengan kaedah bersoal jawab. Interaksi dua hala berlaku antara Baginda dengan para sahabat. Penerimaan dan kesediaan para sahabat merupakan perkara yang diambil kira apabila Baginda berkongsi sesuatu ilmu.  Apabila para sahabat bersedia untuk menerima ilmu, barulah bermula proses Baginda memindahkan ilmu tersebut kepada mereka. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkan salam sesama kalian.” (Hadis riwayat Muslim).

Contohilah kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi seorang pendidik yang baik.

Rasulullah SAW juga mempelbagaikan kaedah penyampaian ilmu kepada para sahabat. Tahap kefahaman seseorang berbeza berdasarkan kemampuan intelektualan mereka. Sehubungan dengan itu, Baginda kadangkala menggunakan kaedah isyarat agar para sahabat lebih cepat memahami tentang sesuatu perkara yang ingin disampaikan oleh Baginda. Kaedah tersebut akan menyebabkan para sahabat dapat melihat dengan mata sekali gus dapat memahaminya dengan mudah. Pendekatan audio dan visual telah diaplikasikan oleh Baginda. Kaedah ini dapat dilihat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud, “Aku dan orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga seperti ini (sambil diisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah).”

Pada waktu yang sama, Rasulullah SAW juga menggunakan kaedah tunjuk cara untuk menyampaikan sesuatu ilmu. Para sahabat dapat mempelajari sesuatu ilmu dengan cara melihat amali yang dilakukan oleh Baginda. Menerusi kaedah ini, para sahabat memberikan tumpuan kepada setiap gerak-geri Rasulullah SAW agar perlakuan mereka selepas ini juga tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Baginda. Contohnya, Rasulullah SAW telah menunjukkan cara menunaikan solat yang merangkumi tatacara rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “… dan solatlah kamu semua sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW memahami sasaran dakwah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Arab Badwi yang tinggal jauh di kawasan pedalaman kurang terdedah dengan ilmu dan adab. Persekitaran tersebut menyebabkan mereka agak kasar dari segi perwatakan dan tingkah laku. Rasulullah SAW sangat memahami hakikat ini sehingga apabila seorang Badwi kencing di dalam Masjid Nabawi, Baginda melarang para sahabat daripada memarahi lelaki tersebut. Hal ini terakam dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Seorang Badwi datang lalu kencing di satu sudut masjid. Lalu orang ramai memarahi dan berusaha mencegahnya. Maka itu, Rasulullah SAW melarang mereka. Setelah lelaki itu menyelesaikan kencingnya, Baginda pun memerintahkan untuk mengambil satu baldi air kemudian disiramkan pada bekas kencing itu.”

Oleh itu, kita sebagai pendidik sama ada guru, pensyarah atau ibu bapa perlu mencontohi Rasulullah SAW dalam hal mendidik umat. Kejayaan dalam sistem pendidikan berkaitan rapat dengan diri seorang pendidik dan pendekatan yang digunakan oleh mereka dalam penyampaian ilmu. Pendidik yang hebat ialah seorang yang berjiwa pendidik, iaitu berjiwa mualim, mudarris, muaddib dan murabbi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.