Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIslam merupakan cara hidup yang lengkap merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Agama Islam tidak terhad kepada acara ritual sahaja, tetapi merupakan sistem hidup yang menyeluruh termasuk bidang ekonomi, sosial, politik dan pendidikan. Keseluruhan hidup manusia sejak dilahirkan hingga meninggal dunia telah disediakan manual panduan hidup oleh Islam.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, masuklah dalam Islam keseluruhannya dan janganlah mengikut jejak langkah syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” Menurut Tafsir al-Sa‘di, hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada umat Islam agar mereka mematuhi semua syariat dan tidak meninggalkan suatu pun perkara daripada landasan agama. Oleh sebab itu, kita wajib mendidik nafsu agar sentiasa mengikut ajaran agama dalam setiap detik dan keadaan.
Syariat Islam telah menggariskan tatakelola tentang hal ehwal individu Muslim dan juga kekeluargaan Islam. Tanggungjawab nafkah kepada ahli keluarga terpikul di atas bahu lelaki. Para suami berkewajipan memberikan nafkah zahir dari segi makanan, minuman, pakaian, tempat tingggal dan kesihatan kepada isteri. Begitu juga seorang ayah berkewajipan memberikan nafkah kepada anak-anak termasuk anak perempuan sewaktu mereka masih kecil, belajar dan belum mampu bekerja untuk menyara diri sendiri. Secara dasarnya keperluan seseorang wanita akan dipikul oleh seorang lelaki sama ada suami ataupun bapa.
Namun begitu, seseorang wanita dibenarkan untuk keluar bekerja bagi membantu suami atau bapa, dan perkara ini dibuat atas dasar ihsan. Islam membenarkan wanita bekerja di luar rumah dan hukumnya harus di sisi syarak. Perkara ini sangat bersesuaian dengan situasi dan realiti semasa kerana wanita sekarang mendapat peluang pendidikan yang sama rata seperti lelaki. Tambahan pula, kepakaran wanita dalam bidang tertentu seperti guru, jururawat dan doktor perubatan sangat diperlukan. Ketelitian mereka dan komitmen yang tinggi untuk menyiapkan sesuatu tugasan sangat diperlukan oleh sesebuah organisasi. Malah, kos sara hidup yang semakin meningkat juga menyebabkan para isteri perlu bekerja bagi membantu para suami.
Walau bagaimanapun, adab pergaulan di tempat kerja perlu dipatuhi agar pendapatan yang diperoleh mendapat keberkatan daripada Ilahi. Sehubungan dengan itu, pergaulan dengan rakan sekerja yang berlainan jantina perlu mempunyai batasannya. Kini, kemudahan komunikasi melalui pelbagai aplikasi dalam media sosial banyak membantu kelancaran urusan kerja. Majikan boleh menyampaikan maklumat menerusi aplikasi tersebut sekalipun ketika mereka berada di luar pejabat. Malah, arahan dapat diberikan pada bila-bila masa tanpa terhad pada waktu tertentu sahaja. Oleh sebab itu, kemudahan ini perlu dikawal supaya tidak mengganggu waktu privasi pekerja. Lebih-lebih lagi jika melibatkan pekerja yang berlainan jantina, maka waktu-waktu tertentu seperti tengah malam merupakan masa yang tidak sesuai untuk berurusan sekalipun atas urusan kerja.
Seterusnya, urusan kerja hendaklah dibuat atas dasar profesional. Luahan perasaan dan perkongsian masalah peribadi perlu dibuat dengan kaunselor bertauliah atau sesama rakan sekerja yang sama jantina sahaja. Hal ini mustahak supaya tidak timbul perasaan simpati dan empati yang bertukar kepada perasaan cinta. Berdasarkan statistik daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sejumlah 45 420 kes perceraian telah didaftarkan pada tahun 2021 melibatkan pasangan beragama Islam di seluruh negara. Malah, antara punca perceraian ini ialah campur tangan melibatkan pihak ketiga.
Perbuatan ini merupakan kesalahan jenayah syariah berdasarkan Enakmen 11 tahun 2013. Secara jelas, peruntukan undang-undang syariah ini menetapkan mana-mana pihak yang mengganggu rumah tangga orang lain apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Perbuatan berdua-duaan yang berlainan jantina terutama dengan suami atau isteri orang seperti ketika keluar makan, menghadiri kursus atau mesyuarat merupakan perkara yang perlu dielakkan. Walaupun hal tersebut mungkin dilihat sebagai perkara biasa oleh sebahagian manusia, namun perkara ini boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga. Bibit-bibit pergaduhan akan mula timbul apabila perbuatan ini tidak dikawal akibat salah faham dan perasaan cemburu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan daripada fitnah dan menutup pintu-pintu kerosakan, iaitu sad al-zari‘ah.
Gurau senda antara rakan sekerja yang berlainan jantina juga perlu mengikut etika agar tidak termasuk dalam kategori gangguan seksual. Perbuatan bertepuk tampar perlu dijauhi walaupun hubungan yang terjalin sangat rapat dan tiada apa-apa hubungan sulit dan perasaan sayang. Jika pekerja wanita tersebut membuat aduan dan terbukti bersalah, maka pelaku itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan A Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Perkara ini selari dengan maqasid syariah, iaitu memelihara maruah dan kehormatan diri.
Seterusnya, program latihan dan pembinaan pasukan anjuran sesuatu organisasi amat baik dan wajar dilakukan. Program sebegini bertujuan untuk memupuk semangat berpasukan dalam sesebuah organisasi. Kecemerlangan sesebuah organisasi berkaitan rapat dengan para pekerja yang mempunyai matlamat dan visi yang sama. Tindakan yang sederap akan membuahkan kejayaan kepada sesebuah organisasi.
Namun begitu, batas pergaulan antara peserta lelaki dengan peserta wanita perlu dijaga agar tidak berlaku ikhtilat atau pergaulan bebas ketika aktiviti dalam kumpulan. Aktiviti dan modul yang melibatkan bersentuhan antara lelaki dengan perempuan amat dilarang dan tidak dibenarkan dalam Islam walaupun bertujuan baik seperti mengukuhkan kerjasama. Hal ini demikian kerana aktiviti ini bukan dalam kategori darurat sehingga mengharuskan perbuatan yang dilarang seperti dalam kaedah fiqh yang berbunyi, “Darurat mengharuskan perbuatan-perbuatan terlarang.”
Oleh itu, semua pihak perlu menjaga batas pergaulan di mana-mana sahaja mereka berada termasuk di tempat kerja. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bertakwalah kepada Allah di mana-mana sahaja anda berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya, serta bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).