22 September 2023, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku Sekretariat Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) di Malaysia menganjurkan Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam 2023 pada 21 dan 22 September 2023 di Auditorium Ibnu Sina Masjid Putra, Putrajaya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im, persidangan ini melibatkan sembilan orang pembentang dari negara MABIMS, iaitu Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Malaysia.

Katanya, MABIMS merupakan wadah pertemuan bagi empat buah negara serantau dalam usaha menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dan memperkasa umat Islam pada peringkat serantau.

“Penyertaan peserta dalam persidangan ini adalah secara bersasar, iaitu mereka yang terlibat secara langsung berkaitan dengan bidang kekeluargaan Islam di pelbagai agensi kerajaan, institut pengajian tinggi awam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berjaya mengumpulkan hampir 300 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bahawa persidangan yang julung-julung kalinya diadakan ini bertujuan untuk menjadi platform rintis bagi perkongsian pandangan dan amalan terbaik pendekatan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh negara-negara serantau dalam menangani dan mengurus isu-isu kekeluargaan, khususnya dalam kalangan umat Islam ke arah mencapai kesejahteraan ummah.

Katanya, objektif persidangan juga adalah untuk mempromosi dan menyebarluaskan pendekatan Islam dalam menangani isu-isu kekeluargaan serta meningkatkan kesedaran dan keyakinan bahawa pendekatan Islam ialah alternatif terbaik.

Mohd Na’im memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif menggunakan pendekatan Islam telah dilaksanakan oleh JAKIM dalam usaha memastikan kesejahteraan institusi keluarga di Malaysia seperti penubuhan KSKCareCentre (KSKCC) yang menyediakan khidmat sokong bantu melalui pendekatan kerohanian, iaitu kaunseling syarii, terapi psikospiritual Islam dan ‘ilaj syarii.

Beliau berharap penganjuran persidangan ini akan menjadi titik tolak kepada jaringan kerjasama yang lebih utuh antara negara serantau, khususnya dalam aspek kekeluargaan Islam seiring dengan fungsi JAKIM dalam usaha melaksanakan pembangunan ummah melalui kerjasama pada peringkat seranta sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Transformasi Al-Falah di bawah teras kedua, iaitu Kesejahteraan Insan, dan fokus keempat, iaitu Pengukuhan Perpaduan Ummah dan Keharmonian Tamadun.

Beliau turut berharap agar segala perkongsian yang dicurahkan oleh semua delegasi dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk mengatur strategi secara sinergi serta direalisasikan di negara serantau yang seterusnya input terkini yang diperoleh dalam persidangan ini dapat dipraktikkan oleh para peserta dalam mengurus isu-isu kekeluargaan Islam masa ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.