22 September 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Yusuf pun berkata, “Hendaklah kamu bersungguh-sungguh bercucuk tanam tujuh tahun berturut-turut. Kemudian, apa-apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit sahaja untuk kamu makan. Kemudian, selepas tempoh itu akan datang tujuh tahun kemarau yang panjang, yang akan menghabiskan apa-apa yang kamu simpan untuk menghadapi masa tersebut kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

(Surah Yusuf 12:47-48)

Makanan merupakan keperluan asas bagi kelangsungan hidup manusia. Tanpa makanan yang cukup dan seimbang, manusia tidak mampu menjalani kehidupan yang sihat dan bertenaga. Para pemimpin memikul tanggungjawab yang berat bagi memastikan rakyat di negaranya mendapat bekalan makanan yang diperlukan dan dengan harga yang mereka mampu membelinya.

Negara wajib mempunyai dasar yang bijak dan program yang berkesan untuk memastikan rakyat terjamin dengan bekalan makanan yang cukup. Negara juga perlu mempunyai rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menghasilkan bahan makanan, di samping mengutamakan usaha untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan agar tidak terlalu bergantung pada bekalan makanan daripada luar.

Perangkaan menunjukkan bahawa pada tahun 2022, jumlah import makanan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu bernilai 63 bilion ringgit. Keadaan ini sepatutnya dibimbangkan bukan sahaja oleh para pemimpin, tetapi juga oleh setiap rakyat di negara ini. Bekalan makanan yang tidak cukup akan membawa masalah besar kepada negara yang boleh menjejaskan kestabilan, malah berkemungkinan mencetuskan krisis yang boleh mengancam keselamatan negara.

Perubahan iklim yang tidak menentu, pemanasan global, krisis politik antarabangsa, serta ancaman virus baharu merupakan antara punca yang pada ketika ini menjejaskan hasil pertanian, ternakan dan perikanan. Bagi memastikan rakyat di negara mereka tidak menghadapi kekurangan bahan makanan, telah ada negara pengeluar makanan yang mengenakan sekatan tidak membenarkan lagi bahan makanan daripada negara mereka dieksport ke luar negara. Dasar tersebut sekali gus akan menjejaskan bekalan dan perdagangan bahan makanan di serata dunia, dan rakyat di negara kita turut terjejas secara langsung.

Perkembangan ini memerlukan negara kita segera meningkatkan usaha untuk menjamin rakyat tidak akan terputus bekalan makanan dengan merintis pelbagai usaha baharu, merangkumi penggunaan kaedah pertanian moden dan teknologi terkini, memperbanyak dan memperluas usaha pengeluaran makanan, mengutamakan penggunaan tanah untuk menghasilkan makanan, pengurusan yang cekap lagi telus, serta melatih juga menyediakan insentif untuk melahirkan petani, penternak serta nelayan muda dan moden. Negara amat memerlukan pelibatan lebih banyak anak muda dalam kegiatan pertanian, penternakan dan perikanan serta dalam industri berkaitan dengan pengeluaran makanan. Pengurusan bencana juga perlu ditambah baik agar tanaman dan ternakan yang diusahakan lebih terlindung ketika menghadapi perubahan cuaca secara mendadak, banjir, ribut, kemarau, serangga dan penyakit.

Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan makanan, termasuklah penggunaan kaedah pertanian moden dan teknologi terkini.

Selaras dengan maqasid syariah tanggungjawab menjaga nyawa, Islam amat  menekankan soal makanan kerana makanan merupakan keperluan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, setiap usaha yang dirintis untuk menghasilkan makanan dianggap ibadat yang diberikan ganjaran pahala. Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala atas hal itu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 47 dan 48 Surah Yusuf tersebut hendaklah dijadikan iktibar dan teladan tentang kebijaksanaan Nabi Yusuf a.s. mengurus bekalan makanan, disusuli perancangan serta pengurusan yang cekap lagi beramanah, lalu baginda berjaya memastikan bekalan makanan yang cukup diperoleh oleh masyarakat Mesir walaupun dilanda kemarau selama tujuh tahun.

Umat Islam tidak boleh bersifat sekadar memerhati dan berpeluk tubuh ketika menghadapi sebarang kemungkinan buruk. Mereka perlu tampil dengan pemikiran, sumber dan tenaga melakukan apa-apa jua usaha untuk membantu meningkatkan bekalan makanan di negara ini, demi memastikan rakyat tidak akan menghadapi krisis bekalan makanan. Tanah kurniaan Ilahi di persekitaran kita wajib dimanfaatkan dengan usaha bercucuk tanam untuk membantu menghasilkan makanan. Penggunaan teknik pertanian hidroponik hendaklah diterokai dan diperkenalkan di tempat yang tidak mempunyai kawasan tanah untuk bercucuk tanam.

Oleh itu, beberapa kesimpulan yang berikut wajar dijadikan peringatan:

Pertama: Umat Islam wajib menghargai jasa bakti para petani, penternak dan nelayan yang membolehkan mereka memperoleh bahan makanan. Ketika umat Islam menikmati juadah makanan yang terhidang, makanan ini tidak mungkin dinikmati tanpa usaha para petani, penternak dan nelayan yang secara tekun dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas fardu kifayah, berjemur di bawah terik matahari atau menghadapi badai di lautan, untuk membekalkan bahan makanan kepada umat Islam.

Kedua:  Umat Islam tidak melakukan pembaziran makanan. Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira 10 peratus daripada sampah yang dibuang pada setiap hari merupakan lebihan hidangan yang masih boleh dimakan. Pada setiap hari rakyat Malaysia membuang 4046 tan makanan yang masih boleh dimakan. Amalan buruk ini berlaku pada saat rakyat sedang menghadapi kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga makanan, di samping banyak insan di serata dunia berada dalam keadaan kebuluran.

Islam melarang umatnya melakukan amalan pembaziran makanan.

Ketiga: Berjimat cermat dan tidak membazirkan bahan makanan, bermula dengan amalan mengurangkan segenggam beras ketika bertanak, mengurangkan secamca gula ketika menyediakan minuman, mengurangkan sesudu minyak, sebiji cili, seulas bawang, sepaha ayam dan setahil ikan ketika memasak.

Keempat: Berbudi pada tanah merupakan suatu ibadat dan amalan terpuji. Umat Islam tidak harus membiarkan tanah terbiar tanpa digunakan untuk menghasilkan bahan makanan. Masjid, surau, madrasah, maktab, sekolah dan pejabat hendaklah menunjukkan contoh teladan, memajukan tanah di persekitaran masing-masing dengan menanam sayur dan bahan makanan.

Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai para petani, penternak dan nelayan semangat kegigihan, kecekalan dan ketabahan untuk menyempurnakan ibadat fardu kifayah bagi menghasilkan bahan makanan; dirahmati mereka dengan kesihatan dan lindungan keselamatan, limpahi mereka dengan rezeki dan hasil yang luas lagi berkat; suburkan tanaman, biakkan ternakan dan mewahkan hasil perikanan mereka.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.