20 September 2023, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kematian merupakan perpisahan kekal abadi yang pastinya akan mengundang perasaan sedih, hiba, sebak dan segala macam perasaan. Tiada lagi kata-kata yang dapat diungkapkan khasnya kepada insan tersayang yang telah pergi dijemput Ilahi buat selama-lamanya. Tiada lagi peluk, cium, gurauan, kata-kata kasih sayang dan semangat yang didambakan. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, dan kita semua pasti akan menempuh saat kematian itu.

Pengurusan kematian atau mengurus jenazah merupakan fardu kifayah bagi umat Islam. Mengurus jenazah hendaklah dilakukan dengan cara tertentu mengikut ketetapan syarak sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Sayidatina Aisyah r.a. yang bermaksud, “… Sekiranya kamu mati sebelumku, maka aku yang akan memandikanmu, mengapankanmu, menyembahyangkanmu dan mengebumikanmu. (Hadis riwayat Ibn Majah).

Jenazah sunat dikapankan dengan kain yang berwarna putih sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Pakailah pakaian berwarna putih, kerana pakaian yang putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu dan kapankanlah orang mati dalam kalangan kamu dengan kain putih.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Sesiapa yang belum pernah menghadapi saat kematian anggota keluarga, pasti akan menghadapi saat itu dengan perasaan panik, cemas dan kelam kabut. Namun demikian, terdapat panduan untuk kita menghadapi saat-saat pengakhiran hayat umur anggota keluarga atau sahabat yang disebut sebagai sakaratulmaut. Antara panduan menghadapi seseorang yang sedang nazak termasuklah:

1. Mengajarnya dengan kalimah lailahaillallah dengan cara yang lembut.
2. Mengingatkan orang yang nazak agar bersangka baik dengan Allah SWT.
3. Membacakan Surah Yasin di sisinya.

Setelah nyawa berpisah daripada badan, kita harus melakukan beberapa tindakan awal terhadap jenazah tersebut, iaitu:
1. Menutup kedua-dua mata jenazah sekiranya mata jenazah terbuka.
2. Mengikat dagu jenazah dengan kain agar mulut jenazah tidak terbuka.
3. Meletakkan jenazah di atas katil atau tempat yang tinggi.
4. Menghadapkan jenazah ke arah kiblat.
5. Mengurut-urut untuk melembutkan sendi jenazah.
6. Meletakkan tangan jenazah di dadanya (seperti dalam keadaan kiam ketika solat.
7. Menutup seluruh jenazah dengan kain yang bersih.

Masyarakat Malaysia yang terkenal sebagai masyarakat prihatin, pasti menziarahi keluarga yang diuji dengan kematian sama ada berlaku dalam keluarga sendiri ataupun komuniti masing-masing. Antara adab menziarahi jenazah yang perlu disantuni termasuklah:
1. Mendoakan keampunan dan rahmat Allah SWT untuk jenazah.
2. Mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dalam tempoh tiga hari.
3. Membantu keluarga si mati seperti menyediakan makanan untuk mereka.
4. Tidak meratapi pemergian si mati dengan meraung, merintih dan menyalahkan takdir.

Apabila berlaku sesuatu kematian, terdapat empat perkara yang wajib dilakukan terhadap jenazah, iaitu memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah.

Ganjaran yang besar diberikan kepada sesiapa yang mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan.

Jenazah hendaklah dimandikan dengan cara meratakan air ke seluruh tubuh untuk membersihkan dan memuliakannya. Cara memandikan jenazah adalah seperti yang berikut:

  • Meletakkan jenazah di tempat yang agak tinggi untuk memudahkan air mengalir.
  • Memastikan aurat jenazah ditutup.
  • Menekan perut jenazah untuk mengeluarkan najis dan kotoran.
  • Membersihkan seluruh tubuh jenazah daripada najis dan sebarang benda yang boleh menghalang air.
  • Membersihkan gigi jenazah, lubang hidung, telinga dan celah-celah kuku jenazah.
  • Jenazah diwudukkan dengan sempurna.
  • Berniat ketika memandikan jenazah.
  • Menyiram seluruh tubuh jenazah dengan air yang telah dicampurkan dengan kapur barus dan sabun.
  • Membilas seluruh badan jenazah dengan air.

Setelah dimandikan, jenazah hendaklah ditutup dengan sekurang-kurangnya sehelai kain untuk menutup aurat. Jenazah lelaki afdal dikapankan dengan tiga lapisan kain putih, iaitu setiap lapisan kain dapat menutup seluruh tubuh jenazah. Jenazah perempuan pula afdal dikapankan dengan lima lapisan kain putih, satu lapisan baju untuk menutup bahagian tubuh jenazah, satu lapisan untuk menutup bahagian antara pusat hingga  lutut, satu lapisan tudung untuk menutup bahagian kepala jenazah dan dua lapisan kain untuk menutup seluruh tubuh jenazah.

Kemudian, hendaklah disembahyangkan ke atas jenazah dengan kaifiat tertentu untuk mendoakan jenazah agar mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tsauban r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaran sebesar Bukit Uhud.” (Hadis riwayat Muslim).

Allah SWT akan memberikan ganjaran yang besar bagi mereka yang dapat menunaikan solat ke atas jenazah, iaitu pahala satu qirath yang menyamai satu Bukit Uhud. Sekiranya setiap Muslim menunaikan solat dan menyaksikan pengebumian, mereka akan memperoleh pahala dua qirath, iaitu menyamai dua Bukit Uhud. Sekiranya kita tidak mampu untuk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, moleklah kalau kita dapat melakukan solat jenazah sahaja. Cara menunaikan solat jenazah adalah seperti yang berikut:
1. Lafaz niat: “Sahaja aku menunaikan solat atas mayat ini empat takbir fardu kifayah menjadi imam/makmum kerana Allah Taala.”
2. Bertakbir kali pertama dan membaca Surah al-Fatihah.
3. Bertakbir kali kedua dan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
4. Bertakbir kali ketiga dan berdoa untuk jenazah, “Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia.”
5. Bertakbir kali keempat dan memberi salam.

Jenazah hendaklah dikebumikan dengan sempurna supaya tidak berbau dan tidak digali oleh binatang buas.

Mengebumikan jenazah hendaklah mengikut kaifiat tertentu dengan tujuan untuk menghalang daripada timbulnya bau yang tidak menyenangkan dan supaya jenazah tidak dapat digali oleh binatang buas.

Setiap individu Muslim pasti berazam untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut buat kali terakhir terutama untuk ibu bapa dan anggota keluarga. Walaupun hukum mengurus jenazah itu fardu kifayah, namun ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT sangatlah besar dan berlipat-ganda. Rugilah jika kita tidak dapat memanfaatkan ganjaran tersebut dengan sebaik-baiknya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.