15 September 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dengan izin Allah SWT, pada 16 September 1963, negara Malaysia dimasyhurkan penubuhannya dengan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Penubuhan  negara  Malaysia  memulakan  sejarah  baharu  bagi  rakyat di rantau  ini.  Rakyat  dari  wilayah  yang  terdiri  daripada  pelbagai  kaum,  menganut pelbagai  agama,  mengamalkan  pelbagai  budaya  dan  menguasai  pelbagai  bahasa, berjaya disatukan menjadi warganegara bagi sebuah negara baharu, serta berpeluang menjalani kehidupan secara bebas berlandaskan perlembagaan negara dan undang-undang dalam suasana yang aman dan damai.

Sumber ekonomi negara dibangunkan bertujuan untuk memakmurkan negara dan demi kesejahteraan rakyat. Malaysia pernah menjadi  sebutan  sebagai  sebuah  negara  contoh yang  dihormati  atas  kejayaannya memupuk perpaduan rakyat yang pelbagai dan kejayaan memakmurkan ekonomi negara, terutama kejayaan membangunkan warga yang berilmu dan berpengetahuan, dan membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Banyak negara yang telah merdeka, namun pemikiran rakyatnya masih dijajah. Begitu juga banyak negara yang diisytiharkan telah merdeka, tetapi rakyatnya masih bergantung hidup pada bantuan luar dari segi tenaga mahir dan tenaga pakar, bahan makanan,  bahan  keperluan  harian, maklumat, teknologi, pengetahuan dan pelbagai keperluan lain. Oleh itu, umat Islam memiliki tanggungjawab untuk memastikan kemerdekaan negara tidak hanya dicapai secara pengisytiharan, sedangkan rakyatnya masih mengemis  dan bergantung pada kuasa dan pengaruh luar. Rakyatnya masih belum memiliki jiwa, minda dan budaya yang merdeka; belum berupaya berdikari, dan negaranya masih mundur dan tertinggal di belakang. Kemajuan negara boleh dicapai jika rakyatnya terdiri daripada rakyat yang berilmu dan berpengetahuan, menguasai pelbagai kemahiran dan kepakaran, serta memiliki akhlak dan nilai murni, beramanah juga berintegriti.

Islam diasaskan kepada penguasaan ilmu dan berpandukan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu perintah membaca. Dr. Yusuf al-Qaradawi (Allahyarham) mengingatkan bahawa umat Islam ialah umat ilmu, iaitu umat yang membaca. Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menuntut umatnya supaya bersungguh-sungguh mempelajari dan mengkaji apa-apa jua ilmu yang berfaedah dan mendatangkan kebaikan. Pendeta Za’ba (Allahyarham) menyuarakan bahawa pentingnya setiap bangsa ditekankan dengan empat perkara, iaitu agama, sikap, pendidikan dan bahasa kerana kemiskinan dan kemunduran sesuatu bangsa amat berkaitan rapat dengan sikap dan pendidikan. Begitu juga tokoh pendidik, Aminuddin Baki (Allahyarham) yang mengingatkan bahawa maju, mundur dan hina mulianya sesuatu bangsa bergantung pada tahap pendidikan dan penguasaan ilmu.

Umat Islam digalakkan memanfaatkan masa terluang dengan menambahkan ilmu dan pengetahuan.

Tugas utama umat Islam yang dilantik menjadi khalifah adalah untuk memakmurkan muka bumi. Syarat terpenting dalam usaha memakmurkan muka bumi adalah dengan menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Ketika Nabi Adam a.s. dijadikan khalifah di muka bumi, Allah SWT mengajarkannya ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT ayat 31 Surah al-Baqarah:

Maksudnya: “Dan Dia telah mengajarkan Adam segala nama benda dan kegunaannya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat, lalu Allah berfirman ‘Terangkanlah kepada-Ku nama benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.’”

(Surah al-Baqarah 2:31)

Ayat ini menjadi bukti bahawa ilmu merupakan asas kelayakan Nabi Adam a.s. dan keturunan Baginda untuk menerima amanah sebagai khalifah. Sejarah membuktikan bahawa kesemua tamadun dunia dibangunkan atas asas ilmu. Dan Islam menegaskan bahawa kemajuan ilmu dan sandarannya mestilah sentiasa dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Pencipta. lmu yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh setiap Muslim meliputi ilmu untuk memenuhi tuntutan melaksanakan fardu ain berkaitan dengan syariat, tauhid, akidah dan iman; serta fardu kifayah yang merangkumi bidang sejarah, sains, teknologi, seni bina, kejuruteraan, perubatan, pertanian, perniagaan, kewangan, ketenteraan dan pertahanan untuk mengurus kehidupan alam dan manusia. Pembinaan negara maju yang bertamadun tinggi bergantung pada rakyat yang berilmu dan berkemahiran. Al-Quran menuntut umat Islam meneroka ilmu yang berupaya menghasilkan penemuan baharu seperti firman Allah SWT;

Maksudnya:  “…Oleh  itu bertanyalah kamu kepada ahl  al-zikr  (orang-orang yang berpengetahuan), jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl 16:43)

Ahl al-zikr bermaksud pakar dalam pelbagai bidang ilmu, manakala dalam perbincangan ilmu usul fiqh (asas-asas hukum), maksud yang terkandung di sebalik ayat 43 Surah al-Nahl itu ialah umat Islam perlu melahirkan banyak pakar dalam pelbagai bidang untuk dijadikan rujukan bagi menangani pelbagai perkara yang dihadapi oleh masyarakat.

Negara maju yang kita inginkan adalah seperti yang disifatkan oleh Allah SWT, iaitu baldatun tayyibatun  wa  rabbun  ghafur;  bermaksud  “negeri  yang  baik dan mendapat keampunan Tuhan”.  Al-Quran  banyak menceritakan tentang  tamadun  hebat  kaum  terdahulu, namun runtuh dan hancur apabila manusia menyanggah perintah Allah SWT seperti nasib yang menimpa kaum ‘Ad, Thamud dan kerajaan Firaun. Surah Saba’, ayat 15 hingga 17 merujuk sebuah negeri, iaitu kerajaan Saba’ di Yaman yang dikurniakan pelbagai nikmat seperti tanah yang subur, udara yang nyaman dan pemandangan yang indah lagi damai, membolehkan penduduknya hidup sejahtera. Mereka diperintahkan agar bersyukur dengan pelbagai nikmat yang diterima serta beriman dengan utusan  Allah, namun mereka berpaling daripada kebenaran dan petunjuk, lalu Allah SWT membinasakan mereka sebagai balasan atas keingkaran yang dilakukan.

Kemerdekaan negara menjadi tidak bermakna jika sekadar berbentuk laungan tanpa pengisian daripada orang yang berilmu.

Sempena sambutan Hari Malaysia, umat Islam diberikan beberapa peringatan yang berikut:

Pertama: Kemerdekaan negara tidak bermakna jika sekadar berbentuk laungan tanpa pengisian. Kemerdekaan negara wajib dilengkapi dengan pengisian yang bermakna. Pengisian yang bermakna memerlukan orang yang arif lagi bijaksana. Orang yang arif lagi bijaksana dapat dilahirkan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran. Menjadi orang berilmu merupakan sebahagian daripada tuntutan syarak.

Kedua: Penguasaan ilmu perlu ditunjangi dengan akidah yang sahih, disertai dengan penghayatan nilai murni dan adab yang mulia. Manfaatkan waktu terluang dengan menambahkan ilmu dan pengetahuan melalui usaha mahu memahami dan menghayati kandungan  al-Quran, membaca serta melakukan rujukan dan penyelidikan, juga mengikuti majlis-majlis ilmu.

Ketiga: Lautan ilmu tersangat luas dan dalam. Tidak ada noktah terhadap usaha mencari dan menguasai ilmu. Amalkan budaya belajar sepanjang hayat supaya menjadi insan berilmu yang dapat memberikan sumbangan berharga kepada masyarakat dan negara.

Keempat: Negara akan  bertambah maju, berjaya  dan makmur jika  rakyatnya  terdiri daripada orang yang berilmu dan berkemahiran. Negara dan masyarakat sewajibnya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik untuk menghidupkan minat mendalam rakyat terhadap ilmu dan kemahiran.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Jadikanlah kami masyarakat berilmu, mencintai ilmu dan membudayakan ilmu dalam kehidupan. Kurniai kami sifat cinta negara, bersikap jujur dan ikhlas berbakti kepada negara kerana Allah SWT. Kekalkan nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara kami.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan  fakir  dan  miskin  daripada  kekufuran dan  kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, “Masyarakat Berilmu Negara Maju”, 15 September 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.