8 September 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Organ ialah alat dalaman dan luaran yang membentuk tubuh manusia. Organ berperanan penting untuk memastikan tubuh kekal sihat. Namun begitu, atas beberapa sebab, organ berkemungkinan menghadapi penyakit atau kerosakan dan tidak dapat bekerja dengan baik, lalu menjejaskan kesihatan tubuh badan. Atas kesedaran tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia menganjurkan Kempen Kesedaran Pendermaan Organ, dengan harapan bahawa umat Islam akan memiliki fikiran yanglebih terbuka dan bersedia untuk mendermakan organ.

Organ yang didermakan memberikan harapan baharu kepada pesakit yang mengalami masalah organ yang berpenyakit atau rosak. Pesakit boleh diselamatkan melalui kaedah rawatan pemindahan organ; iaitu menggantikan organ yang berpenyakit atau rosak dengan organ yang sihat. Namun begitu, rawatan ini mustahil dilakukan jika tidak ada pendermaan organ untuk menggantikan organ yang telah rosak.

Berdasarkan rekod, Hospital Kuala Lumpur, bermula tahun 1976 hingga Jun 2023, terdapat hanya 836 penderma organ yang dapat dimanfaatkan selepas kematian mereka. Daripada angka tersebut, hanya 111 orang penderma organ, bersamaan 13 peratus sahaja yang beragama Islam. Angka ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pesakit yang memerlukan organ gantian. Berdasarkan data terkini, terdapat 10 893 orang pesakit di Malaysia yang pada ketika ini berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan organ baharu; 99 peratus daripadanya sedang menunggu untuk mendapatkan derma buah pinggang.

Syariat Islam amat mengutamakan penjagaan nyawa, bertepatan dengan maqasid syariah, iaitu hifz al-nafsi. Menderma organ merupakan suatu ibadat dan amalan yang sangat terpuji. Menderma organ juga merupakan suatu ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa manusia dan memberikan kehidupan baharu kepada mereka. Banyak pesakit yang dapat diselamatkan melalui organ yang dipindahkan ke tubuh mereka, antaranya termasuklah pesakit yang mengalami kegagalan peranan buah pinggang, hati dan jantung. Organ yang sihat amat diperlukan daripada penderma, setelah mendapat persetujuan waris si mati. Sifat ihsan dan bermurah hati serta niat membantu menyelamatkan nyawa manusia lain merupakan asbab kepada kejayaan kaedah rawatan pemindahan organ.

Rawatan pemindahan organ dapat membantu pesakit yang mengalami kerosakan organ untuk menjalani kehidupan seperri biasa.

Persidangan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970 membenarkan atau mengharuskan pemindahan organ dilakukan. Hukum yang sama juga diputuskan oleh badan-badan fatwa antarabangsa seperti Majma‘ Fiqh Islami dan Lajnah Da’imah Arab Saudi. Keharusan hukum tersebut disyaratkan mendapat persetujuan ahli keluarga si mati dan pemindahan organ tersebut menjadi ikhtiar yang dituntut demi membantu menyelamatkan nyawa penerimanya.

Melalui organ yang didermakan, pesakit berpeluang sembuh serta dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Melalui organ yang didermakan, kita mungkin dapat membantu menyelamatkan seorang bapa yang menjadi tempat pergantungan ahli keluarganya, seorang ibu yang amat diperlukan oleh anak-anak yang masih kecil, seorang guru yang berkemahiran tinggi, begitu juga insan soleh yang menabur bakti kepada ummah.

Oleh sebab nyawa begitu bermakna, al-Quran menggambarkan betapa bernilainya nyawa manusia dan mereka yang memeliharanya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang membolehkan untuk membunuh orang itu, atau bukan kerana (dia) membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia. Dan sesiapa yang menghidupkan (memelihara kehidupan) seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.

(Surah al-Maidah 5:32)

Kelebihan bagi mereka yang menderma organ dijamin oleh Baginda SAW sebagai orang yang berhati mulia dan bermanfaat kepada manusia dengan menghulurkan bantuan kepada saudaranya. Sabda Rasulullah SAW;َ

Maksudnya: “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang Muslim, maka Allah melepaskan pula kesusahannya kelak pada hari kiamat.”

Belanja rawatan yang tinggi perlu ditanggung oleh pesakit yang menghadapi masalah organ yang rosak atau berpenyakit. Pesakit buah pinggang umpamanya, perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Bayaran yang dikenakan bagi satu rawatan dialisis ialah RM300, melibatkan belanja RM900 seminggu dan RM3600 sebulan. Tanggungan kewangan yang membebankan ini akan dapat dikurangkan jika lebih banyak umat Islam bersedia mendermakan organ setelah mereka mati, lalu membolehkan hospital melakukan urusan pemindahan organ kepada pesakit yang memerlukan.

Kejayaan kempen menderma organ akan dapat membantu para pesakit. Para pesakit tidak lagi perlu mengeluarkan belanja rawatan yang tinggi; di samping membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Insya-Allah setelah menjalani pemindahan organ, para pesakit berupaya kembali bertenaga mengerjakan ibadat dan melakukan pelbagai pekerjaan harian seperti orang yang sihat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru umat Islam agar tampil ke hadapan menjadi penderma organ untuk membantu pesakit yang sedang mengalami kerosakan atau kegagalan organ pada tahap akhir.

Kempen menderma organ juga penting untuk mempertingkatkan kesedaran umat Islam terhadap kegiatan terlarang seperti memperdagangkan organ secara haram, yang merupakan satu kesalahan dan jenayah di sisi undang-undang. Pelbagai maklumat yang sahih berkaitan dengan pendermaan organ boleh diperoleh melalui laman sesawang www.dermaorgan.gov.my. Menjadi tanggungjawab fardu kifayah bagi umat Islam untuk mendaftar diri sebagai pengikrar derma organ melalui aplikasi MySejahtera.

Menjadi fardu kifayah bagi umat Islam untuk tampil menderma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Oleh itu, kesimpulan yang dibuat adalah seperti yang berikut:

Pertama: Menderma organ merupakan amalan terpuji, menjadi ibadat, selaras dengan maqasid syariah, iaitu ikhtiar dan usaha yang dengan izin Ilahi boleh menyelamatkan nyawa pesakit.

Kedua: Sifat tolong-menolong, membantu meringankan bebanan sesama manusia merupakan inti pati ajaran Islam yang amat besar dan perlu dihidupkan serta diamalkan oleh umat Islam.

Ketiga: Amalkan sifat sentiasa mengambil berat masalah masyarakat berteraskan iman dan takwa, dengan mengamalkan sifat pemurah, bersedia menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan derma, hatta organ badan setelah kita mati, kepada orang-orang yang memerlukan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai kami kesihatan tubuh badan yang baik. Bimbing kami untuk menjalani gaya hidup yang sihat. Curahkan sifat ihsan dalam jiwa kami agar kami saling bantu membantu terutama meringankan beban pesakit yang memerlukan organ dan bantuan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 8 September 2023, “Pendermaan Organ:Erti Sebuah Kehidupan”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.