1 September 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan baik. Dan dibesarkannya dengan didikan yang baik serta diserahkannya kepada Zakariya untuk dipelihara.”

(Surah Ali ‘Imran 3:37)

Kanak-kanak merupakan anugerah Ilahi, insan yang seharusnya dilihat dengan pandangan kasih sayang. Kanak-kanak ialah permata negara dan khazanah yang bernilai. Mereka insan yang diharapkan untuk menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Mereka selayaknya diasuh menjadi insan berguna, dididik dengan agama, ilmu dan kemahiran, dipupuk semangat juang dan disemai nilai murni untuk menghadapi kehidupan masa hadapan yang lebih mencabar.

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Akta Kanak-kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak ialah seseorang yang berumur bawah 18 tahun. Akta tersebut meliputi dasar yang menjamin hak kanak-kanak di Malaysia merangkumi pelindungan, keselamatan serta penjagaan yang baik. Rekod Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penduduk bawah umur 18 tahun berjumlah lebih sembilan juta orang, merangkumi 28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia; satu angka besar yang semestinya diberikan perhatian, terutama usaha untuk mengembangkan kebolehan dan keupayaan mereka.

Ayat 37 Surah Ali ‘Imran tersebut menceritakan perihal Maryam yang dibesarkan dengan didikan dan asuhan ibu bapanya, kemudiannya dipelihara oleh Nabi Zakariya a.s. Perkataan نَباَتًا حَسَنًا bermaksud didikan yang baik, jelas menunjukkan Maryam mendapat kasih sayang, didikan agama dan perhatian secukupnya melalui kedua-dua orang tua dan penjaganya. Natijahnya, Maryam menjadi seorang wanita yang taat kepada Tuhannya serta bijak lagi berakhlak mulia.

Islam menuntut umatnya agar menunaikan hak kanak-kanak. Hak yang perlu disempurnakan dan diberikan kepada mereka merangkumi keperluan asasi seperti pakaian, makan minum, tempat tinggal, pelindungan dan keselamatan, menjaga aib dan rahsia mereka, serta memberikan perhatian dan belaian kasih sayang kepada mereka.

Islam amat menitikberatkan kepentingan hak kanak-kanak dan melarang dilakukan apa-apa jua bentuk keganasan dan kezaliman terhadap mereka. Melalui sebuah hadis, Rasulullah SAW mengajar umatnya mencurahkan kasih sayang terhadap kanak-kanak sebagaimana sabdanya:

Maksudnya: “Bukan daripada (kalangan) kami orang yang tidak menunjukkan belas kasihan terhadap (anak-anak) kecil kami dan tidak tahu (menunaikan) hak orang-orang tua kami.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Ketika peperangan, Islam menegah sebarang bentuk pelakuan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak, mencederakan, apatah lagi membunuh mereka. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, sahabat Rasulullah SAW bernama al-Aqra’ bin Habis kehairanan melihat Baginda mencium cucunya, Hasan bin Ali, lalu Baginda bersabda yang bermaksud, “Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” Berpandukan kisah tersebut ternyata kanak-kanak merupakan insan yang selayaknya dibela, dilindungi dan dicurahkan kasih sayang.

Kebelakangan ini, kes penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan. Perangkaan menunjukkan bahawa berlaku peningkatan kes pada setiap tahun. Lebih mendukacitakan apabila sebahagian pelakunya merupakan ahli keluarga atau orang yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa. Rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun 2022 mencatatkan 6770 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak berbentuk penderaan fizikal serta emosi, dan penderaan seksual merupakan kes penderaan tertinggi. Di negeri Perak, 4871 kes penderaan kanak-kanak dicatatkan berlaku antara tahun 2009 hingga Mei 2023, dengan purata berlaku 350 kes pada setiap tahun.

Ketika kanak-kanak lain berpeluang menikmati kehidupan yang baik, terdapat sebahagian kanak-kanak yang kurang bernasib baik, menjadi mangsa penderaan fizikal, mereka diperlakukan bukan seperti manusia, dipukul dengan objek tumpul, disimbah dengan air panas, dikurung, diikat, didera, tidak diberikan makanan yang secukupnya dan pelbagai perbuatan penderaan lagi. Hak kanak-kanak untuk mendapat pelindungan daripada orang dewasa dicabul dengan perlakuan tidak berperikemanusiaan sehingga ada yang terpaksa menanggung kecacatan fizikal sepanjang hayat, mengalami gangguan emosi, hilang semangat hidup dan pelbagai kesan buruk, malah ada yang sehingga menyebabkan kematian.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa akan mengalami gangguan emosi dan kemurungan.

Antara punca yang mendorong perbuatan mendera kanak-kanak termasuklah kesempitan hidup, sikap panas baran, pergolakan rumah tangga, ketagihan judi, arak dan dadah, serta nafsu buas bersifat haiwan. Perbuatan meninggalkan anak kecil bersendirian di dalam kereta, atau di rumah atau di bilik hotel, tatkala orang dewasa sedang melakukan urusan tertentu merupakan satu kecuaian dan tidak wajar dilakukan.

Umat Islam memiliki tanggungjawab memastikan kanak-kanak berpeluang menjalani kehidupan yang selamat, dan hendaklah senantiasa prihatin dan peka terhadap perkara dan tanggungjawab yang melibatkan kelangsungan hidup kanak-kanak. Dengan kewujudan Internet dan media sosial, kanak-kanak kini lebih terdedah dengan pelbagai maklumat dan memperoleh maklumat tanpa tapisan. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau, memberikan bimbingan dan menyusun langkah penjagaan untuk melindungi anak-anak daripada dipengaruhi oleh bahan maklumat yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka.

Kanak-kanak berada dalam fasa sedang melalui proses pembelajaran. Lazimnya kanak-kanak mudah menerima apa-apa jua didikan yang diberikan. Kanak-kanak ketika ini mestilah dibimbing untuk mengenali diri dan membina keyakinan. Suasana persekitaran sosial yang baik sama ada di rumah, sekolah mahupun di pusat asuhan mesti diwujudkan. Kanak-kanak yang mengalami pengalaman hidup yang dipenuhi dengan kesedihan dan tekanan akan merencatkan daya perkembangan emosi dan pemikiran mereka. Hal ini mengakibatkan negara berkemungkinan ketandusan generasi muda yang berkualiti pada masa hadapan.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa:

Pertama: Kanak-kanak merupakan amanah Allah SWT. Menjaga, mendidik, mengasuh kanak-kanak merupakan proses dan tanggungjawab yang memerlukan kesabaran, kesungguhan, pengetahuan dan kebijaksanaan.

Kedua: Anggota masyarakat serta jiran berdekatan harus peka dengan keadaan sekeliling; tampil membuat aduan jika dikenal pasti berlakunya kegiatan penderaan kanak-kanak.

Ketiga: Ibu bapa harus peka dan sensitif jika berlaku sebarang perubahan pada tingkah laku kanak-kanak; daripada sifat berani menjadi penakut, daripada seorang yang ceria menjadi murung, atau menunjukkan perlakuan yang mencurigakan; dampingi mereka dan diselidiki sebab berlakunya perubahan sikap, untuk mengenal pasti puncanya agar masalah dapat dikesan dan diubati pada peringkat awal.

Keempat: Jika dikenal pasti berlaku penderaan terhadap kanak-kanak, segeralah hubungi Talian Kasih melalui 15999 untuk melaporkan aduan.

Anak merupakan anugerah Allah yang perlu dijaga, dibelai dan dididik dengan penuh kasih sayang.

Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang dengan akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbing kami dalam urusan mendidik dan mengasuh anak-anak; jadikan mereka penyejuk mata bagi kami dan asbab kami dipermudahkan jalan ke syurga. Lindungi anak-anak kami daripada terpengaruh dengan godaan iblis dan syaitan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah, serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 1 September 2023, “Kewajipan Menunaikan Hak Kanak-kanak”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.