29 Ogos 2023, 23:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Segala keputusan tentang isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-70 semalam akan diangkat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan datang.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa mesyuarat MKI pada kali ini telah membincangkan satu kertas dasar berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

“Satu dasar berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini akan dimuktamadkan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja, dan pandangan Beta ini juga telah dipersetujui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda.

Menurut baginda, memandangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam merupakan isu yang sensitif dalam kalangan penganut agama Islam di Malaysia, serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di negeri Sabah dan Sarawak, maka hal tersebut perlu dikaji dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

Sementara itu, baginda melihat beberapa kes terkini yang sedang berlangsung menggambarkan kedudukan enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan jenayah syariah semakin tercabar yang sekali gus menjejaskan bidang kuasa mahkamah syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya.

Baginda berpandangan satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan daripada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Beta berharap YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dapat mengambil langkah segera bagi pembentukan jawatankuasa khas tersebut dan mengemukakan syor kepada MKI, dan seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian permasalahan ini,” titah baginda.

Sementara itu, baginda juga menggesa agar urusan pensijilan halal pada peringkat domestik dan antarabangsa terus dikekalkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-222 pada 12 Oktober 2010.

Baginda turut berharap agar kerajaan Malaysia mengambil langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan halal (Malaysia Halal Excellence Centre) terunggul pada peringkat dunia bagi melonjakkan legasi Malaysia sebagai peneraju halal global demi menjana kemajuan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Pada masa yang sama, baginda turut menyeru mana-mana institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan sebagaimana yang diterima oleh institusi pendidikan Islam yang berdaftar.

“Beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar, dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu,” titah baginda.

Baginda juga mengingatkan bahawa MKI ialah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya dan keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan yang amat penting dalam menyelaras hal ehwal Islam.

Justeru, baginda amat berharap agar negeri-negeri yang masih belum menganggotai MKI dapat menyahut pelawaan dan menganggotai platform musyawarah MKI ini secara rasmi.

Sumber foto: Facebook Selangor Royal Office

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.