25 Ogos 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (Allah berfirman lagi), ‘Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, pastilah Kami akan membuka (pintu pengurniaan) untuk mereka yang melimpah ruah keberkatannya dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan perbuatan mereka.”

(Surah al-A‘raf  7:96)

Ketika fajar menyingsing pada pagi 31 Ogos 1957, Tanah Melayu disirami cahaya oleh Allah SWT, apabila bendera Union Jack diturunkan dan Jalur Gemilang dikibarkan. Seorang hamba-Nya, Tunku Abdul Rahman Putra diangkat menjadi khalifah negara. Dengan segak bertanjak dan tampan berkeris, beliau gagah berdiri berpaksikan iman, dengan berkat kalimah Bismillah, tujuh kali melaungkan teriakan “Merdeka!”. Bergemalah sahutan “merdeka” di Stadium Merdeka hingga ke seluruh negara.

“Merdeka” bukan sekadar sepatah perkataan yang mengandungi tujuh huruf dan tiga suku kata. Merdeka merupakan hasil daripada azam yang berumbi untuk membela tanah pusaka. Kemerdekaan ialah kisah yang amat panjang, bermula daripada ikrar setia di Bukit Siguntang antara raja dengan rakyat, begitu juga antara rakyat dengan raja; kemerdekaan ialah milik termahal negara bangsa.

Kemerdekaan milik negara bangsa yang amat berharga lagi bernilai. Kemerdekaan menjadi peristiwa keramat bagi sebuah negara bangsa. Kemerdekaan merupakan puncak pencapaian bagi satu perjuangan untuk memulakan perjuangan yang baharu. Kemerdekaan itu terbina atas tiang sejarah dan turut mencipta sejarah baharu. Kemerdekaan itu perlu diisi agar dapat memberikan erti, dan mengisi kemerdekaan memerlukan ramuan baharu untuk memenuhi keperluan hidangan baharu. Mengolah ramuan baharu dan menyediakan hidangan baharu untuk memberikan erti kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan, merupakan urusan yang sangat rumit dan tugas yang amat mencabar.

Kemerdekaan juga mencetuskan perasaan yang berbeza dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Kemerdekaan juga ditafsirkan secara berbeza oleh kumpulan politik yang pelbagai, begitu juga dalam kalangan rakyat yang berada dalam usia dan zon waktu yang berlainan; kemerdekaan memberikan harapan berbeza kepada rakyat yang memiliki latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berlainan. Oleh itu, satu “penyebut sepunya” (common denominator) bukan sahaja perlu dikenal pasti, malah hendaklah dijadikan tali pengikat yang kukuh untuk menyatukan rakyat demi membina negara bangsa yang berdaulat.

Erti kemerdekaan yang sebenar bukan semata-mata kebebasan untuk menentukan pentadbiran dan pemerintahan negara serta menikmati hasil mahsulnya, tetapi juga bebas daripada sebarang bentuk cengkaman minda dan jiwa daripada sebarang sistem yang bercanggah dengan matlamat syariat yang dinyatakan dalam maqasid syariah yang lima, iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta. Kemerdekaan hakiki yang ditegaskan dalam Islam bukan sekadar pembebasan tanah air daripada kuasa penjajah, tetapi lebih penting daripada itu ialah pembebasan fikiran, budaya, jiwa dan rohani. Malah, Islam menegaskan bahawa kemerdekaan jiwa daripada dikuasai hawa nafsu dan syahwat dengan menundukkannya kepada kawalan akal dan iman.

Kemerdekaan yang sebenar bukan semata-mata bebas untuk menentukan pentadbiran dan pemerintahan negara serta menikmati hasil mahsulnya, tetapi juga bebas daripada sebarang bentuk cengkaman minda dan jiwa.

Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-66, umat Islam diingatkan tentang lima perkara yang berikut;

Pertama: Memahami dan menghayati prinsip pertama Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Agama diletakkan sebagai prinsip utama rakyat Malaysia kerana agama mengajar penganutnya berkeperibadian baik. Pegangan kukuh terhadap agama akan membina insan beriman dan bertakwa yang insaf akan kehidupan di alam barzakh dan hari kebangkitan, lantas akan bersifat amanah, ikhlas dan jujur, melaksanakan keadilan dan mematuhi hukum yang akan membawa kemakmuran kepada negara dan kesejahteraan kepada rakyat.

Kedua: Allah SWT mengurniakan negara kita dengan rakyat yang berbilang kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Kita hendaklah mentafsirkan kepelbagaian tersebut sebagai satu kelebihan yang tidak dinikmati oleh banyak negara di dunia. Berusahalah untuk saling berkenalan, saling beramah mesra antara satu sama lain, selaras dengan seruan Ilahi yang terkandung dalam ayat 13 Surah al-Hujurat.

Ketiga: Berusahalah mencari titik pertemuan dalam kalangan rakyat yang pelbagai untuk membina kesatuan. Hindari perbuatan dan hasutan yang memilih untuk membesarkan perbezaan, kerana dengan berbuat demikian negara boleh menghadapi kekacauan, kemakmuran negara akan terjejas, keamanan negara akan tergugat, dan kemerdekaan negara tidak akan memberikan makna.

Keempat: Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian (UNHCR) mencatatkan bahawa pada akhir tahun 2022, lebih 108 juta orang manusia berpindah secara terpaksa. Daripada jumlah tersebut, seramai 32.5 juta bertaraf pelarian, disebabkan negara mereka menghadapi krisis, konflik dan peperangan. Malapetaka yang berlaku di negara yang menghadapi krisis, konflik dan peperangan hendaklah dijadikan iktibar untuk dielakkan daripada berlaku di negara ini.

Kelima:  Memastikan kemerdekaan negara terus dipertahankan dan didaulatkan dengan memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara berpandukan firman Allah SWT dalam ayat 59 Surah al-Nisa yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulullah serta ulul amri (pemerintah yang dilantik) dalam kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan rasul-Nya (sunahnya) – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih baik (bagimu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Kemerdekaan negara merupakan hasil daripada azam dan semangat untuk membela tanah pusaka.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Limpahi rahmat kemakmuran kepada negara kami sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, aman lagi sejahtera. Berkati negara kami dengan rezeki dan kemakmuran. Lindungi negara kami daripada anasir yang memecahbelahkan kesatuan. Kurniai kami semangat cinta kepada negara agar warganya hidup dalam suasana persaudaraan, saling menghormati dan kekal harmoni.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ya Ghaffar, ya Sami‘! Limpahi ihsan kasih-Mu pada roh para pemimpin dan pejuang kemerdekaan negara yang telah melakukan pelbagai pengorbanan, tempatkan mereka dalam kalangan roh orang-orang yang soleh.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 25 Ogos 2023, “Menghayati Semangat Kemerdekaan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.