Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa.”
(Surah al-An‘am 6:153)
Agama Islam bertujuan untuk menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat. Syarat untuk selamat di dunia dan di akhirat adalah dengan mengabdikan diri; menyembah diri kepada Allah yang Maha Esa semata-mata, berpegang pada akidah yang benar, serta menjalani tatacara kehidupan yang bertepatan dengan contoh teladan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam yang berpaksikan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ahli Sunah Waljamaah bererti mereka yang berpegang teguh pada sunah Rasulullah SAW dan para sahabat. Pegangan Ahli Sunah Waljamaah bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, dan terbina daripada nas dan dalil syarak yang sahih dengan rangkuman kebijaksanaan akal fikiran insani dinaungi bimbingan Ilahi.
Bagi memastikan diri dan ahli keluarga kekal berpegang pada jalan yang benar, umat Islam hendaklah berwaspada terhadap apa-apa jua aliran pemikiran, ajaran, kepercayaan dan amalan yang memiliki unsur khurafat dan syirik. Sifat kurang beriltizam dengan pegangan akidah yang benar boleh merosakkan kemurnian agama, di samping membawa kemudaratan kepada diri dan keluarga, juga boleh menggugat keharmonian masyarakat, seterusnya memporak-perandakan negara.
Umat Islam pada setiap masa wajib memelihara akidah agar terpelihara kebenaran dan kesuciannya. Kunci untuk dianugerahkan syurga Ilahi serta dijauhkan daripada azab api neraka adalah dengan berpegang teguh pada akidah yang benar. Umat Islam wajib berwaspada agar niat, keyakinan, percakapan dan perbuatan tidak bercanggah dengan akidah. Perlakuan yang bertentangan dengan syarak boleh mengakibatkan terbatalnya akidah. Rasulullah SAW menolak sebarang perbuatan atau amalan yang tidak berdasarkan nas yang sahih atau tidak bersandarkan sunah. Sabda Baginda SAW:
Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripadanya, maka hal tersebut tertolak.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut mengingatkan umat Islam agar segala amalan yang dilakukan hendaklah berasaskan ajaran Islam yang sahih. Sebaik sahaja diamanahkan menjadi rasul, Baginda menerapkan akidah yang sahih kepada para sahabat dengan menghapuskan amalan dan kepercayaan berbentuk khurafat yang dilakukan ketika jahiliah, dan mereka diajarkan keyakinan untuk bergantung hanya pada Allah SWT. Dua perkara yang boleh menyebabkan berlakunya amalan yang bertentangan dengan akidah ialah:
Akibatnya, terdapat anggota masyarakat yang tidak memiliki asas ilmu agama, serta fahaman agama yang sahih, lantas mentafsirkan agama secara kurang tepat dengan syariat Islam. Teknologi yang membolehkan umat Islam memperoleh maklumat dengan mudah melalui Internet merupakan cabaran yang besar. Umat Islam perlu bijak menapis mana-mana ajaran yang melanggar batas syarak dengan merujuk para ilmuwan dan ulama yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam tentang Islam, agar mereka terhindar daripada dipengaruhi oleh perkara yang meragukan dan berkemungkinan menyesatkan.
Perbuatan khurafat boleh membawa kepada syirik, malah dibimbangkan sekiranya dilakukan secara berterusan boleh menyebabkan tergelincirnya akidah. Pengaruh kepercayaan mistik dan ajaib seperti mempercayai keajaiban haiwan tertentu, meyakini bahawa alam memiliki semangat yang perlu dilakukan pemujaan, mempercayai keramat hutan belantara, gunung atau bukit, keramat perkuburan, atau mempercayai tukang ramalan, menggunakan khidmat makhluk halus yang bertujuan untuk menyihir seseorang, dan merenjis kenderaan dengan air jampi dengan kepercayaan dapat menghindarkan daripada musibah kemalangan, kerosakan atau kecurian, merupakan antara amalan yang bertentangan dengan akidah.
Umat Islam diingatkan bahawa ajaran yang bersandarkan kedatangan Imam Mahdi dan kepercayaan akhir zaman yang digandingkan dengan upacara tertentu, merupakan ajaran yang sesat lagi meragukan. Terbaharu ialah ajaran yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW ialah Tuhan, manakala Allah hanya sekadar kata nama, dan Muhammad itulah pemilik bagi kata nama Allah. Umat Islam sepatutnya dan sewajibnya menolak dakwaan seperti ini kerana ketara bertentangan dengan ajaran Islam. Umat Islam wajib berwaspada dan memastikan ahli keluarga tidak terpedaya dengan kesesatan ajaran seperti ini.
Oleh itu, umat Islam diingatkan supaya:
Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Hindari kami daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan akidah. Bimbing kami untuk memahami Islam dengan kefahaman yang benar. Jauhi kami daripada terpedaya dengan ajaran yang bertentangan dengan akidah.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 18 Ogos 2023, “Kewajipan Memelihara Akidah”, Jabatan Agama Islam Perak)