11 Ogos 2023, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam ayat 19 Surah al-Nur:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Perkataan fitnah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang mengandungi beberapa makna, antaranya termasuklah ibtila’ atau ujian, kemudian penggunaannya juga menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. Oleh itu, perkataan fitnah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan keadaan perkataan tersebut digunakan.

Imam al-Nawawi menghuraikan fitnah sebagai perbuatan pemindahan maklumat daripada percakapan manusia kepada seseorang yang lain atau orang ramai dengan tujuan untuk merosakkan hubungan antara mereka. Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata bahawa sifat fitnah diitlakkan terhadap orang yang memindahkan kenyataan orang lain kepada orang lain, termasuk juga dengan cara tulisan yang disebarkan.

Dalam masyarakat Melayu, perkataan fitnah memberi makna yang lebih khusus, merujuk sebarang tuduhan yang diada-adakan yang bertujuan untuk memburukkan, atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada keadaan porak-peranda.

Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

  • Pertama: Apabila seseorang mengada-adakan atau mereka cipta cerita mengenai seseorang yang lain lalu menyebarkannya dengan tujuan untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan orang yang dijadikan sasaran.
  • Kedua: Apabila seseorang menerima berita tanpa usul periksa kesahihan berita, lalu terus menyebarkannya kepada orang lain.

Pada ketika ini, dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi perhubungan, fitnah lebih mudah disebarkan, malah penyebarannya berlaku dengan lebih pantas menerusi Internet, khidmat pesanan ringkas serta aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook. Penyebaran fitnah lazimnya berlaku melalui ceramah, perbualan di kedai kopi, perbualan sesama jiran dan rakan pejabat, dan kekal menjadi amalan dalam kalangan pereka dan penyebar fitnah.

Terdapat beberapa sebab yang mendorongkan fitnah, antaranya termasuklah sifat dengki, persaingan mendapatkan jawatan atau pangkat, persaingan mendapatkan pasangan hidup, persaingan perniagaan dan persaingan politik. Pada hakikatnya, fitnah terbit daripada seseorang yang berhati kotor dan berniat jahat. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam diri melakukan rasukan agar manusia sentiasa berbalah dan bersengketa antara satu sama lain. Fitnah ialah perbuatan yang amat disukai oleh syaitan kerana boleh memecahbelahkan ummah sehingga tiada lagi kesatuan dalam kalangan mereka.

Pada masa ini, fitnah mudah tersebar melalui pelbagai platform media sosial.

Syeikh Azhar Dr. Sheikh Ahmad Tayib Hafizahullah berkata, “Fitnah yang berlaku dalam kalangan umat Islam telah melahirkan golongan yang berfahaman keras dan melahirkan gejala keganasan dan kafir-mengkafir antara umat Islam.”

Sheikh Dr. Yusof al-Qaradawi rahimahullah berkata, “Para sahabat akan melarikan diri jika terzahirnya fitnah pada sesuatu tempat seperti yang dilakukan oleh Abu Darda’.”

Para penyebar fitnah pula bersifat alpa dan cuai ketika menyebarkan cerita yang didengari tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu. Melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW menyifatkan penyebar fitnah sebagai pembohong. Baginda bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa-apa sahaja yang didengarinya.”

Islam melarang keras umatnya berbuat fitnah kerana perbuatan tersebut mengundang pelbagai keburukan. Fitnah boleh mengakibatkan perselisihan dalam kalangan ahli keluarga, suami isteri, jiran tetangga dan rakan sekerja. Fitnah boleh menyebabkan ummah bertelagah, berpecah belah dan menjejaskan keharmonian masyarakat. Fitnah boleh mencemar maruah pihak yang difitnah, menambah kekeliruan, mengundang dosa, bahkan mengundang kemurkaan Ilahi. Perbuatan memfitnah, menyebarkan, dan mempercayai fitnah tanpa memeriksa kesahihannya terlebih dahulu, bakal menjerumuskan pelakunya ke neraka Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).

(Hadis riwayat Muslim)

Baginda juga bersabda yang bermaksud,

Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah SAW; ‘Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga belakang lehernya dan disangkut lubang hidungnya sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya adalah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan hingga ke ufuk penjuru dunia.’

(Hadis riwayat Ibn Hibban, no. 655)

Pada ketika ini, fitnah amat berleluasa. Pepatah Melayu menyatakan, “bau busuk tidak berbangkai”, mengibaratkan kesan fitnah yang dilemparkan kepada seseorang, lazimnya sukar dibendung dan sukar dijernihkan. Ummah wajib menjauhkan diri daripada terpalit dengan dosa fitnah sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung apabila terlibat dan turut bersubahat menyebarkan fitnah. Perbuatan fitnah akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan.

Umat Islam diperingatkan tentang perkara berikut:

  • Pertama: Perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa, dengan bergopoh-gapah menghukum, atau mengeluarkan kenyataan berbentuk hukuman kepada seseorang tanpa diketahui kebenarannya, ditempelak oleh Allah SWT, berpandukan kisah fitnah terhadap Sayidatina Aishah r.a. Firman Allah SWT dalam ayat 11 Surah al-Nur, yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membawa berita dusta itu adalah dalam kalangan kamu (juga). Janganlah kamu mengira (berita dusta) itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang daripada mereka akan mendapat balasan daripada dosa yang dilakukannya. Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian besar menyebarkannya antara mereka, dia mendapat azab yang besar.”
  • Kedua: Ummah perlu memastikan kesahihan maklumat terhadap apa-apa juga maklumat atau berita yang diterima, sumber dan penyampainya, berpandukan peringatan Allah yang terkandung dalam ayat 6 Surah al-Hujurat yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan oleh kejahilan kamu (mengenainya) sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”
  • Ketiga: Perbuatan fitnah akan menjadikan seseorang itu buta daripada kebenaran dalam menilai kebenaran yang hakiki mengenai sesuatu perkara.
  • Keempat: Fitnah akan menyebabkan umat Islam tenggelam dalam rancangan pihak musuh yang merancang untuk memecahbelahkan umat Islam.
  • Kelima: Orang yang mencipta, menyebar dan mempercayai fitnah atau orang yang bersedia bersubahat mengambil upah mencipta dan menyebar fitnah, sesungguhnya telah menjadikan syaitan sebagai sahabat mereka.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Jauhi kami daripada perbuatan memfitnah, menyebarkan fitnah, atau menjadi orang upahan melakukan kerja-kerja fitnah. Bimbing kami untuk berakhlak mulia sama ada di dunia nyata atau di dunia maya. Lindungilah kami daripada menjadi mangsa fitnah, atau terpalit dengan kesan buruk fitnah. Tabahkan hati orang yang menghadapi ujian difitnah, dan Engkau bimbinglah hamba-hamba-Mu yang begitu taksub melakukan fitnah untuk segera bertaubat lalu berhenti terlibat atau bersubahat dengan kerja-kerja memfitnah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 11 Ogos 2023, bertajuk “Bahaya Fitnah”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.