3 Ogos 2023, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berkempen secara berhemah

Dalam keghairahan menjalankan kempen terhadap calon-calon yang bertanding, kita sebagai masyarakat yang memiliki penuh adab dan kesopanan haruslah mempamerkan etika kempen yang penuh berhemah. Walaupun berbeza ideologi politik, seharusnya seseorang hendaklah menjaga adab dan etika sewaktu berkempen agar kita dapat menterjemahkan kemuliaan akhlak yang ditonjolkan oleh agama Islam dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Antaranya termasuklah menjaga perlakuan dan etika serta tidak memulakan provokasi kepada pihak lawan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Islam sendiri mengajar umatnya agar sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian sesama manusia serta tidak melampaui batas walaupun ketika tempoh berkempen dan merayu undi. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW berkata yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah mengucapkan perkara yang baik atau diam.”

Walaupun terdapat pelbagai akta dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan perkara ini, namun masih terdapat pihak yang berdegil dan suka melakukan provokasi kepada pihak lawan sehingga berlakunya gejala fitnah dan amalan politik kotor bagi memenangkan pihak yang mereka sukai. Seharusnya, gejala politik yang tidak sihat ini wajar dihindarkan walaupun seseorang itu mempunyai perbezaan fahaman politik dan kepartian, dengan cara mengambil pendekatan yang baik dan matang dalam berkempen tanpa memburuk-burukkan pihak lawan dan menjalankan kempen dengan penuh berhemah serta dilengkapi dengan pelbagai fakta bagi menarik perhatian prospek pengundi untuk mengundi calon pilihan mereka sewaktu hari pengundian yang sebenar nanti.

Pemidato dan perayu undi hendaklah menjaga pertuturan dan menggunakan kata-kata yang baik ketika menjalankan kempen.

Selain itu, setiap pemidato dan perayu undi yang menjalankan kempen hendaklah menggunakan ucapan yang baik serta tidak dicemari dengan cacian, hinaan, tuduhan tanpa bukti dan seumpamanya terhadap pihak lawan. Dengan adanya unsur sebeginilah menyebabkan penguatkuasaan undang-undang yang tegas diambil terhadap mereka yang menjalankan aktiviti politik kepartian yang melampau serta mendatangkan permusuhan di premis tertentu.

Budaya politik wang juga harus dielakkan sewaktu tempoh kempen dijalankan. Gejala rasuah dan sogokan ketika menjalankan aktiviti kempen bagi meraih undi masyarakat setempat juga merupakan tindakan yang dilarang dan merupakan satu kesalahan jenayah yang serius bukan sahaja menurut panduan syarak malah menurut undang-undang di negara ini.

Aktiviti merayu undi dengan memberikan sogokan atau rasuah merupakan tindakan yang tidak yang langsung tidak beretika serta haram di sisi syarak, malah seharusnya tidak menjadi amalan masyarakat di negara ini. Ingatlah akan peringatan Baginda SAW dalam hadis riwayat Ibn Majah, daripada Abdullah bin Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Allah melaknati pemberi dan penerima rasuah.”

Sekiranya seseorang pengundi berasa buntu untuk melakukan pemilihan terhadap mana-mana calon yang bertanding pula, pohonlah petunjuk daripada Allah SWT agar dimudahkan dalam urusan memilih calon yang berkelayakan. Langkah ini dapat dilaksanakan antaranya termasuklah dengan mengamalkan solat sunat istikharah bagi mendapatkan petunjuk yang benar daripada Allah SWT.

Sebagai kesimpulannya, keghairahan sewaktu tempoh berkempen untuk memenangkan calon yang menjadi pilihan hati bukanlah tiket untuk kita mengabaikan tegahan dan larangan syarak yang mesti diikuti oleh setiap warganegara.

Mudah-mudahan, aktiviti pilihan raya melalui proses demokrasi ini yang bertujuan untuk memilih calon yang berkualiti dan berkelayakan serta dipilih melalui undi majoriti masyarakat setempat akan mendapat keredaan daripada Allah SWT dan keberkatannya terpancar selepas sesi pilihan raya dijalankan dengan pemimpin yang dipilih memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat yang diwakilinya di negara yang penuh kemakmuran dan keamanan.


Dr. Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah) dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.