2 Ogos 2023, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepuluh hari lagi akan berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Walaupun kehangatan bahang pilihan raya umum pada November tahun lalu masih terasa, pastinya pilihan raya di beberapa buah negeri pada 12 Ogos 2023 ini dihiasi dengan pelbagai gerak kerja pilihan raya terutamanya paluan gendang kempen meraih undi pascaproses penamaan calon dijalankan.

Antara tujuan utama sesuatu pilihan raya diadakan termasuklah untuk memilih pemimpin bagi menjadi wakil rakyat baharu di sesebuah kawasan. Malaysia yang merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen mengaplikasikan kaedah sistem pilihan raya dalam pemilihan pemimpin yang pada kebiasaannya dilaksanakan dalam tempoh sepenggal, iaitu setiap lima tahun sekali.

Selari dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, pastinya setiap rakyat di negara ini seharusnya mempamerkan adab dan akhlak yang baik dalam pemilihan pemimpin untuk menjadi tonggak masyarakat terutamanya dalam urusan menyuarakan permasalahan dan isu-isu penting dalam kalangan rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Pemilihan pemimpin dari sudut pandang Islam

Proses pemilihan pemimpin yang adil dan bertanggungjawab serta menepati ciri-ciri pemimpin yang baik amatlah dituntut dalam Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana kepemimpinan dalam Islam merupakan suatu bentuk amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan bukan satu bentuk kemegahan, keistimewaan atau kelebihan semata-mata kepada seseorang.

Dengan mandat yang diperoleh hasil daripada undi yang diberikan oleh rakyat dalam sesuatu pilihan raya, pastinya yang diharapkan ialah komitmen yang jitu, usaha yang berterusan, serta buah fikiran yang bernas dalam menyuarakan isu selain mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam sejarah kepimpinan Islam, Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah (contoh ikutan terpuji) dalam segenap aspek kepimpinan dan kenegaraan termasuklah berjaya meletakkan Islam sebagai di peringkat yang tertinggi sehingga terbentuknya perlembagaan bertulis yang pertama di dunia, iaitu Piagam Madinah pada tahun 622M yang menjadi teras penyatuan rakyat pelbagai agama, kabilah, bahasa dan warna kulit.

Selain itu, proses pengundian bagi memilih pemimpin merupakan amanah yang akan dihisab oleh Allah SWT di akirat kelak. Hal ini dikatakan demikian kerana al-Quran sendiri menyatakan melalui ayat 71 Surah al-Isra’ bahawa pada hari kiamat, semua manusia akan diseru dengan nama pemimpin mereka di dunia ini.

Islam menggariskan panduan dan kriteria tertentu dalam proses pemilihan pemimpin sebagai tonggak masyarakat.

Dalam al-Quran, Allah SWT mewajibkan kita untuk memilih pemimpin yang adil seperti yang tercatat dalam Surah al-Baqarah ayat 247 yang bermaksud,

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: ‘Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu.’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?’ Nabi mereka berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.’ Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam karya tafsirnya yang terkenal, Tafsir al-Munir menjelaskan bahawa ayat ini mengkhabarkan kepada manusia bahawa kepimpinan bukan berdasarkan pewarisan dan kekayaan seseorang, tetapi dipilih berdasarkan berdasarkan beberapa kriteria penting seperti berilmu pengetahuan, kecekapan, kemahiran, keperibadian yang utuh dan kemahuan yang teguh.

Selanjutnya, melalui ayat ini juga, Ibn Abbas menceritakan pemilihan Talut sebagai pemimpin dalam kalangan Bani Israel pada ketika itu adalah kerana beliau merupakan orang yang paling bijak serta memiliki kekuatan tubuh badan yang sempurna. Oleh itu, kesemua kriteria ini pastinya akan membuatkan pihak musuh berasa takut dan gentar apabila berhadapan dengannya.

Selain itu, kriteria pemilihan Talut sebagai seorang pemimpin yang hebat juga adalah kerana kehebatan dan penguasaan ilmunya yang luas dan kekuatan fizikalnya yang sempurna. Pastinya dengan adanya kedua-dua elemen ini, dirinya lebih bersedia dan memiliki kekuatan untuk berperang sewaktu menghadapi pihak musuh dan lebih terampil dan berkeyakinan tinggi ketika berada dalam sesuatu aktiviti bersama-sama masyarakat yang lain.

Melalui ayat ini, dapatlah difahami bahawa kriteria utama yang diperlukan oleh seseorang pemimpin berdasarkan sisi pandang masyarakat ialah seseorang yang terdiri daripada golongan yang mempunyai ilmu, mengamalkan ajaran agama, mempunyai kekuatan, sihat tubuh badan, dan berprinsip serta berani menyuarakan isu-isu rakyat apabila diperlukan.

Seterusnya, pemimpin yang baik dan berkualiti juga pastinya sentiasa memikirkan perkhidmatan yang terbaik untuk disajikan kepada rakyat seperti aspek pendidikan, kesihatan, keselesaan hidup, ekonomi dan pengamalan agama. Oleh itu, pemimpin yang berkualiti juga seharusnya mengaplikasikannya selari dengan tuntutan agama. Sekiranya Islam mengharamkan budaya rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, maka pemimpin yang baik juga wajib sama mengharamkannya selari dengan tuntutan yang terkandung dalam tegahan agama.


Dr. Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah) dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.