28 Julai 2023, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 111:

 

Maksudnya: “Sesungguhnya kisah-kisah para nabi itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal. (Kisah para nabi yang terkandung dalam al-Quran) itu bukanlah cerita yang diada-adakan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai hidayah petunjuk serta rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

Al-Quran memaparkan pelbagai kisah para rasul terdahulu untuk diambil pengajaran dan dijadikan iktibar dalam kehidupan. Kisah Nabi Musa a.s. merupakan kisah yang paling banyak tercatat dalam al-Quran, menunjukkan banyak iktibar yang perlu diberikan perhatian oleh ummah. Peristiwa Nabi Musa a.s. mencapai kemenangan dan diselamatkan daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya telah berlaku pada hari Asyura.

Hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang bermaksud,

Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, didapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Baginda bertanya kepada mereka, ‘Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini?’ Mereka menjawab, ‘Hari ini hari yang mulia kerana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya serta menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa a.s. berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran, disebabkan itu kami pun turut berpuasa.’

Nabi Musa a.s. diutus kepada kaum Bani Israel yang pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Firaun, seorang raja yang bersikap angkuh, bongkak, sombong dan zalim, melakukan penyeksaan sehingga tergamak membunuh setiap bayi lelaki yang berada atau dilahirkan di bumi Mesir. Apabila Firaun mendapati dakwah Nabi Musa a.s. mendapat sambutan dan semakin berkembang dalam kalangan rakyatnya, Firaun memerintahkan agar Nabi Musa a.s. dan kaumnya yang beriman dibunuh.

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s. berhijrah, membawa kaumnya keluar dari bumi Mesir. Firaun mengetahui perancangan tersebut, lalu mengerahkan seluruh tenteranya mengejar Nabi Musa a.s. seperti yang diperihalkan dalam ayat 61 hingga ayat 66 Surah al-Syu‘ara’:

Maksudnya: “Maka ketika kedua-dua golongan itu ternampak antara satu dengan yang lain, berkatalah para pengikut Musa, ‘Kita benar-benar akan tertangkap.’ Musa menjawab, ‘Tidak sekali-kali (akan berlaku demikian). Sesungguhnya Tuhanku sentiasa bersama-samaku. (Dengan pemeliharaan dan pertolongan-Nya) Dia akan memberi petunjuk kepadaku.’ Lalu kami wahyukan kepada Musa, ‘Pukullah laut itu dengan tongkatmu.’ (Setelah dipukul) maka terbelahlah lautan itu dan setiap belahan menjadi seperti gunung yang besar. Dan kami dekatkan golongan yang lain ke situ. Dan kami selamatkan Musa dan orang yang bersama-samanya. Kemudian, Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejar mereka).”

Ayat tersebut menggambarkan keadaan yang dilalui oleh Nabi Musa a.s. dan kaumnya. Ketika kaumnya merasakan bahawa mereka akan tertangkap oleh Firaun yang semakin hampir, sementara pergerakan mereka terhenti kerana tiada tempat yang selamat untuk dituju, Nabi Musa a.s. mengajar kaumnya agar meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT dalam apa jua urusan kehidupan.

Dalam menempuhi perjalanan kehidupan, jiwa harus dibekalkan dengan ketakwaan, disemai keyakinan yang utuh serta keimanan yang tinggi pada kekuasaan Allah SWT. Ummah wajib menginsafi bahawa setiap ujian yang telah ditakdirkan dalam suratan qadak dan qadar Ilahi, bertujuan untuk melihat sejauh mana kepercayaan dan kebergantungan hamba-Nya terhadap kuasa Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Mentadbir segala urusan. Ujian kesakitan, kehilangan orang tersayang, kesempitan hidup dan sebagainya memerlukan ummah untuk sentiasa bersangka baik kepada Ilahi, di samping tidak berputus asa dengan rahmat-Nya.

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s. untuk memukul Laut Merah dengan tongkat yang ada pada tangannya. Dengan penentuan Ilahi, kaumnya menyaksikan keajaiban luar biasa kuasa Allah SWT, laut terbelah kepada laluan yang membolehkan kaumnya menyelamatkan diri. Apakah hikmah Allah SWT menurunkan perintah untuk Nabi Musa memukul laut terlebih dahulu? Sedangkan Allah SWT berkuasa menurunkan bantuan pada bila-bila masa sahaja.

Perintah tersebut mengisyaratkan kepada ummah bahawa dalam setiap urusan kehidupan, Allah SWT menghendaki umatnya berusaha dan tidak hanya duduk sambil mengharapkan bulan jatuh ke riba – atau inginkan kejayaan tanpa usaha. Umat Islam diwajibkan bekerja, berusaha menyempurnakan amanah, dan berusaha menabur bakti demi masa hadapan agama, bangsa dan negara. Umat Islam tidak wajar mensia-siakan usia dan masa lapang, sebaliknya hendaklah dimanfaatkan dengan kegiatan yang mendatangkan kebaikan.

Mengambil pengajaran daripada kisah yang disampaikan, ummah wajib berada pada landasan tauhid. Ummah harus bangkit mengorak langkah, menyemai semangat juang yang tinggi, berpandukan ilmu yang sahih, dikembarkan dengan usaha, doa dan tawakal kepada Ilahi. Selagi ummah cekal yakin kepada Allah SWT, insya-Allah pertolongan akan hadir dalam bentuk yang tidak disangka-sangka walau seberat mana pun ujian yang ditempuh.

Kisah nabi terdahulu seharusnya dijadikan iktibar dalam kehidupan umat Islam pada hari ini.

Umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

  • Pertama: Setiap dugaan yang dihadapi, datangnya daripada Allah SWT untuk menguji tahap ketabahan, keyakinan dan keimanan insan terhadap Allah SWT.
  • Kedua: Terkandung dalam al-Quran kisah-kisah kegigihan para nabi dalam usaha menyampaikan seruan Ilahi, menghadapi pelbagai cabaran dan ujian, dan pada akhirnya mencapai kejayaan dengan pertolongan dan mukjizat kurniaan Ilahi. Kisah perjuangan para nabi hendaklah diceritakan dengan olahan yang berjaya menarik minat dan menyemaikan rasa penghargaan anak-anak kepada pengorbanan yang dilakukan oleh para nabi dalam memenuhi perintah Ilahi.
  • Ketiga: Kesungguhan dan ketabahan para nabi memenuhi amanah dan perintah Allah SWT hendaklah dijadikan sumber rujukan dan sumber ilham kepada setiap ummah melakukan yang makruf dan menolak yang mungkar.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbing kami agar sentiasa meminati membaca dan memahami kandungan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup. Kurniai kami ketabahan dan kecekalan dalam menyempurnakan tugas. Jauhi kami daripada sifat malas, mensia-siakan waktu yang pada akhirnya mengakibatkan kerugian di dunia dan di akhirat.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 28 Julai 2023, bertajuk “Merenung Hikmah Sirah Nabi Musa a.s.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.