Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT,
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberikan minuman kepada orang yang mengerjakan haji dan orang yang memakmurkan masjid semata-mata). Dan mereka itulah orang yang berjaya.”
(Surah al-Tawbah 9:20)
Peristiwa hijrah membuka lembaran baharu umat Islam. Sewaktu usaha Rasulullah SAW menyebarkan risalah Islam tidak disambut baik, malah ditentang secara keras oleh kebanyakan penduduk Makkah, perintah berhijrah diwahyukan sebagai satu strategi bagi membolehkan umat Islam menyusun gerakan baharu, membina keyakinan, menyuntik azam dan semangat, serta mengolah pendekatan baharu untuk menyebar dan mengembangkan risalah Islam.
Hijrah tersebut telah menghasilkan kejayaan. Hasilnya, terpupuk nilai persaudaraan sejagat dalam kalangan ummah, peradaban ummah berjaya dibangunkan, terbina ummah yang bertamadun, dan lahir sebuah negara Islam yang gemilang di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Piagam Madinah digubal berlandaskan syariat Allah, dan diterima pakai sebagai panduan dan rujukan dalam sistem pemerintahan. Perlembagaan Madinah merupakan perlembagaan bertulis yang pertama wujud di dunia. Bagi menghargai roh yang terkandung dan kejayaan yang tercipta melalui peristiwa hijrah, Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. telah memilih untuk memasyhurkan tarikh peristiwa tersebut sebagai tahun bermulanya takwim hijrah.
Matlamat hijrah adalah untuk membawa perubahan. Pemahaman terhadap hijrah tidak harus terhad pada peristiwa perpindahan fizikal dari kota Makkah ke Madinah sahaja, sebaliknya umat Islam perlu melihat hijrah dengan tafsiran yang luas, melalui lensa yang berupaya merungkai hikmah secara keseluruhan, menghayati semangat yang tersirat di sebalik yang tersurat, lalu melakukan pengubahsuaian diri untuk menghadapi cabaran kehidupan semasa. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Tidak terhenti hijrah selagi tidak terhenti (kesempatan) bertaubat dan tidak terhenti taubat sehinggalah matahari terbit dari barat.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)
Hadis tersebut menjelaskan bahawa Islam menghendaki umatnya sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan diri, selagi tubuh masih bernyawa dan kiamat belum berlaku. Berhijrah ke arah kebaikan itu memerlukan pengorbanan, kesungguhan, azam dan kesabaran, namun jika dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT, Insya-Allah segala usaha yang dirintis akan dipermudahkan.
Mendepani perkembangan dunia semasa; perubahan harus dirintis ke arah peningkatan diri yang lebih baik, produktif dan berkualiti. Berpandukan azam yang tinggi serta tekad yang kukuh, umat Islam wajib berusaha untuk menjadi insan yang kamil, taat dan patuh pada syariat Ilahi, berilmu, berpengetahuan, berkemahiran, berakhlak mulia, dan menabur bakti kepada agama bangsa dan negara. Jiwa dan minda perlu ditiupkan roh mahu melakukan perubahan, dan disemaikan semangat mahu melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya.
Penghijrahan minda merujuk minda yang memilih untuk keluar daripada kepompong kejahilan, iaitu yang berani keluar daripada zon keselesaan. Dunia kini sudah beralih kepada revolusi industri 5.0. Kebanyakan urusan kerja dan urusan kehidupan kini diurus menggunakan teknologi dan sistem. Pelbagai urus niaga dan urusan kerja telah bertukar daripada kaedah yang memerlukan kehadiran secara fizikal kepada hanya penggunaan Internet mudah alih. Umat Islam wajib belajar menyesuaikan diri untuk berhadapan dengan suasana kerja dan urusan yang menggunakan kaedah baharu. Dalam era digital ini, pelbagai kemahiran baharu perlu dikuasai dan pelbagai medium baharu harus dirintis.
Minda rasional sentiasa mahukan kemajuan; bukan sekadar berbangga dengan kemajuan terdahulu, tetapi berusaha mencipta kemajuan baharu. Minda yang sihat membawa kepada warga yang tidak mengungkit dan bebal dengan kesilapan lalu, tetapi warga yang berani memperbaik kekurangan diri, sentiasa menggalakkan kemajuan, juga warga yang memilih meninggalkan segala perbuatan khurafat, tindakan dungu dan kepercayaan karut, dan beralih kepada tindakan yang berasaskan kebijaksanaan akal dan penguasaan ilmu. Minda harus diperkaya dengan ilmu yang bermanfaat, dilengkapi tafsiran dan fahaman agama yang sahih, serta bimbingan daripada orang yang berpengalaman dan ahli dalam sesuatu bidang. Minda wajib dilatih berfikiran secara bijak dan bertindak secara rasional.
Penghijrahan budaya pula merujuk kesediaan meninggalkan budaya usang dan lapuk, dan beralih melakukan kegiatan yang mencerminkan keluhuran budi serta bertunjangkan prinsip dan nilai Islam. Amalan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan makanan secara berlebihan dan tidak seimbang, merokok, tidak melakukan riadah secara berkala, tidak menjaga waktu rehat dan tidur yang sempurna, pengabaian kebersihan, berhutang secara keterlaluan, tidak menepati waktu, mungkir janji, dan perbuatan berbohong wajib ditinggalkan.
Demi masa hadapan negara dan bagi memastikan negara dilimpahi kemakmuran, stabil, merdeka dan berdaulat, umat Islam juga wajib berhijrah mengamalkan budaya yang sihat, memperlihatkan akal budi yang murni, mencerminkan keikhlasan dan kejujuran, budaya yang merintis usaha untuk menyatupadukan rakyat dan menyeru rakyat untuk menumpukan usaha membangunkan ekonomi negara, agar negara menjadi negara yang kaya, makmur, aman lagi sejahtera.
Ummah wajib menolak budaya mengadu domba, mencipta dan menyebarkan fitnah, memecahbelahkan rakyat, bertolak ansur dengan amalan rasuah dan menerima pemimpin yang rasuah, yang pada akhirnya mengakibatkan negara punah dan musnah. Jadikan tatacara dan hikmah kebijaksanaan Rasulullah SAW sebagai panduan bagi mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab memimpin atau diamanahkan menjadi ketua. Amalkan budaya kepimpinan yang memperlihatkan kesopanan budi, ketinggian adab dan kebijaksanaan akal; budaya kepimpinan yang berhikmah, menyeru dan menganjurkan kebaikan, dan budaya kepimpinan yang tegas menguatkuasakan undang-undang secara adil dan saksama melalui amalan dan barisan pemimpin yang berbudi pekerti, berintegriti, amanah, jujur dan ikhlas.
Semoga tahun baharu 1445 Hijrah akan dilimpahi sinar cahaya yang dapat mengangkat martabat umat Islam. Oleh itu, beberapa saranan tersebut dicadangkan:
Pertama: Memperingati wasiat Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya, iaitu Kitab Allah (iaitu al-Quran) dan sunah nabi. Umat Islam wajib mengamati, menghayati dan mengamalkan pesanan dan khazanah yang telah Baginda Rasulullah SAW tinggalkan kepada kita.
Kedua: Mengeratkan silaturahim sesama umat Islam dan menjalinkan ukhuwah atau semangat persaudaraan sesama insan agar terbina suasana hidup yang aman dan harmoni, mengamalkan sifat menghargai nilai persamaan, bukannya meninggikan tembok perbezaan.
Ketiga: Mengamalkan gaya hidup sihat dan budaya berdisiplin dari segi berbelanja, bekerja, menepati waktu, pengambilan makanan, beriadah, kesihatan dan kebersihan, serta memastikan tubuh mempunyai waktu rehat dan waktu tidur yang sempurna.
Keempat: Meninggalkan tabiat buruk yang merosakkan silaturahim, menjejaskan kesihatan dan membazirkan masa, tenaga dan harta.
Kelima: Menjadi insan yang berkeyakinan tinggi, yakin kepada bantuan Ilahi, tidak mudah mengalah dan tidak mudah berputus asa.
Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Banyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbing kami dengan semangat yang cekal untuk melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, kehidupan lebih bermakna untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat 21 Julai 2023 bertajuk “Tahun Baharu Hijrah: Ke Arah Penghijrahan Minda dan Budaya”, Jabatan Agama Islam Perak)