21 Julai 2023, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apakah makna hijrah? Pada asasnya, hijrah merujuk perpindahan dari satu tempat ke satu lokasi yang lain sama ada dekat ataupun jauh. Pada zaman permulaan Islam, orang yang beriman berdepan dengan tentangan kaum Musyrikin Quraisy. Mereka ditangkap, ditahan dan diseksa dengan tujuan memaksa golongan beriman tersebut meninggalkan ajaran baharu.

Bagi kaum Quraisy, ajaran agama fitrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW membawa pepecahan dalam masyarakat. Orang muda secara khusus telah mengikut ajaran baharu yang bercanggah dengan kepercayaan orang tua mereka sendiri yang diperturunkan secara tradisi oleh nenek moyang, iaitu menyembah berhala.

Pada ketika itu, di sekeliling dan di dalam kaabah diletakkan pelbagai bentuk dan saiz berhala yang dipercaya dan dipuja oleh golongan yang menyembahnya sebagai Tuhan yang mempunyai kuasa.

Berhala yang banyak itu juga menjadi punca pemuka Quraisy menghimpunkan harta kerana pada setiap tahun, pengunjung dari pelosok negara bertandang ke Makkah bagi memuja Tuhan kepercayaan mereka.

 

Tujuan hijrah

Apabila tentangan semakin kuat dihadapi oleh penganut Islam, Nabi Muhammad SAW mencadangkan satu penyelesaian, iaitu berhijrah ke luar Makkah.

Tujuan hijrah adalah untuk memberikan ruang baharu kepada orang beriman khususnya mereka yang terdiri daripada kumpulan marginal hamba dan miskin yang terdedah kepada tangkapan dan penyeksaan. Maka itu, apabila mereka berhijrah, mereka akan terselamat daripada gangguan pemuka Quraisy.

Sungguhpun begitu, terdapat dalam kalangan anak bangsawan yang turut berhijrah. Penghijrahan mereka memberikan tamparan dan impak kepada keluarga aristokrat Quraisy. Perpisahan tersebut meninggalkan bekas dalam hati orang tua mereka daripada pemuka Quraisy sehingga mereka berasa kehilangan anak keturunan kerana kekerasan dan kezaliman mereka sendiri.

 

Kesan dan strategi kaum Musyrikin 

Kehilangan dua kelompok umat Islam tersebut, iaitu golongan hamba dan ahli keluarga meninggalkan kesan ekonomi dan sosial kepada golongan Musyrikin Quraisy. Selain itu, hal yang demikian juga menjatuhkan martabat mereka dari sisi politik kerana dilihat tidak berkuasa membendung penyebaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Jumlah Muslim yang berhijrah pada peringkat awal antara 15 hingga 17 orang.

Oleh itu, pelbagai strategi dilakukan untuk membawa kembali golongan yang berhijrah pulang ke Makkah, antaranya termasuklah menghantar perwakilan menemui Raja al-Najasy di Habsyah supaya membenarkan mereka membawa penduduk Makkah yang dianggap sebagai penjenayah untuk pulang ke tempat asal mereka. Dua utusan Quraisy tersebut ialah Amr bin As dan Abdullah bin Abi Rabi’ah. Namun begitu, usaha kedua-dua perwakilan tersebut tidak berjaya. Tidak lama kemudian, strategi baharu dilaksanakan dengan menyebarkan maklumat bahawa semua penduduk telah beriman dan Makkah sudah selamat untuk kembali didiami.

Maklumat palsu tersebut tersebar dan menyebabkan kaum muhajirin di Habsyah meronta untuk pulang, lantas mereka meninggalkan Habsyah. Di pertengahan perjalanan, barulah mereka mendapat khabar sebenar. Maka itu, mereka membuat keputusan untuk berhijrah menyertai Nabi Muhammad SAW yang telah sampai di Madinah pada masa itu.

 

Era baharu Islam

Setelah peristiwa penghijrahan Nabi Muhamaad SAW ke Madinah, maka wujudlah era baharu Islam yang mempunyai autonomi dan wilayah. Empat asas telah dibangunkan, iaitu persaudaraan antara golongan muhajirin dengan Ansar, kepimpinan Baginda sebagai peneraju, Perlembagaan Madinah dan penginstitusian masjid.

Peristiwa penghijrahan Nabi Muhamaad SAW dan para sahabat ke Madinah merupakan titik permulaan era baharu Islam yang mempunyai autonomi dan wilayah sendiri.

Golongan yang berhijrah ataupun muhajirin digambarkan oleh Allah SWT dengan pujian yang istimewa. Contohnya mereka disifatkan sebagai al-Sadiqin (yang benar-benar beriman); al-Sabiqun al-Awwalun (golongan yang terawal menyatakan keimanan), juga golongan yang mendapat keredaan Allah dan balasan kebaikan serta syurga. Oleh itu, para sahabat berusaha berhijrah bagi memperoleh kelebihan tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan-Nya, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (Surah al-Tawbah 9:100)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud,

Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya, Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu ialah orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya. (Surah al-Nahl 16:41-42).

 

Cita-cita yang tidak pernah padam

Penduduk Makkah yang beriman terus berusaha melepaskan diri daripada pihak Quraisy. Mereka ingin berhijrah dan menetap di Madinah. Namun demikian, bukan semua dapat berhijrah bahkan pihak Quraisy berjaya menahan dan menyeksa kaum kerabat mereka yang beriman dengan pelbagai seksaan.

Antara orang yang berusaha meloloskan diri daripada tahanan dan seksaan ialah Abu Jandal r.a. Setelah bertahun-tahun dikurung, Abu Jandal dapat melepaskan diri pada tahun ke-6 Hijrah. Namun begitu, beliau sampai di Hudaibiyah selepas perjanjian damai dimeterai antara Nabi Muhammad SAW dengan pembesar Quraisy. Sebagai akibatnya, Abu Jandal r.a. terpaksa dipulangkan kepada pembesar Makkah kerana antara syarat perjanjian ialah sesiapa dalam kalangan umat Islam yang berhijrah selepas termeterai perjanjian, mereka hendaklah dihantar semula ke Makkah.

Pada waktu itu, ada dalam kalangan sahabat yang ingin menghunuskan pedang bagi mempertahankan Abu Jandal daripada dikembalikan. Namun demikian, ketetapan tersebut tidak boleh dilanggar. Insiden tersebut memberikan kesan yang besar terhadap para sahabat.

Abu Jandal r.a. merupakan contoh individu yang berusaha berhijrah namun akhirnya terpaksa pulang ke Makkah. Dari satu sisi, Abu Jandal tidak sesuai mendapat gelaran muhajirin kerana beliau tidak berjaya sampai ke Madinah. Akan tetapi, pada perspektif yang lain, beliau tetap seorang “muhajir” mengambil kira jawapan Nabi Muhammad apabila disoal tentang bentuk hijrah yang bagaimanakah paling afdal? Baginda bersabda yang bermaksud, “Kamu meninggalkan perkara-perkara yang dimurkai oleh Tuhanmu.” (Hadis riwayat Ahmad).

Dalam konteks ini, Abu Jandal r.a. konsisten mempertahankan akidah bagaikan memegang bara. Beliau sesekali tidak tergugat untuk kembali kepada kepercayaan yang kufur, bahkan selepas pembukaan Makkah, bapanya yang selama ini menyeksanya telah memeluk Islam.

 

Hijrah dan pembukaan kota Makkah

Pada hari pembukaan kota Mekah (fath al-Makkah) pada tahun ke-8 hijrah, barulah para sahabat mengerti hikmah di sebalik ketetapan baginda SAW memulangkan Abu Jandal dan sahabat yang senasib dengan beliau kepada kaum Musyrikin. Pembukaan kota Makkah dan keruntuhan berhala di sekitarnya menjadi era baharu Islam fasa kedua. Selepas itu, tiada lagi hijrah dalam erti kata berpindah dari Makkah ke lokasi lain bagi tujuan menjaga akidah.

Menerusi hadis yang direkodkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada mengisahkan dua orang saudara datang bertemu Nabi Muhamad SAW untuk berbaiah dengan berhijrah pada hari pembukaan Makkah. Baginda menyatakan selepas pembukaan ini, tiada lagi baiah untuk berhijrah melainkan berjihad.

Maknanya di sini, tindakan yang prioriti untuk dilakukan dan pahala yang lebih besar pada waktu itu tidak lagi merujuk hijrah dalam bentuk pengasingan atau perpindahan bagi menjaga akidah. Selepas fath al-Makkah, usaha yang utama adalah untuk mempertahankan kedudukan Islam dan membebaskan masyarakat daripada pemikiran dan amalan yang dimurkai oleh Allah SWT.

Maal Hijrah yang menjadi sambutan tahunan signifikan umat Islam pada hari ini bertitik tolak daripada sirah nabawiyah dan sejarah perjuangan dakwah para sahabat. Tema Maal Hijrah pada tahun 1445H, iaitu “Perpaduan Teras Masyarakat MADANI” amat tepat untuk kita selami.

  • Pertama, hijrah yang lalu tercetus daripada cabaran mempertahankan akidah yang benar, yang kemudiannya menjadi satu daripada proses penting dalam melahirkan warganegara Muslim yang beriman dan menjunjung ajaran agama.
  • Kedua, ketelusan, keikhlasan, kecekalan dan pengorbanan golongan As-Sabiqun al-Awwalun yang berhijrah terbukti melalui ujian-ujian yang ditempuhi baik semasa di Makkah, Habsyah, Madinah mahupun Hudaibiyah, bahkan mereka menjadi pembuka-pembuka kota dan negara baharu selepas itu. Keterbukaan warga Ansar di Madinah menerima Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda menjadi pemangkin keharmonian dan kemakmuran.
  • Ketiga, pedoman Nabi Muhammad SAW dalam memahami erti hijrah secara konprehensif penting untuk umat Islam hari ini. Menjadi insan sejahtera yang madani memerlukan pengorbanan dan ketulusan dalam mempertahankan prinsip kepercayaan dan pada masa yang sama hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab sosial dan agama dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.
  • Keempat dan terakhir, model Abu Jandal juga haruslah dicontohi. Sungguhpun ada halangan dan teruji berkali-kali, beliau terus mempertahankan pegangan dan tidak ingkar dalam memberikan ketaatan kepada pucuk pimpinan. Sebagai natijahnya, beliau tetap menyumbang kepada perjuangan dakwah sekalipun tidak bersama dengan Baginda di Madinah.

Inilah refleksi terhadap hikmah dan proses hijrah umat terdahulu yang wajar kita selami dan teladani.


Penulis ialah Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.