19 Julai 2023, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap manusia sudah tentu berharap untuk berubah ke arah yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Namun begitu, godaan hawa nafsu dan iblis laknatullah sering kali menghimpit sehinggakan niat untuk membuat perubahan dan kebaikan acap kali menjadi tertangguh. Begitulah sifat kita, hamba-Nya yang lalai dan sentiasa diuji dengan dugaan dan cubaan.

Kedatangan tahun baharu hijrah saban tahun memugar kembali semangat tersebut dan mengembalikan ingatan kita akan peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat Baginda dari Makkah ke Madinah. Penghijrahan Baginda bukanlah mudah kerana sepanjang proses tersebut, Rasulullah SAW dan para sahabat dihujani dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Walau bagaimanapun, hal tersebut berjaya dirintangi dengan penuh ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Kita mungkin tidak boleh melakukan hijrah sebagaimana peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat Baginda, tetapi kita mampu berhijrah menjadi mukmin yang lebih baik dari hari ke hari. Hijrah berasal daripada perkataan hajara yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Namun begitu, hijrah juga boleh diertikan sebagai hijrah secara fizikal serta hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasulullah SAW, iaitu melalui niat dan perbuatan.

Kematian merupakan perkara yang sangat hampir dengan kita, tetapi kita tidak pernah membuat persediaan untuk menyambutnya seperti kita menyambut hari lahir pada setiap tahun. Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar selalu mengingati mati sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud,

Orang yang pintar ialah orang yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu, tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah SWT.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Sememangnya manusia makhluk yang sentiasa lalai dalam hidupnya dan memerlukan perancangan dalam menjalani kehidupan seharian sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Telah hampir kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak menghiraukan persediaan baginya.” (Surah al-Anbiya 21:1). Perancangan ini sedikit banyak dapat membantu seseorang manusia melalui perjalanan hidupnya yang penuh onak duri.

Penghijrahan Rasulullah SAW merupakan perancangan strategik jangka panjang Baginda dalam usaha mengembangkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia. Sebagai umat Islam, peristiwa ini boleh dijadikan iktibar sebagai titik tolak untuk berubah ke arah yang lebih baik. Proses hijrah atau perubahan ke arah yang lebih baik ini sememangnya memerlukan perancangan dan persediaan rapi dengan beberapa sikap yang perlu ada dalam diri, iaitu bersedia untuk berubah, sabar dan reda.

  1. Bersedia untuk berubah

Jika hendak melakukan perubahan, seseorang itu perlu mempunyai kesediaan yang tinggi untuk berubah. Tahap kesediaan ini memerlukan kita menguasai ilmu dan kemahiran serta tekad yang kuat dan jitu agar kita mampu untuk berhadapan dengan perubahan yang bakal kita tempuhi. Setiap perubahan perlu bermula daripada diri  sendiri sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “… Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri ….” (Surah al-Ra’d 13:11). Setiap umat Islam perlu mempunyai keazaman yang tinggi untuk menjadi insan yang lebih baik kerana orang yang paling berjaya ialah orang yang lebih baik daripada hari sebelumnya. Bermulalah dengan membuat perubahan yang sedikit dengan memperbaik kelemahan-kelemahan kecil yang ada dalam diri. Tidak perlu tergopoh-gapah untuk membuat perubahan yang besar sehingga akhirnya kita tidak mampu menggalasnya.

Setiap perubahan yang hendak dilakukan hendaklah bermula daripada diri sendiri.
  1. Sabar

Untuk istiqamah dalam setiap perubahan yang dilakukan pasti terdapat cabaran yang perlu ditempuh. Oleh itu, kesabaran penting dan menjadi tunjang utama dalam penghijrahan seseorang. Segala cabaran dan dugaan ketika berubah perlu dihadapi dengan penuh sabar, tidak merungut, sedih secara berlebihan dan berputus asa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberikan manfaat kepadamu, mintalah pertolongan daripada Allah SWT dan jangan kamu berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan: ‘Kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini.’ Sebaliknya katakanlah, ‘Hal itu ketentuan Allah dan apa-apa yang Allah kehendaki pasti terjadi.’ Sebenarnya perkataan ‘kalau’ itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim). Walau apa-apa pun kejian dan kutukan masyarakat dalam proses perubahan, kita perlu bersabar dan bersemangat. Berdoalah kepada Allah SWT agar diberikan perlindungan dan kekuatan untuk terus istiqamah dengan perubahan yang dilakukan.

  1. Reda

Proses penghijrahan seseorang juga memerlukan sikap reda. Umat Islam yang berubah ke arah kebaikan pasti akan diuji dan digoda. Kita perlu berlapang hati menerima segala dugaan dan ketentuan Allah SWT walaupun jalan penghijrahan tersebut tidak berjalan seperti yang kita inginkan. Dalam kehidupan kita, apabila hendak berubah menjadi yang lebih baik akan ada mulut-mulut jahat yang mengungkit kisah silam dan memperlekeh usaha yang dilakukan. Kita perlu menerima kata-kata dan segala cacian itu dengan penuh reda. Ujian tersebut perlu dianggap sebagai hikmah dan terus berjuang mempertahankan segala perubahan yang telah kita lakukan. Jika kita  berjaya berubah, usah pula berasa riak, takbur, ujub dan mendabik dada dengan perubahan yang dilakukan. 

Tuntasnya, umat Islam dituntut untuk menjadi individu yang lebih baik hari demi hari. Membuat perubahan amat mudah, tetapi sukar untuk terus istiqamah. Jadi, kita perlu berubah dengan ilmu yang penuh di dada dan berubah sedikit demi sedikit agar tidak berasa terbeban dengannya. Perubahan dengan ilmu membantu kita menghadapi segala ujian dan cabaran yang datang semasa sedang dalam proses hijrah.

Jadikanlah kisah hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda sebagai panduan untuk kita melaksanakan perubahan dalam hidup. Setelah berusaha dan berjaya berhijrah, kita perlu banyak berdoa memohon ketetapan hati dan bertawakal kepada Allah SWT agar terus istiqamah dengan perubahan yang telah dilakukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.