17 Julai 2023, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023M pada 19 Julai 2023, bersamaan 1 Muharram 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula pada pukul 9.00 pagi.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff berkata, kerajaan telah memilih tema “Perpaduan Teras Malaysia MADANI” bersempena dengan sambutan tersebut yang dimanifestasikan daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW.

“Perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat madani yang maju, bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian.”

Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja, namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala kepelbagaian.

“Wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan, bukannya merosakkan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM, hari ini.

Menurut beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk berangkat bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ke majlis tersebut.

Katanya, baginda turut berkenan menyampaikan titah diraja dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada majlis yang akan berlangsung nanti.

Tambah beliau, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta 6000 orang tetamu dijangka akan hadir.

Mereka terdiri daripada menteri dan timbalan menteri kabinet, duta-duta, ketua-ketua jabatan/agensi kerajaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan juga orang awam.

“Majlis sambutan tersebut akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 18 Julai 2023, pukul 7.00 malam, yang akan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar,” katanya.

Menurutnya, bacaan doa akhir dan awal tahun ini akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Sahibul Fadhilah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni dan umat Islam turut diundang hadir ke sana serta disarankan untuk bersama-sama berdoa memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini.

Majlis tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan YouTube JAKIM. Radio Nasional FM, Radio IKIM dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung sepanjang majlis berlangsung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.