16 Julai 2023, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya –Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) sebagai badan dakwah di Malaysia menyeru agar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin dekat ini dapat dihadapi tanpa bahang sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, penyokong mana-mana blok atau fahaman sekalipun tidak wajar dan tidak boleh sama sekali mengamalkan politik perpecahan apatah lagi barisan pemimpinnya.

“Namun begitu, situasi yang berlaku pada ketika ini, PRN seolah-olah memberikan lesen untuk bercakap dan memainkan sentimen 3R sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak YADIM, semalam.

Tambah beliau, menjunjung Rukun Negara merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan tanpa rasa berbelah bahagi oleh setiap warganegara Malaysia.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan merupakan antara dua rukun tersebut yang nampaknya pada hari ini semakin dipandang sebelah mata oleh masyarakat lebih-lebih lagi ketika negara sekarang akan berdepan dengan PRN tidak lama lagi,” ujar beliau.

Menurut Datuk Hasanuddin, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah supaya ahli politik bersatu hati dengan mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

Katanya lagi, baginda dengan jelas bertitah agar semua parti dapat memberikan fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

“Peralihan kerajaan selepas pilihan raya juga perlu berlaku secara aman dengan pelaksanaan dan penghayatan nilai-nilai demokrasi terus dilaksanakan selepas PRN berlangsung nanti,” ujar beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.