14 Julai 2023, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 17:

Maksudnya: “Tidaklah menjadi kesalahan bagi orang yang buta, orang yang tempang, dan orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang, kerana masing-masing ada keuzurannya). Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dan sesiapa yang berpaling ingkar, Dia akan mengazabnya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.”

Orang kurang upaya (OKU) atau lebih disenangi dengan panggilan “orang kelainan upaya” ialah golongan yang terhalang oleh keadaan fizikal atau mental, daripada berupaya melakukan kegiatan-kegiatan biasa yang pada kebiasaannya berupaya dilakukan oleh rakan sebaya mereka.

Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan, hingga Januari 2023, terdapat sebanyak 637 537 OKU berdaftar di seluruh Malaysia; manakala sebanyak 55 333 OKU berdaftar di Perak. Dipercayai jumlah sebenar bilangan OKU lebih banyak daripada angka yang didaftarkan.

Islam merupakan rahmat besar buat sekalian insan. Islam tidak menyisihkan atau mengasingkan golongan OKU, bahkan memberikan perhatian khusus serta keistimewaan kepada mereka. Ayat 17 Surah al-Fath diturunkan bagi menjawab persoalan, adakah orang mukmin yang buta, tempang dan sakit perlu menyertai peperangan? Allah SWT menjelaskan bahawa ini diberikan keringanan daripada dilibatkan ke medan perang dengan asbab kekurangan upaya yang mereka alami. Hal ini membuktikan bahawa warga sebegini bukan sahaja tidak disisihkan, malah diberikan pengiktirafan oleh Allah SWT untuk diberikan keistimewaan tugas yang lebih ringan.

Menyantuni warga kelainan upaya juga merupakan amalan mulia dan sunah Rasulullah SAW. Peristiwa Baginda SAW bersama Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang cacat penglihatan tercatat dalam SurahAbasa ayat 1 dan 2 yang bermaksud, “Dia (Muhammad) memasamkan muka dan berpaling. Kerana seorang buta datang kepadanya.”

Ibnu Kathir menghuraikan, Abdullah Ibnu Ummi Maktum menghampiri Rasulullah SAW kerana ingin mendapatkan nasihat agama. Pada ketika itu, Baginda dikelilingi oleh pembesar Quraisy yang mahukan penjelasan mengenai Islam. Baginda berpaling dan tidak memberikan layanan kepada Abdullah kerana memilih memberikan keutamaan kepada pembesar Quraisy dengan harapan sekiranya mereka memeluk Islam, maka pengikut-pengikut mereka juga akan turut memeluk Islam. Kemudian, Allah SWT menegur Baginda dengan menurunkan ayat 1 hingga 16, Surah ‘Abasa. Selepas peristiwa tersebut, Rasulullah SAW sentiasa memberikan layanan baik kepada semua orang yang datang menemui baginda lebih-lebih lagi terhadap golongan kelainan upaya.

Ujian Allah SWT ke atas OKU dan ahli-ahli keluarga mereka, merupakan satu penilaian keimanan terhadap qadak dan qadar. Kita wajib insaf bahawa tidak ada yang sempurna sifatnya melainkan Allah. Oleh sebab itu, dalam menghadapi ujian hidup yang datangnya daripada Allah SWT, kembalilah kita bergantung pada kuasa yang sebenar dengan keinsafan bahawa semua makhluk bergantung pada Allah SWT, Tuhan yang Maha Hebat lagi Maha Agung.

Firman Allah SWT dalam ayat 51 Surah al-Tawbah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), hanya kepada Allah jualah orang yang beriman bertawakal.’

Ketika ummah dikurniakan nikmat kesempurnaan anggota tubuh badan serta kebolehan melakukan kegiatan harian dengan baik, ummah perlu mensyukuri kurniaan Ilahi dengan memahami keperluan dan menyelami kesukaran OKU, lalu tampil menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan. Mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat dan berhak menikmati hak asasi seperti insan lain.

Sesungguhnya Allah bukan hanya menguji mereka yang berada dalam kategori OKU, Allah SWT sebenarnya sedang menguji sifat-sifat kesabaran, keinsafan, kesyukuran dan kemanusiaan kita yang dikurniakan kesempurnaan sifat. Adakah kita menyantuni OKU dengan baik, menunjukkan tanggungjawab, rasa simpati, belas dan kasih, lalu terpanggil untuk menolong?

Menginsafi pelbagai kesulitan yang dihadapi oleh OKU, umat Islam diseru agar menghayati firman Allah SWT yang terkandung dalam ayat 2 Surah al-Ma’idah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan bertakwa.”

Masyarakat seharusnya menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada golongan OKU.

Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Pertama: Menyediakan kemudahan yang mesra OKU di tempat awam, dewan kuliah dan bilik darjah, tempat rekreasi, termasuk tempat ibadat, tempat rehat, tempat letak kenderaan dan tandas.
  • Kedua: Menyediakan peluang belajar dan latihan yang dirangka sesuai dengan keadaan mereka, juga memperbanyak tempat belajar atau kemudahan latihan kepada OKU yang dapat membantu mereka menjadi insan celik huruf dan celik ilmu, lalu dapat meningkatkan keyakinan diri mereka.
  • Ketiga: Memikirkan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang sesuai dengan keadaan mereka, agar mereka merasakan diri mereka berharga dalam masyarakat, di samping dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berdikari.
  • Keempat: Menambahkan dan meluaskan penyebaran bahan bacaan Braille hingga ke desa untuk memperkaya sumber dan khazanah ilmu pengetahuan kepada warga yang kurang upaya penglihatan.
  • Kelima: Memperlihatkan dan mengamalkan sifat kasih sayang, terutama ibu bapa dan anggota keluarga yang memiliki anak kelainan upaya. Insya-Allah, terkandung hikmah dan ganjaran besar daripada Allah SWT terhadap mereka yang berjaya menghadapi ujian Ilahi dengan semangat tabah, sabar dan reda.
  • Keenam: Menghargai dan mengasihi warga kelainan upaya dengan tampil menghulurkan derma, bantuan, sokongan dan dorongan terhadap apa-apa juga usaha yang mendatangkan kebaikan kepada mereka.

Dalam usaha menyantuni golongan ini, Jabatan Agama Islam Perak telah mengadakan pelbagai program berbentuk kerohanian, antaranya termasuklah ibadat pesakit OKU, Indahnya Hidup Bersyariat OKU, kelas mingguan fardu ain OKU, dan pelbagai program lagi untuk menyediakan peluang kepada mereka mendapatkan pendidikan agama.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbinglah kami untuk saling membantu dalam perkara kebaikan. Tautkan hati kami untuk saling mengasihi sesama insan, mengakui setiap kekurangan dan kelebihan yang dikurniakan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Kurniai ketabahan dan kesabaran kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang memiliki anak-anak kelainan upaya, dan limpahi anak-anak istimewa ini dengan kelebihan rezeki.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 14 Julai 2023, bertajuk “Menyantuni Warga Kelainan Upaya”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.