7 Julai 2023, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Takutlah kamu kepada Allah dan jauhilah (jangan menuntut lagi) saki-baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang), jika benar kamu orang yang beriman. Oleh itu, jika kamu tidak mahu melaksanakannya (perintah mengenai larangan riba), maka ketahuilah adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya (akibatnya, kamu tidak akan selamat). Namun begitu, jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba), maka pokok asas harta kamu ialah hak kamu. Dengan itu, kamu tidak menzalimi orang lain dan tidak pula dizalimi.”

(Surah al-Baqarah 2:278-279)

Perbankan Islam bermaksud wang yang diuruskan menurut syariat Islam. Sejarah terawal pengenalan perbankan berlandaskan syariat Islam di Malaysia, bermula pada September 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji yang berperanan sebagai badan yang menyimpan dan mengurus wang bakal jemaah haji. Perbadanan ini ditukar menjadi Lembaga Urusan Tabung Haji pada tahun 1969.

Penubuhan sebuah bank berlandaskan syariat Islam di negara ini berlaku 40 tahun lalu, pada 1 Julai 1983, apabila Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) ditubuhkan. Bank ini merupakan bank pertama yang menawarkan kaedah perbankan Islam kepada rakyat Malaysia. Alhamdulillah, perbankan Islam mendapat penerimaan yang baik dan terus berkembang.

Mulai tahun 1993, bank perdagangan, bank saudagar, dan syarikat kewangan mula dibenarkan untuk menawarkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bawah Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Kini, terdapat 26 institusi perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. Perkembangan ini membuktikan kesungguhan kerajaan dan industri memperkasakan sektor perbankan yang mematuhi syariat Islam yang ketara semakin diterima dan semakin diyakini.

 

Mengapakah perbankan Islam wajib menjadi pilihan?

Pertama: Perbankan Islam bebas daripada unsur riba.

Ayat 278 dan 279 Surah al-Baqarah merupakan perintah Allah SWT untuk para hamba-Nya meninggalkan segala amalan riba. Bank-bank yang menjalankan urus niaga tanpa berlandaskan syariat Islam beroperasi berlandaskan riba. Sedarilah! Mengambil riba ialah satu daripada dosa besar yang wajib kita hentikan. Memandang ringan dosa riba, diibaratkan seperti sengaja memilih mahu berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

Ingatlah! Harta benda yang kita miliki di dunia ialah ujian terhadap tahap ketaatan kita kepada Allah SWT dan boleh menjadi asbab kepada kurniaan rahmat dan keberkatan, atau azab dan balasan buruk daripada Ilahi. Oleh itu, menggunakan perbankan Islam bukanlah pilihan tetapi suatu kewajipan ke atas setiap Muslim yang mukalaf. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Maksudnya: Daripada Jabir (diriwayatkan bahawa) ia berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, yang memberikannya, pencatatnya dan saksi-saksinya. Rasulullah SAW mengatakan, ‘mereka itu sama’.”

Terdapat beberapa tanggapan salah terhadap perbankan Islam. Antaranya termasuklah dikatakan perbankan Islam tidak lain hanyalah amalan riba melalui pintu belakang atau sistem yang masih mengamalkan riba tetapi secara tersembunyi. Ketahuilah, semua produk perbankan Islam telah diperhalusi dan disaring oleh para ulama yang arif dalam bidang tersebut. Mereka berusaha mencari kaedah yang menepati syarak supaya umat Islam terlepas daripada melakukan dosa riba. Para ulama muamalat secara bersungguh-sungguh melakukan kajian secara mendalam sebelum memberikan perakuan dan jaminan bahawa perbankan Islam mematuhi syariah.

Perbankan Islam turut dikatakan lebih mahal atau kurang memberikan pulangan keuntungan berbanding dengan perbankan biasa (perbankan konvensional). Dakwaan demikian sebenarnya tidak berasaskan pengetahuan keadaan semasa. Pada hakikatnya, kini, perbankan Islam sudah menawarkan kadar keuntungan yang setanding dengan perbankan biasa. Pelanggan boleh menilai dan memilih produk perbankan Islam yang menawarkan kadar terbaik, yang lebih murah dan lebih selamat kerana tiada unsur keuntungan tersembunyi mahupun riba. Akad perbankan Islam adalah jelas dan tiada unsur gharar (tersembunyi).

Kedua: Harta merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Tidak akan bergerak kaki seseorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke manakah dihabiskan?; tentang ilmunya, apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya?; tentang hartanya, dari manakah diperoleh dan ke manakah dibelanjakan; dan tentang tubuh badannya, untuk apa digunakannya?” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Oleh itu, sangat penting bagi umat Islam mengambil berat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala punca pendapatan adalah halal dan patuh syariah.

Ketiga: Perbankan Islam mengurus harta secara patuh syariah sekali gus menjadi sebab keberkatan atas harta kita.

Perbankan Islam mengamalkan kaedah akad, seperti akad simpanan (wadiah), akad perkongsian (mudarabah), akad sumbangan (tabaruk), dan akad perkongsian pembelian harta (musyarakah mutanaqisah). Kesemua akad ini menepati hukum syarak kerana mempunyai akad yang jelas dan tidak mengandungi unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan perjudian (maisir). Sebagai contoh, mungkin ramai yang tidak sedar, keuntungan daripada wang simpanan tanpa akad yang betul ialah riba. Bayaran premium insurans tanpa akad yang betul mengandungi unsur ketidakpastian sekali gus mempunyai unsur perjudian.

Setiap harta yang dibelanjakan di dunia akan dihitung dan dipersoalkan pada hari akhirat kelak.

Umat Islam diseru agar memberikan perhatian kepada perkara berikut:

  • Pertama: Mendalami pengetahuan mengenai kewangan Islam agar sumber kewangan diuruskan secara patuh syariah dan mendapat keredaan Ilahi.
  • Kedua: Merujuk ahli yang pakar dalam bidang kewangan Islam untuk memberikan pencerahan jika timbul sebarang keraguan atau kekaburan.
  • Ketiga: Menukar akaun simpanan biasa (atau konvensional) di bank dan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada akaun syariah. Begitu juga memilih insurans berlandaskan syariat Islam atau takaful.

Marilah kita berusaha mencari kehidupan yang mendapat keredaan Ilahi. Semoga kesungguhan kita mematuhi perintah Ilahi akan mendatangkan keberkatan ke atas harta dan keluarga kita serta kemakmuran kepada negara.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Sucikanlah sumber harta yang kami peroleh. Bimbing kami untuk mencari harta daripada sumber yang halal dan membelanjakannya mengikut landasan yang Engkau redai. Kurniai kami keberkatan dan qanaah, rasa cukup terhadap harta yang direzekikan, agar dengannya kami sentiasa mensyukuri pemberian-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 7 Julai 2023, bertajuk “Kewajipan Memilih Perbankan Islam”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.