26 Jun 2023, 13:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Debaran kemuncak musim haji kian dirasai oleh seluruh umat Islam terutamanya yang terpilih sebagai sebagai tetamu Allah pada tahun ini ke tanah suci Makkah bagi mengerjakan ibadat haji. Menyempurnakan serta memperoleh haji mabrur tentunya merupakan impian bagi setiap jemaah haji.

Secara umum, haji mabrur bermaksud ibadat haji yang diterima dan tidak bercampur dengan dosa serta diredai oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, untuk mendapatkan haji mabrur bukanlah perkara yang mudah, bahkan memerlukan ketaatan yang tinggi, keimanan yang teguh dan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT.

Para ulama dan cendekiawan kontemporari Islam telah membincangkan dan membahaskan beberapa kriteria bagi mendapatkan ibadat haji mabrur. Kriteria pertama adalah meletakkan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT di samping menghindarkan diri daripada wujudnya sifat riak (menunjuk-menunjuk). Dalam erti kata lain, setiap jemaah haji seharusnya meletakkan niat mengerjakan ibadat haji semata-mata kerana Allah SWT dan bukannya kerana mahukan pujian ataupun kelebihan panggilan “Haji” sekembali daripada mengerjakan ibadat haji. Pada waktu yang sama, setiap jemaah juga seharusnya menghindarkan sifat riak dalam diri kerana sifat tersebut boleh membawa kepada kemurkaan Allah SWT.

Kriteria kedua adalah dengan memastikan sumber kewangan yang dibelanjakan untuk mengerjakan ibadat haji adalah daripada sumber yang halal, suci dan bersih. Sewajarnya sebagai jemaah haji seharusnya bermuhasabah, meneliti dan memastikan sumber pendapatan dan perbelanjaan serta bekalan semasa menunaikan ibadat haji adalah daripada sumber yang halal. Sekiranya didapati sumber kewangan tersebut merupakan sumber yang diragui mahupun jelas haram, maka bersegeralah mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli agama yang berautoriti.

Setiap perbelanjaan yang diperuntukkan dalam mengerjakan ibadat haji hendaklah daripada sumber yang halal.

Seterusnya, mengerjakan ibadat haji dengan berpandukan rujukan yang sahih serta sunah agar terhindar daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan mahupun perkara yang jelas dilarang selama tempoh mengerjakan ibadat haji. Allah SWT berfirman yang bermaksud,

(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, berbuat maksiat dan bertengkar pada masa mengerjakan ibadat haji.

(Surah al-Baqarah 2:197)

Oleh sebab itu, setiap jemaah sewajarnya sudah bersedia dari segi mental, emosi dan pengetahuan berkaitan dengan ibadat haji. Setiap jemaah wajib menyempurnakan setiap rukun haji dengan sempurna, tidak mengabaikan adab-adab sebelum, semasa dan selepas mengerjakan ibadat haji, serta sentiasa melakukan sunah Rasulullah SAW dalam setiap urusan ketika menyempurnakan ibadat ini.

Kriteria keempat adalah mengerjakan ibadat haji dengan penuh ketekunan dan kesungguhan berpandukan ketaatan, keimanan yang teguh dan keikhlasan yang tinggi kerana Allah SWT. Oleh sebab itu, dalam usaha mendapatkan ketekunan dan kesungguhan mengerjakan ibadat haji, sewajarnya setiap jemaah perlu mempersiapkan diri dengan segenap ilmu pengetahuan berkaitan dengan ibadat haji. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya ilmu pengetahuan secara tidak langsung mewujudkan keimanan yang teguh seterusnya pengamalan ketekunan, kesungguhan, ketaatan dan keikhlasan dalam urusan mengerjakan ibadat haji hanya kerana Allah SWT. Dalam erti kata lain, ilmu merupakan asas bagi setiap ibadat yang hendak dikerjakan. Tanpa ilmu, tentu saja ibadat tersebut akan menjadi sia-sia dan yang diperoleh hanyalah penat lelah pelakunya.

Pada masa yang sama, perkara yang paling penting dalam usaha mendapatkan haji mabrur ialah istiqamah melakukan ibadat kepada Allah SWT. Pada hakikatnya, melakukan ibadat sememangnya mudah tetapi untuk melakukan ibadat secara terus-menerus adalah sukar. Oleh sebab itu, istiqamah dalam beribadat juga merupakan satu daripada kriteria untuk mendapatkan haji mabrur.

Halal, bersih dan suci merupakan kriteria yang penting dalam usaha memperoleh haji mabrur.

Untuk mendapatkan haji yang mabrur tidaklah susah selagi setiap jemaah memastikan ibadat haji yang dikerjakan sentiasa dalam aspek ruang lingkup halal, bersih dan suci. Halal yang dimaksudkan ialah halal dari aspek sumber kewangan perbelanjaan bagi mengerjakan ibadat haji. Kedua, aspek bersih yang dimaksudkan adalah dengan membersihkan diri daripada segala sifat mazmumah dan istiqamah mengamalkan sifat mahmudah. Yang ketiga ialah aspek suci, bermaksud sentiasa berusaha menyucikan diri daripada melakukan dosa. Ketiga-tiga aspek ini sewajarnya menjadi amalan dalam kehidupan harian sama ada sebelum, semasa mahupun selepas selesai mengerjakan ibadat haji.

Ibadat haji merupakan satu daripada ibadat dalam lima Rukun Islam selain ibadat solat, puasa dan zakat yang menjadi tuntutan kewajipan bagi golongan yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan kelapangan masa untuk mengerjakannya. Semoga setiap insan yang terpilih menjadi jemaah haji pada tahun ini dipermudah segala urusan dalam mengerjakan ibadat haji seterusnya mendapat ibadat haji mabrur.


Doa memohon haji mabrur

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.